Konflik Israel Palestin: Analisis Dan Realiti – Bah 1

Konflik Israel Palestin: Analisis Dan Realiti – Bah 1

SEJARAH, GEOPOLITIK, MILITARI: GARIS MASA SANG PENGUASA

Malam 27 ramadhan yang lalu, Palestin dikejutkan lagi dengan pencerobohan pengganas Israel ke Syeikh Jarrah, atas alasan mahkamah mereka memerintahkan pengusiran penduduk asal Palestin di sana.

Ini mengakibatkan protes dan tunjuk perasaan besar-besaran dan tindak balas hampir di semua wilayah Palestin yang diduduki Israel termasuklah Masjidil Aqsa di Jerusalem.

Rentetan kejadian ini, 10 Mei, Polis Israel menyuraikan protes dan tunjuk perasaan dengan kasar menggunakan gas pemedih mata, peluru getah kepada penduduk awam Palestin, 300 penduduk dilaporkan cedera oleh tindak balas polis Israel.

Pelbagai kejadian provokasi dan kekasaran yang dilakukan oleh ahli politik far right Israel, penduduk Israel dan polis mereka pada penduduk asal Syeikh Jarrah.

Pihak pejuang Palestin seperti sayap bersenjata HAMAS bertindak balas dengan melancarkan roket ke arah Israel untuk mempertahankan diri dan kawasan mereka dari terus dijarah.

Untuk memahami, merasai sentimen dan cakna mengenai krisis dunia ini, kita harus bermula dengan asas, iaitu sejarahnya.

Ianya nampak seperti rumit tetapi jika disusun kita mampu memahaminya plot demi plot dan garis masa yang betul.

SEJARAH DAN GARIS MASA PURBA ( 2000 SM – 637M )

Jerusalem dan kawasan sekitarnya mempunyai sejarah purba yang panjang, bermula hampir 4 ribu tahun lepas.

Bumi ini penuh dengan pelbagai kisah sejarah dunia, bumi para anbia dan rebutan kuasa-kuasa besar dunia sejak sekian lama.

Jerusalem merupakan kota bagi 3 agama samawi, abrahamic religion, Islam, Kristian, Yahudi.

Penguasaan bersilih ganti oleh kerajaan Mesir purba, Yahudi purba, babylon, parsi mewarnai landskap demografinya.

Disini seringkali dikatakan Haikal Sulaiman, Kuil Purba Yahudi yang didirikan oleh raja purba mereka, dikatakan asas untuk mereka menuntut tanah jerusalem dan sekitarnya.

2,000 tahun lepas, Empayar Rom menguasai Jerusalem dan hampir seluruh Mediterranean, Afrika Utara, serta Anatolia.

Kisah Nabi Isa atau Jesus mengikut kepercayaan Kristian berlaku ketika era ini.

Empayar Byzantine atau Rom Timur menguasai Jerusalem ketika di era Nabi Muhammad SAW.

JERUSALEM DAN GARIS MASA SEJARAH AWAL ISLAM ( 637M- 1099M)

Ketika kebangkitan era Baginda Nabi Muhammad SAW dan para sahabat, Jerusalem berjaya dikuasai oleh Saidina Umar al-Khattab pada 637 masihi.

Pengepungan Kota Baitul Maqdis diketuai oleh Panglima Perang ketika itu iaitu Abu Ubaidah Bin Al Jarrah, bermula 636 masihi.

20,000 tentera Islam mujahidin mengepung kota ini, selama 6 bulan yang ketika itu dikuasai Empayar Byzantine.

Empayar Byzantine ketika ini turut dikenali sebagai Rom Timur, antara 2 kuasa besar era itu, selain Parsi yang masih menguasai Iran dan Iraq mengikut garis sempadan peta moden.

Patriarch iaitu salah satu pemimpin gereja dan komuniti ketika itu memberi syarat mereka hanya akan menyerah terus kepada Khalifah Ar-Rashidin iaitu Khalifah Umar, lalu Khalifah Umar pergi ke kota tersebut untuk menerima sendiri penyerahan kota tersebut

Dibawah penguasaan kerajaan Islam, walaupun pada era Khalifah Umayyah dan Abbasiah, orang-orang yahudi dibenarkan kembali ke Baitulmaqdis, Jerusalem dan kota-kota sekitarnya setelah mereka dihalau Empayar Rom beratus tahun sebelum itu.

Mereka dibenarkan mengamalkan kepercayaan masing-masing, dan kerajaan Islam yang menguasai Baitul Maqdis sangat bertoleransi pada penganut-penganut agama selain Islam terutamanya Kristian dan Yahudi.

Kawasan kota, Masjidil Aqsa, Baitul Maqdis dimajukan dan ditambah baik oleh pemerintah muslim sejajar dengan zamannya.

Suasana di Baitul Maqdis, aman dan tenang 500 tahun kemudian, walaupun berlaku perebutan kuasa antara kerajaan Islam seperti Seljuk, Abbasiyah, Fatimiyah, sehinggalah bermulanya perang Salib pertama pada dekad 1100an.

JERUSALEM DAN GARIS MASA PERANG SALIB ( 1099M- 1187M)

Sebelum tercetusnya Perang Salib pertama, 1st crusade, Baitul Maqdis dikuasai oleh Kerajaan Fatimiyah.

Seruan perang salib dilakukan untuk mengambil kembali “Holy Land” iaitu tanah suci penganut Kristian dari pegangan kerajaan Islam.

Baitul Maqdis berjaya ditawan tentera salib pada tahun 1099 setelah dikepung, hampir kesemua penduduk Muslim dan Yahudi di bunuh beramai-ramai kerana penentangan sengit mereka.

Kingdom Of Jerusalem ditubuhkan merangkumi beberapa kota yang ada di sekitarnya, juga dikenali sebagai Crusaders State atau Christian Latin Kingdom Of Jerusalem.

Turut ditubuhkan adalah Principality Of Antioch, County Of Tripoli.

Setelah beberapa siri pertempuran dan peperangan, pada 1187, Salahudin Al Ayubi, mengepalai angkatan perang muslim dari Mesir dan Syria, mengepung dan akhirnya berjaya menawan Baitul Maqdis dari Kingdom Of Jerusalem.

Kisah ini ada difilemkan pada tahun 2005, Kingdom Of Heaven.

Beliau sangat diingati disebabkan peribadinya yang baik pada tawanan, serta disegani kawan dan lawan.

Pertembungan beliau umpama buku dan ruas selepas seruan “3rd Crusade” dikepalai oleh Raja England yang terkenal iaitu King Richard The Lionheart.

Selepas beberapa siri pertempuran antara Salahudin dan Richard, Treaty Of Jaffa dimeterai pada 1192, di mana penguasaan Kerajaan Islam di Baitul Maqdis, Jerusalem di akui oleh pihak tentera salib, tetapi harus membenarkan kemasukan penganut Kristian dan pedagang mereka.

JERUSALEM DAN GARIS MASA PEMERINTAHAN MAMLUK (1260M-1516M)

Mamluk, adalah gelaran asalnya bermula dari golongan hamba dan askar yang dibangunkan secara sistematik oleh kerajaan khalifah Abbasiyah.

Lama kelamaan, Mamluk semakin berpengaruh dalam pemerintahan dan struktur sosial masyarakat.

Ditambah pula dengan kerajaan Abbasiyah yang semakin hilang pengaruh, selepas Baghdad di musnahkan pada 1248 dan khalifah AL Mutasim dibunuh oleh monggol.

Kesultanan Mamluk menguasai saki baki pemerintahan dan kawasan abbasiyah sebelumnya iaitu Mesir, Hijaz dan Levant (Syria, Lubnan, Baitul Maqdis).

Ketika Mamluk menguasai Bailtul Maqdis, bahasa Arab telah diposisikan sebagai bahasa rasmi untuk komunikasi, agama, dan budaya yang menyatukan semua penduduk.

Antara pemerintah Mamluk yang terkenal adalah Sultan Qutuz, iaitu Sultan Mamluk yang mengepalai angkatan perang Muslim menentang kemaraan Mongol, yang diketuai Kitbuqa.

Pertempuran pada 1260 ini dikenali sebagai Pertempuran Ain Jalut, berlaku di utara Jerusalem, Palestin.

Tentera Mongol dikalahkan buat pertama kali dan dihentikan kemaraan mereka menjarah kota-kota penduduk Islam.

Peristiwa ini besar impaknya pada kewujudan kota-kota Islam di tanah Hijaz, Arab, Levant dan mesir.

Mamluk menguasai Baitul Maqdis bermula 1260 sehinggalah 1517, 250 tahun, sebelum dikuasai oleh Khalifah Turki Uthmaniyah.

Membuka dimensi baru sejarah peradaban dunia.

JERUSALEM DAN GARIS MASA KHALIFAH TURKI UTHMANIYAH (1516M-1917M)

Khalifah Turki Uthmaniyah mula menjadi kuasa besar serantau selepas penaklukan Konstatinopel 1453.

Setelah menguasai banyak kerajaan di Balkan di Utara Istanbul, dan penguasaan penuh Anatolia, Turki Moden, Uthmaniyah mula bertembung dengan kuasa besar lain iaitu Parsi, Empayar Safavid di selatan Turki.

Dasar perluasan kuasa Uthmaniyah ke wilayah selatan Anatolia iaitu Syria, Levant, Jerusalem , Hijaz dan Mesir bermula dengan ekspedisi ketenteraan Sultan Selim.

Ini mengakibatkan pertembungan antara Uthmaniyah serta Mamluk, pada beberapa siri peperangan.

Percubaan awal Utmaniyah telah bermula pada 1485-1495, di mana Uthmaniyah telah mula dan mempunyai visi menguasai Baitul Maqdis.

Siri pertempuran dengan Mamluk berakhir dengan seri dan tidak mengubah apa-apa status quo.

1516, Turki Uthmaniah telah bebas dari beberapa siri pertembungan seperti Safavid dan negara-negara Balkan, dan Sultan Selim telah mengumpul kekuatan untuk memerangi Kesultanan Mamluk.

Peperangan dua kuasa besar ini menyaksikan kelincahan kuda-kuda perang kavalri Mamluk, tidak mampu menandingi senjata artileri dan pasukan Janissary Uthmaniyah yang lebih kehadapan dari persenjataan dan pengalaman, dalam peperangan terbuka.

Umumnya, wilayah Syria, Palestin dan Levant jatuh kepada Uthmaniyah pada 1516, dan 1517, Sultan Selim telah mengalahkan Mamluk secara total, seterusnya memberi Uthmaniyah keabsahan pemerintahan di wilayah penguasan Mamluk sebelumnnya.

Jerusalem diperintah dan dibangunkan dengan baik bermula pemerintahan Sultan Suleiman, Uthmaniyah.

Antara kemajuan yang dibawa adalah seperti perkhidmatan pos moden, jalan berturap yang pertama dari Jaffa ke Jerusalem dan rangkaian rel keretapi.

Malah projek mega Uthmaniyah rel keretapi dari Istanbul ke Madinah, atau diberi nama Hejaz Railway, yang dibangunkan untuk memudahkan urusan jemaah haji di seluruh empayar Turki Uthmaniah ketika itu, turut memasukkan Jerusalem sebagai salah satu stesen perhentian utama.

Uthmaniyah menguasai Baitul Maqdis, Palestin hampir 401 tahun bermula 1516 sehinggalah kekalahannya pada perang dunia pertama 1917.

Dan disinilah punca permulaan antara krisis kemanusiaan era moden menjangkau 104 tahun.

PELAJARAN YANG DAPAT DIPELAJARI

Dalam memahami konflik Israel dan Palestin ini, kita harus tahu akan garis masa dan sejarah Baitul Maqdis dan Jerusalem ini sendiri terlebih dahulu.

Dalam era masihi, pelbagai kerajaan Islam telah menguasai Baitul Maqdis, Jerusalem dan Palestin hampir 1280 tahun bermula 637M – 1917M.

Asimilisi penduduknya dengan budaya Arab serta agama Islam telah berakar umbi membentuk identiti tempatan.

Walau bagaimanapun, penduduk beragama Kristian dan Yahudi hidup aman damai dan memperoleh pelbagai keistimewaan dalam hierarki masyarakat dan sosial, hinggalah tumbangnya Uthmaniyah selepas perang dunia pertama, dan mewujudkan power vacuum yang mencetus konflik yang telah melebihi seratus tahun.

Wilayah Uthmaniyah di Levant serta Hejaz dicarikkan oleh kuasa imperialis dan dunia ketika itu iaitu British serta Perancis, dengan perjanjian-perjanjian yang berat sebelah, untuk membunuh terus keupayaan khilafah Uthmaniyah bangkit, dan menjadi punca ianya tumbang beberapa tahun selepas itu.

Nantikan artikel seterusnya,

ERA KEJATUHAN TURKI UTHMANIYAH & MANDAT BRITISH

Saya tidak mampu untuk berjuang di sana, diharap dengan penulisan dan perkongsian yang dikongsikan ini mampu memberi manfaat pada rakan-rakan pembaca untuk berjuang dengan apa cara serta kemampuan yang kita ada setelah memahami dengan lebih mendalam.

Konflik Israel Palestin ini bukan krisis agama semata-mata tetapi pendudukan haram, penjarahan terancang serta pembunuhan besar-besaran.

Ianya krisis kemanusiaan yang disebabkan pelampau zionis.

Malaysia Military Power

Palestin