Memoir Ustaz Hassan Shukri 2.0 – Siri 4

Memoir Ustaz Hassan Shukri 2.0 – Siri 4

CAKAP MEMANG MUDAH

Pada akhir Disember 1999, Ustaz Hassan Shukri hadir ke Parlimen untuk mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen.

Beliau dipilih oleh Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu sebagai Ahli Dewan Negara mewakili DUN itu untuk menduduki Dewan Negara selama tiga tahun, 1999-2002.

Kemudian disambung lagi tiga tahun sehingga akhir 2005.

Sepanjang berkhidmat di Dewan Negara, Ustaz menugaskan saya sebagai pegawainya yang menguruskan semua urusan Parlimen.

Sekali-sekali Ustaz bagi upah, tapi kebanyakannya tidak kerana Ustaz lebih suka kita ikhlas bekerja untuk Islam.

Setiap kali sidang Dewan Negara, Ustaz akan minta saya sediakan soalan-soalan dan usul untuk dikemukakan ke dewan tertinggi itu.

Tetapi, sebagai seorang senator, Ustaz tidak pernah membaca teks dalam ucapannya di Dewan Negara, sebab itu saya tidak pernah menulis teks ucapan beliau.

Saya pernah menulis teks ucapan Ustaz Fadzil Mohd Noor, Tuan Guru Haji Hashim Jasin, Ustaz Abu Bakar Chik, Haji Mahfuz Omar, Salahuddin Ayub dan lain-lain.

Tetapi saya tidak pernah menulis teks ucapan Ustaz Hassan.

Ustaz biasanya hanya mengajak saya berbincang tentang point-point ucapannya, kemudian beliau berucap dengan bahasanya sendiri.

Selalunya Ustaz akan bercerita tentang perbahasannya di Parlimen, selepas sidang tamat setiap hari.

Saya diberikan handsard untuk mengkaji perkara-perkara yang dibahaskan.

Pada suatu hari, Ustaz memberitahu saya, Dewan Negara mencipta sejarah.

Ucapan Ustaz ketika perbahasan Rang Undang-undang Kawalan Racun telah membuatkan Dewan Negara menolak rang undang-undang tersebut, walaupun ia telah diluluskan oleh Dewan Rakyat.

Ia pertama kali berlaku dalam sejarah negara.

Pada sesi yang lain, Menteri terpaksa menarik balik Rang Undang-undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan sebelum ia ditolak, juga kerana ucapan Ustaz.

Bangkang memang senang

Ketika kami sedang bercakap-cakap tentang Rang Undang-undang yang ditarik balik oleh Menteri itu, saya memuji kebijaksanaan Ustaz yang mengomentari kelemahan draf undang-undang yang sudah diluluskan oleh Dewan Rakyat itu.

Pada saya, Ustaz telah membukti dakwaan pemimpin DAP bahawa Dewan Negara hanyalah ‘rubber stamp’ adalah tidak benar, jika para ahli senat berfungsi sebaiknya.

“Dah dua kali kerajaan kalah lawan Ustaz,” saya menyatakan kekaguman.

“Kita ni pembangkang. Kita tak buat apa-apa. Kita komen dan bangkang je. Cakap saja memang senang,” kata Ustaz.

“Pembangkang tak perlu buat apa-apa ke?” saya bertanya balas.

“Pembangkang tu bangkang je. Bangkang paling senang. Kita tak kaji, tak study dan buat persiapan pun boleh bangkang. Sekadar nak bantah je. Kebanyakkan begitu lah. Sebab tu parlimen tidak begitu berkesan,” kata Ustaz lagi.

“Ada tak ahli parlimen PAS yang bagus, Ustaz? Walaupun sebagai pembangkang?” saya mula mencerap ahli-ahli parlimen yang berkualiti.

“Dulu Prof Zul(kifli Mohammad) memang terkenal. Dia study dulu tiap-tiap rang undang-undang. Sebab tu semua rang undang-undang dia boleh bahas. Dia berucap sampai empat jam. Pemimpin kerajaan memang kagum dengan dia. Tapi sayang, umur dia tak panjang. Masa dia kemalangan tu, belum sampai 40 (tahun) lagi.

“Seorang lagi, Ustaz Abu Bakar Hamzah. Dia ganti Prof Zul di Dewan Rakyat. Masa dalam (Kerajaan) Campuran, dia jadi senator, macam Ana. Dia cukup marah kepada ahli-ahli pembangkang yang tidak study rang undang-undang. Dia kata, sebab tak study, kita hanya boleh bahas peringkat dasar je (Bacaan Kedua), bila masuk (Peringkat) Jawatankuasa, semua kelu, tak tahu nak bahas apa. Sebab memang tak reti dan tak study apa yang terdapat secara terperinci di dalam rang undang-undang tu,”

Ustaz menyebut dua tokoh PAS yang berkesan di Parlimen.

“Di luar parlimen, apa fungsi pembangkang?” saya cuba melihat secara yang lebih luas.

“Di luar parlimen, lebih mudah. Ramai pemimpin pembangkang ni dia cakap je apa-apa isu. Kadang-kadang tak tau betul ke tak. Setengahnya tak berfakta sampai kena saman. Mereka kritik semberono saja. Sebab cakap memang mudah. Bukan kena buat pun,” kritis juga Ustaz melihat sikap pemimpin pembangkang, terutama kaki ceramah pada masa itu.

“Kenapa pembangkang tidak ambil pendekatan yang membina dalam dalam mengkritik kerajaan? Pembangkang akan jadi lebih berwibawa kalau dapat membawa gagasan-gagasan membina kepada kerajaan demi kepentingan rakyat,” giliran saya pula memberi pendapat kepada Ustaz.

“Orang awam ni lebih suka kepada persepsi, daripada fakta dan idea. Kalau ada penceramah yang berbohong, bercakap tak berfakta, maki-hamun, fitnah, cerita tipu-tipu, mereka sukalah. Yang penting cakap berdegar-degar.

“Kalau cakap benar, sebut Quran hadis, beritahu hukum agama, mereka tak mahu dengar. Tak percaya pun. Sebab tu politik jadi kotor. Penuh dengan penipuan, tipu daya, persepsi, fitnah dan maki hamun. Akhirnya, di semua tempat, termasuk di parlimen pun terbawa-bawa,” panjang pula Ustaz mengulas.

Cakap memang senang

“Dulu kita (PAS) bangkang semua benda, lepas jadi kerajaan masa ’70-an. Boleh buat ke Ustaz, benda yang kita cakap tu?” saya membawa kepada pengalaman melaksanakan pula.

“Ada dua hal berbeza, dalam pendekatan zaman dulu.

“Pertama, pimpinan zaman dulu, macam Dr Burhanuddin (al-Helmy) dan Prof Zul, mereka bercakap dengan fakta, baik di luar mahupun di dalam parlimen. Sebab tu orang payah nak tolak hujah PAS, walaupun mereka tak terima.

“Kedua, orang zaman dulu, mereka ambil langkah pengukuhan bila sesuatu perkara yang dicakap itu tak dapat dibuat. Persiapkan dulu keperluan.

“Contohnya, masa kita nak laksanakan syariah di Kelantan bila menang tahun ’59 dulu. Semasa kita masuk Pilihan Raya ’59, dalam manifesto kita letak gagasan negara Islam dan pelaksanaan syariat. Bila kita memerintah Kelantan, kita lantik Prof Zul jadi Pengerusi Steering Committee Kerajaan. Mereka buat kajian untuk laksana syariat.

“Prof Zul kata, kita tak dapat laksanakan hudud dan lain-lain sebab rakyat tak faham. Jadi kita perlu ambil langkah pengukuhan.

“Prof Zul nak kita fokus untuk memberi kefahaman kepada rakyat. Sebab tu kita wujudkan Mubaligh Kerajaan, kita ambil alih sekolah-sekolah agama rakyat dan majukannya, kita tubuh (YPTIK di) Nilam Puri, kita hapuskan judi dan sabung lembu dan macam-macam lagi. Tujuannya supaya generasi berikutnya faham agama, maka kita dapat laksanakan syariat dengan baik,” Ustaz menjelaskan pengalaman PAS di Kelantan sebagai contoh.

“Di peringkat Pusat, Ustaz?” saya terus bertanya.

“Bila kita nak masuk kerajaan, antara syarat-syarat kita ialah supaya kita boleh berdakwah dan terapkan Islam. Sebab tu, Datuk (Mohd) Asri (Haji Muda) diberi portfolio Tugas-tugas Khas. Ni portfolio agama.

“Bila duduk dalam kerajaan, baru kita tahu betapa susahnya kita nak terapkan Islam, sebab kita ada seorang menteri saja dalam kabinet. Lepas Tun (Abdul) Razak (Hussein) meninggal, baru kita dapat dua menteri (Datuk Mohd Asri dan Datuk Hassan Adli Mohd Arsyad).

“Kita memang nak laksana syariat, tapi sistem yang ada tu tinggalan British. Kita lihat mana yang boleh kita buat dulu.

“Antaranya, kita bercakap di Parlimen. Pak Yusof Rawa pernah berbahas dengan Tan Sri Yusof (Abdul Kadir), Menteri Undang-undang dan Peguam Negara, dia desak kerajaan supaya laksana syariat.

“Lepas tu, kita terapkan dakwah Islam melalui televisyen dan radio, buat majalah Dakwah, gunakan Jawatankuasa Hal Ehwal Islam (sekarang JAKIM) untuk buat program.

“Kita bawa kumpulan nasyid dari Indonesia untuk perkenal lagu-lagu Islamik. Kita tubuh YADIM, mula-mula (Datuk) Hassan Adli jadi Timbalan Pengerusi YADIM, lepas tu Ana. (Tun) Syed Nasir (Ismail) jadi Pengerusi.

“Ana sendiri duduk dalam Jawatankuasa Fatwa Wilayah (Persekutuan) dan jadi Ahli Majlis Agama (Islam Wilayah Persekutuan – MAIWP).

“Yang kita boleh buat segera ialah mengawal program mungkar macam pusat perjudian dan tempat minum arak. Tapi bukan boleh buat semua sekali gus. Sebab ada banyak aturan.

“Kita nak sekat arak dalam kem askar, bukan mudah kerana pemerintah kem tu bukan orang awam. Banyak benda yang kita nak buat perlu berunding secara halus dengan Tun Razak dan Tun Hussein (Onn),” Ustaz terus menjelaskan usaha PAS nak melaksanakan fikiran-fikiran PAS yang berasaskan Islam.

“Susah juga nak melaksanakan Islam, walaupun duduk dalam kerajaan kan?” saya cuba memahami realiti.

“Kita cakap dan desak memang mudah. Bila kita duduk tempat tu, baru kita tahu birokrasi, sikap pegawai-pegawai, undang-undang dan macam-macam lagi.

“Sebab tu, kalau sekadar nak cakap kat ceramah, itu memang mudah. Enta tengoklah, Tok Guru Nik (Abdul) Aziz (Nik Mat) sendiri begitu sukar nak laksana Islam bila jadi kerajaan.

“Bila kita duduk sebagai minoriti dalam Kerajaan Pusat pun, begitulah,” Ustaz terus menjelaskan sehingga saya mulai faham kesulitan berada di dalam kerajaan.

“Kenapa kita tidak tekan kerajaan? Contohnya, kita ugut tarik diri,” saya mula melihat pada sisi lain.

“Kita minoriti dalam kerajaan. Sebelum kita masuk, Tun Razak dah boleh memerintah, cuma dia mahu orang Melayu bersatu. Jadi, dia ajak PAS.

“Tak timbul soal kita ugut keluar, sebab kerajaan akan tidak tumbang. Kita pula, nak ambil ruang ini untuk berdakwah,” terang Ustaz lagi.

Saya cuba memahami realiti ini, bahawa walaupun PAS berada di dalam kerajaan, untuk melaksanakan Islam, tidak semudah yang kita sangkakan.

Kita ada Raja, ada pegawai tadbir, ada undang-undang dan aturan, bahkan kita ada Perdana Menteri sebagai ketua kerajaan.

Jadi, kalau kita menyangka, bila PAS berada dalam kerajaan, PAS boleh buat apa sahaja termasuk di luar portfolionya, itu adalah satu salah faham terhadap ‘real politic’.

PAS hanya boleh bertindak dengan kuasa di dalam portfolionya sahaja, itupun memerlukan dukungan Kabinet.

Di luar portfolionya, PAS boleh membantah, tetapi dalam kerangka sebagai rakan kongsi kerajaan.

Untuk melaksanakan Islam, PAS perlu bertindak secara bijaksana, bukan langgar semborono!

Mohd Fadli Ghani

Siri 1

Siri 2

Siri 3

Sejarah