Lantikan Ismail Sabri, Hishammuddin Satu Keputusan Tepat

Lantikan Ismail Sabri, Hishammuddin Satu Keputusan Tepat

Pelantikan dua pemimpin UMNO sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kanan menunjukkan keikhlasan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin melayani “musuhnya” (UMNO) dengan baik.

Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berkata, justeru itu, isu tarik sokongan atau tidak sudah tidak relevan dalam perjumpaan Ahli Majlis Kerja Tertinggi yang dikhabarkan akan bermesyuarat malam ini.

Katanya, majoriti Ahli Parlimen Umno bersetuju untuk terus memberi sokongan kepada Perdana Menteri dan kerajaan Perikatan Nasional (PN) sehingga Pilihan Raya Umum Ke-15 seperti mana yang diusulkan dalam Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2020.

“Sebagai Ahli Parlimen yang setia kepada parti, sudah tentu berita ini menggembirakan saya. Diharapkan dalam tempoh berbaki dua tahun ini (tamat penggal PRU14), Umno boleh duduk bersama dengan Perikatan Nasional dan PAS untuk merancang menghadapi PRU 15 akan datang,” katanya dalam satu kenyataan kepada sebuah portal berita hari ini.

Mengulas lanjut, Nazri berkata, penjajaran baharu yang cuba digerakkan oleh Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tidak akan berjaya malah ditentang majoriti Ahli Parlimen.

“Kita sepakat mahu bantu kerajaan menstabilkan politik Malaysia dan pada masa sama bantu rakyat memerangi COVID-19,” katanya.

Bekas Presiden UMNO Datuk Seri Najib Razak pula berkata, biarpun masih terkejut beliau mengucapkan tahniah kepada Ismail Sabri dan Datuk Seri Hishammuddin Hussein kerana masing-masing dilantik sebagai TPM dan Menteri Kanan Keselamatan.

“Ingat ada pengumuman baik untuk keadaan Covid-19, moratorium yang lebih membebankan peminjam atau penambahan i-Citra tapi dapat pengumuman TPM dan Menteri Kanan baru pulak.

“Tahniah diucapkan kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Datuk Seri Hishammuddin Hussein. Seperti bagi menteri-menteri, pelantikan baharu ini di bawah bidang kuasa khusus Perdana Menteri Ke-8,” katanya.

Bagaimanapun, Najib berkata tumpuan utama sudah tentu terarah kepada keputusan mesyuarat MKT Umno malam ini.

Timbalan Presiden, Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Arthur Joseph Kurup berkata beliau yakin pelantikan Ismail Sabri dan Hishammuddin akan meningkatkan lagi keupayaan Kerajaan khususnya dalam menghadapi pandemik COVID-19, memulihkan ekonomi negara dan membantu rakyat menghadapi waktu yang sukar ini.

“Negara memerlukan sebuah kerajaan yang stabil untuk menghadapi cabaran yang sedang dialami khususnya mengenai krisis kesihatan. Ini adalah masa untuk kita memulihkan ekonomi negara dan bukan masa untuk berpolitik.

“Justeru, semua pihak perlu berganding bahu dan bekerjasama dalam menangani pandemik ini demi kesejahteraan rakyat,” katannya.

Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) yakin pelantikan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Datuk Seri Hishammuddin Hussein selaku Menteri Kanan Keselamatan, mampu membantu menstabilkan semula politik di negara ini.

Presiden STAR, Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan berkata, berdasarkan rekod pencapaian Ismail Sabri sebelum ini yang memegang beberapa portfolio penting dalam kerajaan akan membantu meringankan bebanan tugas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin terutama dalam mengendalikan situasi pandemik Covid-19.

“Perdana Menteri juga memaklumkan mengenai lantikan ini secara peribadi kepada komponen parti politik dalam Perikatan Nasional (PN).

“Keputusan ini juga dibuat setelah berfikir panjang dan bukan dilakukan secara tergesa-gesa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad berkata beliau amat yakin kedua-dua tokoh pemimpin dari UMNO itu mampu mentadbir dan merealisasikan usaha kerajaan dengan jawatan baharu yang dipikul.

Hasni berkata, kedua-dua figura politik itu juga adalah watak penting mengubah landskap negara dalam mendepani pandemik COVID-19.

“Saya amat yakin dua tokoh pemimpin yang datang dari UMNO ini mampu untuk mentadbir dan menjayakan usaha kerajaan bukan sahaja tangani isu COVID-19 tapi ekonomi yang dihadapi negara kita” katanya.

Parti gabungan kerajaan Perikatan Nasional (PN) menyifatkan pelantikan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob atau lebih dikenali sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Datuk Seri Hishammuddin Hussein selaku Menteri Kanan Keselamatan adalah amat tepat berdasarkan pengalaman mereka dalam politik dan kerajaan, sebelum ini.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkata Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan seluruh kepimpinan serta ahli PAS  mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Ismail Sabri di atas perlantikannya sebagai Timbalan Perdana Menteri oleh YAB. Perdana Menteri pada hari ini.

Beliau berkata PAS yakin perlantikan YAB. Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob adalah amat tepat berdasarkan pengalaman beliau sebagai seorang Menteri dan Menteri Kanan serta merupakan pemimpin UMNO paling kanan dalam Kabinet kerajaan PN.

“PAS yakin beliau (Ismail Sabri) akan dapat membantu YAB. Perdana Menteri dalam menguruskan negara terutama menjayakan Pelan Pemulihan Negara yang masih lagi berdepan dengan pandemik COVID-19,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu, Takiyuddin berkata PAS juga mengucapkan tahniah kepada Hishamuddin Hussein, yang turut dilantik sebagai seorang Menteri Kanan.

“Beliau yang juga merupakan anggota kanan dalam Kerajaan sebelum ini diyakini mampu berganding tenaga dengan semua Anggota Kabinet yang lain ke arah membawa Malaysia lebih dihormati di peringkat antarangsa,” katanya.

Sementara itu, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) yakin pelantikan Ismail Sabri sebagai TPM dan Hishammuddin selaku Menteri Kanan Keselamatan mampu membantu Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menguruskan pentadbiran negara dan memenuhi keperluan rakyat dalam keadaan negara sedang menghadapi krisis kesihatan dan ekonomi pada masa ini.

Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, beliau percaya pelantikan ini mampu meningkatkan lagi keupayaan kerajaan PN khususnya dalam menghadapi pandemik COVID-19.

“Saya yakin seluruh rakyat menyokong pengharapan yang disebut dalam pengumuman oleh Pejabat Perdana Menteri, bahawa pelantikan ini seharusnya dapat memperkukuh perpaduan dalam kalangan parti-parti yang membentuk kerajaan.

“Perpaduan dan kesatuan inilah yang diharapkan oleh rakyat, kerana ia menjadi teras penting dalam usaha menjaga kebajikan rakyat, membina semula ekonomi dan memastikan kita menang bersama dalam memerangai wabak COVID-19.

“Saya juga menyokong sepenuhnya azam kerajaan PN untuk memperkukuh kerajaan dengan tadbir urus yang telus, bebas rasuah dan berintegriti. Nilai-nilai ini adalah amat penting demi memastikan amanah kuasa mentadbir negara dimanfaatkan untuk kebaikan dan kepentingan rakyat terbanyak,” katanya.

Presiden MCA Datuk Seri Dr Wee Ka Siong pula yakin Ismail Sabri dan Hishammuddin mampu membantu Perdana Menteri kerana kedua-dua pemimpin ini memiliki kepakaran dan pengetahuan luas dalam bidang masing-masing yang berupaya memberi manfaat kepada rakyat serta negara, khususnya ketika berdepan waktu sukar akibat pandemik COVID-19.

“Semoga dengan pelantikan ini, ia bukan sahaja dapat menguatkan pentadbiran Kerajaan, tetapi juga dapat merancakkan lagi usaha bersama memerangi COVID-19 dan memulihkan semula negara.

“Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) akan terus menjalin kerjasama erat bersama YAB Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob dan YB Dato’ Seri Hishammuddin bin Tun Hussein dalam usaha membawa Malaysia keluar daripada waktu sukar demi kepentingan rakyat serta negara secara keseluruhannya,” katanya.

Isu Semasa