Tidak Mahu Susah, Jalan Orang Bodoh

Tidak Mahu Susah, Jalan Orang Bodoh

Datuk Azizulhasni Awang mengambil masa semenjak umur remaja, bagi memberikan komitmen kepada negara, meninggalkan begitu lama keluarga, kampung halaman dan segala yang lain.

Dia masih berusaha ke arah itu.

Imam-imam mazhab juga meninggalkan keluarga, kehidupan seronok remaja, bermusafir ribuan kilometer, semata-mata mencari ilmu dan mereka gunakan untuk diri mereka dan juga diajarkan kepada manusia.

Sehingga nyawa mereka terhenti, mereka tetap berusaha mencari yang terbaik.

Sehingga kini, ilmu mereka masih diamalkan.

Pengkaji-pengkaji bagi kepakaran bidang masing-masing mengorbankan kenikmatan hidup mereka bersama orang biasa dan hidup dalam kelompok dunia mereka, bagi mengkaji apa yang boleh mendatangkan kebaikan kepada manusia.

Kadangkala membawa bersama isteri dan anak mereka.

Tidaklah mereka menyerah di tengah jalan, sebelum berhasil mengeluarkan kajian mereka.

Semua susah payah mereka ini adalah perjalanan biasa bagi orang yang berjaya.

Mereka mesti bersusah payah bagi mencapai kejayaan.

Mereka tahu dari sekecil-kecil perkara, sehingga sebesar-besar hal dalam bidang mereka.

Mereka benar-benar menguasainya kerana mereka hidup di dalam dunia itu.

Tetapi kini ada satu kelompok manusia yang duduk dalam bidang yang tidak memerlukan kepayahan bagi mencapai tahap seperti pakar-pakar ini, iaitu bidang netizen.

Anda hanya perlu menjadi netizen.

Ya, mereka boleh tahu semua perkara samada hal dunia, mahupun akhirat.

Mereka seperti menguasai semua ilmu tanpa ragu dengan hanya mencari dari internet.

Jika mereka kata mereka betul walaupun salah dan pakar itu salah, walaupun betul, serahkan sahaja ‘kebenaran’ yang mereka paksakan itu.

Kerana jika kita melawan, buruk akibatnya.

Anda akan diserang dengan gila.

Begitulah kita dikelilingi oleh para juhalak dalam dunia ini.

Dan mereka menguasai media.

Membawa bahaya kepada manusia dengan kepalsuan mereka, kebodohan mereka, amukan mereka.

Ruwaibidhah berada di mana-mana.

Bukan sedikit orang mencari followers untuk menjadi perisai mereka jika terjadi apa-apa yang negatif.

Apalagi followers yang taqlid buta.

Maka pilihlah hidup bersama ulamak yang menjadi pewaris para nabi.

InsyaAllah kita akan selamat.

Sebagai penguat keyakinan kita, bacalah kitab-kitab muktabar imam-imam yang diperakui dunia.

Bandingkan lah.

Kita semua banyak dosa, mereka akan membawa kita ke jalan taubat dengan ilmu mereka.

Jika pingat emas atau pengiktirafan dunia sangat sukar diperolehi dengan terpaksa mengorbankan segalanya, maka syurga Allah tentunya lebih payah untuk dimiliki.

Tidak sekadar menjadi netizen jahil yang mahu membuat kerja senang, hanya komen di hujung jari, mengutuk, menghina, mencaci maki ulamak tanpa ilmu, orang itu, orang ini, mengikut kebencian mereka sebagai penanda aras, kemudian berangan akan masuk syurga.

Tidak, itu jelas, jalan ke neraka.

Jelas, itu ialah kebodohan mereka.

Mohd Nasir Abdullah

Kolumnis