Selepas ‘Rule Of Law’ Mahukah DAP Kembali ‘Sembah’ Kleptokrasi

Selepas ‘Rule Of Law’ Mahukah DAP Kembali ‘Sembah’ Kleptokrasi

Belum pernah terjadi dalam sejarah Malaysia kerajaan yang memerintah digulingkan, kecuali tumbang dengan sendiri apabila Perdana Menteri (PM) Pakatan Harapan (PH) Tun Dr Mahathir Mohamad meletak jawatan.

Sebaliknya, sekarang ini UMNO – parti yang berkuasa penuh sejak Tanah Melayu mencapai kemerdekaan daripada penjajahan British – mahu mencatat sejarah menjadi parti pertama menggulingkan kerajaan, setelah rekod enam dekad pecah pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) 2018 lalu.

Diketuai Ahmad Zahid Hamidi yang kini menjadi ‘CARETAKER’ UMNO, bersama beberapa pemimpin kanan dan segelintir kecil Ahli Parlimen parti itu yang telah dicucuk hidung, dia berusaha menganggu-gugat politik Malaysia, untuk memalingkan tumpuan rakyat Malaysia terhadap kes rasuah, tidak amanah dan penyelewengan yang dihadapinya di dua Mahkamah Tinggi.

Untuk rekod:

1) Zahid, 68 tahun, dituduh di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membabitkan 12 pertuduhan pecah amanah, lapan pertuduhan rasuah, dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram. Tertuduh didakwa melakukan jenayah itu ketika menjadi Timbalan Perdana Menteri, ketika UMNO dan BN memerintah negara ini. Semua pertuduhan itu melibatkan puluhan juta ringgit.

2) Zahid berdepan tuduhan di Mahkamah Tinggi Shah Alam – 40 pertuduhan rasuah berhubung Sistem Visa Luar Negara (VLN), akan bersambung pada 25 Ogos ini. Kes jenayah rasuah ini juga membabitkan jutaan ringgit didakwa dilakukan ketika menjawat jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri.

Semua sekali 87 tuduhan jenayah dihadapi Zahid.

Sebab itu dia sekarang ini sedang gelabah.

Dan perlu diulang bahawa Zahid sanggup melakukan apa sahaja asalkan dia tidak merengkok di dalam penjara.

Sementara rakan baiknya Ahli Parlimen Pekan Najib Razak setakat ini telah dikategorikan sebagai ‘penjenayah’ apabila Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda terhadapnya yang didapati bersalah dalam kes SRC International, pada Julai 2020.

Mahkamah Rayuan belum membuat keputusan setelah mendengar rayuan dikemukkan Najib berhubung keputusan Mahkamah Tinggi itu.

Oleh itu, keputusan Mahkamah Tinggi itu belum terpadam.

Namun kita tertarik apabila Dr Mahathir ketika membahaskan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat pada 12 November 2020 juga membuat sindiran “Amat pelik perbicaraan di mahkamah dihentikan tetapi banduan boleh berucap di dewan Parlimen”.

Justeru, walaupun Zahid belum ditentukan bersalah, fakta-fakta kes yang dikemukakan pihak pendakwaan menerusi 99 saksi menunjukkan perbuatan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram itu telah berlaku.

Cuma terserah kepada mahkamah untuk menelitinya tanpa campur tangan pihak lain.

Ada dua kemungkinan sahaja.

Zahid didapati bersalah, atau Zahid dibebaskan kerana isu teknikal – jika ini berlaku ia tidak menafikan perlakuan jenayah itu benar-benar terjadi.

Namun apapun keputusan Mahkamah Tinggi, kedua-dua pihak Zahid dan pendakwa boleh mengemukakan rayuan di Mahkamah Rayuan dan kemudian di Mahkamah Persekutuan.

Sama seperti kes liwat Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Selepas keputusan Mahkamah Tinggi, kes dibawa ke Mahkamah Rayuan dan akhirnya ke Mahkamah Persekutuan yang mendapati Anwar gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah terhadap kes pihak pendakwaan.

Kekalahan Barisan Nasional (BN) terutama UMNO pada PRU14 dahulu ada kebaikannya, apabila terdedahnya kegiatan jenayah yang diam-diam dilakukan pemimpin parti itu, tanpa ada siapa pun berani mengheret mereka ke mahkamah.

Jika ada pun, mereka akan campur tangan dan memadamnya.

Ini boleh dilihat menerusi kronologi kes 1Malaysia Development Berhad membabitkan Najib, sehinggakan Peguam Negara ketika itu digantikan atas alasan kesihatan.

Mereka ini bercakap berdegar-degar.

Tidak dinafikan bantuan juga dihulur kepada rakyat.

Tapi ibarat mesin judi ‘beri seringgit makan 10 ringgit’.

Sebab itu, dalam keadaan kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Perdana Menteri (PM) Tan Sri Muhyiddin Yassin diuji dengan pandemik Covid-19 dan kesannya ke atas ekonomi negara dan rakyat, Zahid, Anwar dan Najib mengambil kesempatan mendakwa kerajaan telah gagal, dan PM tiada majoriti.

Mereka berusaha untuk menjadi pemimpin negara hanya untuk melepaskan tengkuk daripada mahkamah.

Ini didedahkan Muhyiddin apabila menyatakan pihak tertentu mendesak beliau campur tangan dan membebaskan mereka daripada tuduhan di mahkamah.

PM tidak menyatakan siapa, tetapi rakyat faham individu yang dimaksudkan yang sedang berdepan puluhan tuduhan mahkamah.

Keengganan PM mengikut telunjuk mereka, mencetuskan kemarahan.

Menggunakan pengaruh, Zahid dan Najib membakar sentimen rakyat, ahli Majlis Tertinggi dan beberapa Ahli Parlimen UMNO untuk menarik sokongan terhadap PN dan Muhyiddin, sehingga PM terpaksa menghadap Yang di-Pertuan Agong dan menjelaskan kedudukan sebenar.

Selepas diterima baik oleh Agong dan Muhyiddin memberi jaminan keabsahan beliau sebagai PM akan dibawa ke sidang Dewan Rakyat, Zahid dan konco-konconya masih tidak berpuas hati.

Mereka menganggap sidang Parlimen pada 6 September ini masih jauh, sedangkan ketetapan awal telah dipersetujui bahawa sidang Dewan Rakyat akan diadakan pada tarikh itu.

Pada awalnya blok pembangkang dan Zahid bersama kemnya tidak membantah sidang Parlimen diadakan pada 6 September, tetapi apabila kerajaan PN dan Muhyiddin tidak juga tumbang-tumbang walaupun bermacam-macam cara telah mereka lakukan, akhirnya mereka sepakat mendesak Parlimen bersidang lebih awal.

Pendek kata, tidak perlulah rakyat Malaysia beratur panjang untuk mengundi jika senang-senang kita boleh mengubah mana-mana kerajaan yang tidak diingini, sebagaimana berlaku di Thailand.

Membaca laporan-laporan berita yang disiarkan sejak beberapa hari ini, ada sesuatu yang tidak kena sedang berlaku.

Andaian boleh dibuat untuk diri sendiri sahaja.

Mungkin rakan saya RPK yang ada gelaran itu layak membuat tafsiran dan mendedahkannya.

Tok Akhi
Penganalisis Politik Kampung

Kolumnis