Terengganu Salur Pencen Rakyat RM300 Bermula Ahad Ini

Terengganu Salur Pencen Rakyat RM300 Bermula Ahad Ini

Seramai 19,230 warga emas berumur 60 tahun ke atas di negeri ini akan mula menerima bantuan Pencen Rakyat sebanyak RM300 seorang bermula Ahad ini (21 Nov).

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri Hanafiah Mat berkata bantuan itu merupakan satu daripada 20 manifesto Pas pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) 2018.

“Bayaran RM300 itu merangkumi Jun hingga Disember tahun ini yang akan mula disalurkan secara berperingkat kepada penerima bermula 21 Nov.

Pembayaran penuh iaitu sebanyak RM600 setahun kepada penerima yang layak akan mula dilakukan pada tahun hadapan.

“Bantuan ini dikhususkan kepada rakyat Terengganu berusia 60 tahun ke atas yang sudah bersara dan tidak menerima bantuan daripada mana-mana agensi kerajaan negeri dan Persekutuan,” katanya ketika ditemui pemberita di Wisma Darul Iman, di sini hari ini.

Hanafiah berkata pemberian bantuan Pencen Rakyat itu seiring dengan peruntukan RM13 juta yang diumumkan Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar ketika membentangkan Belanjawan Terengganu 2022, semalam.

BERNAMA

Terengganu