Tak Suka Judi, Tak Payahlah Tanya, Kan Dah Kena

Tak Suka Judi, Tak Payahlah Tanya, Kan Dah Kena

Jawapan Menteri Agama, YB Senator Ustaz Idris Ahmad dalam bentuk soalan kepada salah seorang wartawan yang bertanyakan soalan mengenai judi, amat tepat dan kena pada adabnya.

PAS adalah parti yang paling mahir dengan soalan jebakan dari musuh.

PAS sudah lama bergelumang dengan kumpulan wartawan yang sering cuba memutarbelitkan kenyataan pimpinan PAS, dengan harapan, ia menjadi peluru kepada mereka, memusnahkan karakter pimpinan PAS yang membawa imej Islam.

Sesetengah manusia sukar menyedari bahaya atau risiko sesuatu bahaya itu.

Dan salah satu cara mahu memberikan pelajaran yang berkesan, kita terkadang perlu membuatkan diri mereka sebagai contoh.

Jika kita lihat ke belakang, jawapan dalam bentuk soalan dikembalikan kepada penanya ini, sudah lama digunakan.

Ia bukan suatu kepelikan.

Sama juga teknik marahkan anak memanjat, dengan menyuruh dia memanjat semakin tinggi.

Dia turun kerana sedar akan bahaya.

‘Reverse psychology’

Rasulullah pernah bertanya kembali kepada seorang yang ingin berzina, adakah dia suka jika ahli keluarga perempuannya dilakukan perkara yang sama?

Pada ghalibnya, jawapan dalam bentuk soalan itu, akan menyentak hati mereka.

Menandakan mereka juga membencinya.

Jadi pertanyaan mereka itu samada tidak disedarinya atau hanya sekadar mahu memerangkap.

Ada juga sahabat bertanya tentang kiamat, Rasulullah bertanya kembali, apa persiapan kamu?

Dan jawapan dalam bentuk soalan itu menunjukkan orang yang disoal sudah dapat mengesan tujuan soalan itu.

Kita sudah mengetahui judi, bukanlah ada dalam mana-mana amalan agama di dunia ini.

Sama sahaja dengan mencuri.

Pernah jawapan yang diberikan oleh Presiden PAS suatu masa dahulu di sebuah hotel di Kuala Lumpur, apabila PAS Terengganu mengadakan sesi dialog bersama bukan Islam.

Dalam majlis itu, Presiden PAS yang juga MB Terengganu ketika itu ditanya akan hak asasi manusia untuk berjudi.

Dengan tenang beliau menempelak kembali penyoal, jika begitu, adakah kita kena berikan juga lesen kepada pencuri, kerana hak asasi mereka, walaupun semua agama melarang.

Langsung mendudukkan penyoal.

Almarhum Tuan Guru Nik Aziz juga pernah memberikan contoh kepada bukan Islam yang jika hukuman syariah dikenakan, ia kepada orang Islam.

Yang mencuri biasanya orang Islam dan orang kaya biasanya orang Cina.

Jadi bila semua pencuri dihukum, nanti orang kaya Cina itu, akan rasa selamat harta dan hidup mereka.

Hidupnya menjadi aman.

Walaupun yang diberikan contoh itu mencuri itu orang Islam, tetapi ia cukup berkesan kepada bukan Islam bila harta mereka selamat.

Malahan cerita berkenaan sekumpulan isteri orang bukan Islam di Kelantan berterima kasih kepada almarhum TGNA kerana mengharamkan judi dan mengawal penjualan arak, masih segar dalam ingatan semua barangkali.

Sangat mendalam penerimaan mereka apabila dijadikan mereka sebagai ibarat.

Pernah tak kita dengar soalan kepada bukan Islam yang jika mereka dirompak, dan kemudiannya perompak itu ditangkap, apa yang mereka mahu buat.

Tidak sedikit yang menjawab “kasi bunuh itu olang maaa”.

Keputusan hukuman mereka mahukan itu, lebih teruk berbanding hukuman hudud yang hanya dikenakan potong tangan yang mereka kata zalim itu.

Kena kepada mereka, baru dia sedar, malah merasakan hukuman Islam itu ringan daripada apa yang mereka mahukan. Jelaskan?

Inilah kebaikan bertanya semula kepada penanya, biar dia sedar, biar dia rasa.

Menteri Agama hanya mengikut kaedah jawapan daripada Rasulullah, almarhum Mursyidul Am dan Presiden PAS sahaja.

Wartawan yang lama, sudah tahu dan pernah merasa jawapan berbisa dari pimpinan PAS.

Bagi wartawan baru, kena jadikan pengajaran untuk lain kali, niat bertanya itu jangan untuk maksud lain.

Disertakan gambar jawapan Timbalan Menteri Kewangan yang kutipan cukai judi pada tahun 2019 yang dikatakan lapan kali itu RM3.43 bilion, rupanya jauh lebih besar daripada hasil 22 kali cabutan judi sekarang.

Siapa memerintah tahun 2019?

Dan sebelum DAP mengajak pengundi Melaka menolak PAS dan PN, mereka kena terlebih dahulu desak dua Adun Pan Kedah yang bangun menyokong menutup kedai judi di Kedah.

DAP kan bos besar Pan?

Mohd Nasir Abdullah

Kolumnis