Kedai Nombor Ekor Masa PKP

Kedai Nombor Ekor Masa PKP

Tiada kedai nombor ekor ketika perintah kawalan pergerakan (PKP).

Rakyat tak mati. Orang bukan Islam dan orang Islam tidak berbalah kerana tiada kedai judi buka.

Duit yang ada digunakan ke tempat yang lain. 

Bukan kedai urut, bukan kedai karaoke dan bukan kedai hiburan kerana semua tidak dibuka masa PKP.

Ia digunakan di tempat lain yang bukan senarai di atas.

Covid-19 menyebabkan hujah hak itu hak ini tidak bergema. 

Semua menerima ketiadaan kedai nombor ekor, kedai urut dak kedai jual arak dengan baik. 

Tiada yang terhegeh-hegeh mencari.

Masa Covid-19 setiap negeri dibuka ikut fasa pemulihan. 

Ada yang cepat ada yang lambat. 

Kedai judi dan pelbagai jenis hiburan adalah di kategori terlambat.

Tidak dibuka tiada yang pergi. 

Buka sahaja terus ada yang pergi. 

Bukan benda wajib ataupun sunat. 

Haram mengikut siapa yang melihatnya.

Apa yang nak dikata ialah setiap negeri membuka sektor ekonomi mengikut fasa pemulihan. 

Itu bukan soal hak atau pilihan. 

Itu soal keputusan kerajaan.

Setiap keputusan kerajaan sudah pasti ada penentangannya. 

Cuma tidak tahu apakah penentang ini terdiri daripada majoriti ataupun minoriti rakyat.

Di dalam dunia demokrasi, minoriti terpaksa mengikut nafsu majoriti. 

Itulah hakikat demokrasi. 

Jika majoriti tersilap pilih, nasiblah labu.

Jika majoriti mahukan pemimpin yang terlibat dengan rasuah, minoriti boleh bantah tetapi terpaksa terima walaupun tak akur.

Bising ke bulan pun bukan boleh mengubah keputusan majoriti.

Apabila ada kerajaan negeri yang berani membuat keputusan yang berlainan dengan negeri lain, itu hak kerajaan negeri tersebut. 

Kerajaan negeri tersebut yang perlu berdepan dengan rakyatnya.

Jika rakyatnya tidak suka, boleh sahaja mengundi untuk mengubah kerajaan. 

Jika majoriti rakyat suka dengan keputusan itu, kerajaan negeri itu akan kekal.

Kerajaan Kedah akhirnya mengikut langkah kerajaan Kelantan dan Terengganu untuk menutup kedai judi empat nombor ekor. 

Seperti mana fasa pemulihan PKP di mana semua negeri berlainan status beberapa bulan yang lalu, ia juga tidak lain daripada itu.

Kerajaan yang diterajui PAS memang tak akan lulus kedai judi empat nombor ekor. 

Itu sudah memang sinonim dengan kerajaan PAS. 

Kerajaan Umno dan yang lain pula akan luluskan sahaja.

Itu kelainan pentadbiran mengikut selera masing-masing, seperti mana kerajaan Sabah dan Sarawak ada cara tersendiri mengurus negeri masing-masing dan tidak mahu mengikut model di Semenanjung Malaysia.

Jika rakyat tak suka, undilah kerajaan yang manifestonya memperjuangkan hak kedai empat nombor ekor pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). 

Biar padan muka kerajaan Kedah kalah kerana haramkan judi.

Tapi kalau majoriti rakyat Kedah suka dengan keputusan itu dan kerajaan yang diterajui PAS ini kekal selepas PRU15 seperti Kelantan, jangan pula kata rakyat tersilap undi.

Jika itu dikira silap mengundi, isu terowong, isu 1MDB dan isu skandal forex semua pun tersalah undi juga.

Timmy Say

Kolumnis