Baiah, Jaafar Rasa Gerun Akan Laknat Allah

Baiah, Jaafar Rasa Gerun Akan Laknat Allah

“Dalam baiah PAS itu sendiri, ada menceritakan tentang laknat, dan kalau kita baca, disaat saya mengangkat sumpah baiah hari itu, sesuatu perasaan yang sangat gerun, ia terbit dari dalam diri, andainya aku mengingkari baiah ini, laknat bagaimanakah yang Allah akan turunkan?

Iaitu bukan sahaja kepada diri saya, tetapi juga kepada ahli keluarga saya dan itu menjadikan satu ikatan atau kegerunan, keazaman untuk saya, sekali saya mengangkat baiah, insyaallah, saya akan pegang apa kata-kata yang saya ucapkan itu,” begitu pengalaman berbaiah yang dikongsi calon PN N09 Durian Tunggal, Jaafar Othman.

Beliau yang diminta untuk mengulas berkenaan perbezaan antara baiah calon-calon PAS yang tiada rekod melompat dan akujanji calon-calon lain yang dilihat akan memberikan kesan besar terhadap kesungguhan calon PAS dalam menjalankan tugasan mereka nanti.

Selain baiah, Jaafar turut meluahkan antara faktor lain yang menguatkan rasa tanggungjawab beliau untuk memikul tanggungjawab sebagai seorang Adun, jika dipilih nanti ialah kerana merasa malu terhadap Adun-Adun PAS yang lain, terutama di Kelantan dan Terengganu yang terbukti beramanah.

Bagi beliau, ini bukan sekadar janji untuk memancing undi, tetapi kesungguhan untuk bersaing secara baik seperti yang dianjurkan oleh Islam dalam memberikan khidmat terbaik kepada rakyat dan pimpinan PAS telah membuktikannya di peringkat negeri dan pusat.

Mengulas berkenaan kelompok pengundi yang memilih untuk tidak berparti yang kelihatannya seperti orang kecewa, Jaafar menyeru kepada golongan ini supaya melihat kepada contoh baik yang PAS bawakan.

“Pada hari ini, sebahagian daripada mereka ini, terutama golongan muda, mereka ini bersifat ‘non-partisan’ disebabkan oleh contoh-contoh yang sedia ada yang contoh itu datang, bukan dari PAS.

(Ia datang) Daripada parti-parti yang lain, perebutan kuasa, salahguna kuasa, kerakusan mereka, menjadikan rakyat rasa politik itu mengarut, sedangkan dalam Islam itu mengajarkan bahawa kita sebagai rakyat, perlu mengambil tanggungjawab untuk menentukan siapakah pemimpin yang akan mentadbir kita.

Dalam PAS, kita ada menceritakan politik itu ada dosa, ada pahala, ada syurga, ada neraka, ada halal, ada haramnya dan atas sebab itu, saya menyeru kepada ‘non-partisan’ itu, hak tuan-tuan untuk terus keluar mengundi, memlih pemimpin.

Sebabnya, andainya tuan tidak menyatakan pendirian tuan dalam memilih kepimpinan, orang batil, orang jahil, akan diangkat sebagai pemimpin, maka kerosakan  akan terus berleluasa di persada politik Malaysia dan seluruh alam ini,” jelas beliau.

Jaafar juga membuat seruan kepada semua pengundi di Dun Durian Tunggal dan seluruh Melaka, untuk beramai-ramai keluar mengundi esok, 20 November dan mengundi calon-calon dari PN.

Politik