Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang adalah sebutir permata yang Allah kurniakan.
Sejak usia muda hinggalah sekarang, masa dan tenaganya dikorbankan untuk mendidik dan memandu ummah.
Jutaan insan menyayangi dan merindui kalamnya.
Tatkala para harbi dan munafikin tak pernah diam menentangnya.
Beliau bukanlah seorang jeneral tentera.
Tidak berpangkat berpaku di dada.
Tidak mengawal ribuan soldadu dan senjata.
Tetapi sekali berbicara, gementar musuh gelabah bercempera.
Sekali mengarah dan menunjuk arah, jutaan pengikutnya memacu langkah menggegar persada.
Beliau bukan pakar ekonomi atau strategis saham turun naik di pasaran.
Tidak sebaris kapitalis yang berbicara tentang modal dan keuntungan.
Namun, kunjungilah khazanah ilmunya.
Ratusan buku sempat ditulis dalam kesibukan memimpin ummah.
Rusilanya menjadi taman ilmu.
Mentafsir wahyu dan memimpin ummah tak pernah jemu.
Beliaulah nakhoda ummah.
Berbahtera dari pinggir Laut China Selatan.
Meredah gelombang samudera di Nusantara.
Ke seluruh pelosok dunia Islam, memadamkan persengketaan dan perdamaian ditebar.
Sengketa bertukar menjadi damai berkat pengaruh dan keikhlasannya.
Jubahnya tidaklah semahal dirinya.
Tetapi pernah tersarung atas nama Timbalan Kesatuan Ulamak Sedunia.
Nakhoda kita adalah murabbi ummah yang kian lanjut usianya.
Kini badannya kian susut.
Langkahnya sudah banyak bertongkat.
Kekadang ucap bicaranya kelihatan lelah dan tersekat.
Namun bila berbicara tentang perjuangan, gemersik suaranya mengalahkan kita yang masih sihat.
Apabila ditanya tentang kesihatannya, jawabnya ‘mestilah sihat kerana kita kan nak berjuang’.
Tidak malukah kita yang cerdik pandai gagah bertenaga tetapi banyak beralasan?
Nakhoda bervisi menyatukan ummah.
PAS, UMNO, BERSATU dan semuanya diajak ke matlamat yang jelas.
Membawa kita dalam bahtera siasah agar selamat sampai ke pintu akhirat.
Tiada seorang pun terkilan berada di bawah panji-panji perjuangannya.
Malah semua kita merintis kemenangan Islam dalam pelbagai peranan berkat asuhan dan kepimpinannya.
Nakhoda kita selalu dimaki dan dipersenda.
Perkataan yang bukan-bukan hanya menghiris hati kita tetapi tidak berbekas pada jiwanya.
Beliau seperti biasa mengucapkan kemaafan kepada pembenci.
Inilah teladan umpama kisah penduduk Taif yang melempar batu mendarahi Nabi hingga ke buku lali.
Yang terlontar dari mulut adalah doa agar bersama Islam suatu hari nanti.
Nakhoda ummah sudah di hujung usia.
Bakal menyusuli sahabat-sahabat tersayang yang seangkatan.
Almarhum Ustaz Fadhil Noor, Almarhum Ustaz Harun Taib, Almarhum Ustaz Abu Bakar Chik, Almarhum Ustaz Azizan Razak, Almarhum Ustaz Harun Din, Almarhum Ustaz Nik Abdul Aziz adalah sekadar beberapa nama dari ribuan saf pejuang Islam yang pergi mendahuluinya.
Rindu Tuan Guru bukan kepalang kepada mereka semua.
Di kesempatan PRU15 ini, renunglah dengan kasih sayang wajah seorang nakhoda ummah.
Biarkan anjing-anjing harbi menyalak bukit.
Jangan kita yang bersyahadah turut terbabit.
Bantulah perjuangan mendaulatkan Islam yang telah dirintis.
Turun dan pulanglah mengundi.
Setiap langkah, setiap sen duit minyak adalah infaq.
Jangan berkira untuk Islam.
Kerana Islamlah hari ini kita selamat, menjadi mukmin yang budiman.
Ada bekal untuk mengadap Tuhan.