Wahai para mujahidin Parti Islam Se-Malaysia (PAS) di pelbagai peringkat.
Terus perkukuh ukhuwah silaturrahim dan perkemas gerak kerja untuk meneruskan perjuangan.
Ingatlah ‘perang’ belum berakhir dan tidak akan pernah berakhir hingga kiamat.
Sebaliknya bersiap siagalah dengan segala ‘persenjataan’ dan kekuatan.
Jangan tinggalkan Bukit Uhud.
Menang atau kalah, sudah menjadi amalan kita tetap meraikannya dengan kenduri kesyukuran hampir setiap malam di sana sini.
Namun jangan leka dan lalai serta usahlah terlalu gembira dengan kemenangan besar kita baru-baru ini sehingga berasa selesa dengan keadaan semasa.
Jangan tinggalkan Bukit Uhud.
Musuh semakin mara, bertambah bersemangat disebabkan kebimbangan mereka dengan ‘gelombang hijau’ yang membadai dalam PRU15 lalu hingga menjadi terpinga lesu seolah-olah mereka tidak percaya dengan apa yang berlaku.
Tindak balas kita hendaklah selari dengan keputusan jemaah yang dipandu arahnya oleh pimpinan.
Pertimbangan dibuat sudah pasti akan menguntungkan Islam keseluruhannya.
Jangan tinggalkan Bukit Uhud.
Langkah mereka disusun kembali dengan pelbagai perancangan jahat dirangka semula.
Mereka sudah terbiasa menggunakan senjata fitnah, tuduhan liar yang terus dilancarkan terhadap lslam dan para pejuangnya.
Kata-kata hikmah yang perlu kita fahami dan sedari;
الحق بلا نظام يغلبه الباطل بنظام
“Kebenaran yang tidak tersusun boleh dikalahkan oleh batil yang tersusun.”
Jangan tinggalkan Bukit Uhud.
Jeneral musuh juga sudah mula memberi amaran agar dikekang gelombang perubahan ini.
Pelbagai sekatan dan tekanan mula dikenakan kepada kita, tetapi tugas kita mesti memastikan cahaya lslam terus gemilang.
Tiada yang mudah melainkan dengan tindakan yang istiqamah, meneruskan usaha dakwah Rasulullah S.A.W dengan menelusuri jalan siyasah syar’iyyah.
Jangan tinggalkan Bukit Uhud.
Bangkitlah para pejuang, pasukan pemanah (mujahid siber) boleh terus melancarkan anak panah untuk memusnahkan musuh.
Tetapi kita tetap utuh dengan prinsip perjuangan Islam kerana adanya dosa dan pahala yang perlu diambil kira dalam usaha mendapatkan keredhaan Allah S.W.T.
Jangan tinggalkan Bukit Uhud.
Para ulamak terus memberikan kesedaran dan kefahaman dengan sabar agar kita semua sebagai murabittin yang bersedia menjadi benteng agama Islam.
Ahli Suffah pula terus bermunajat memohon bantuan Allah S.W.T dengan semua kita berada di posisi masing-masing, Insya-Allah.
USTAZ SALLEH SAID
Yang Dipertua
PAS Kawasan Tambun
