Sains Dan Islam

Sains Dan Islam

Tadarus pada juz ke 23 melibatkan empat surah iaitu surah Yaasin disambung pada ayat 28, surah Shoffat dan Shod kemudian surah Al-Zumar sehingga ayat ke 31.

Di permulaan juz, Allah menerangkan tentang kekuasaan-Nya dalam menggerakkan matahari dan bulan.

Pergerakan matahari di atas paksinya yang mengambil masa 25 hari bagi melengkapkan satu putaran di samping ia juga bergerak mengelilingi galaksinya iaitu bimasakti dinyatakan dalam kandungan ayat tajri dan mustaqar.

Hal ini menyatakan tentang kekuasaan Allah dan ketetapan-Nya bagi merangsang manusia agar mengkaji rahsia kejadian putaran dan peredaran objek-objek di langit.

Allah mengulangi untuk kesekian kalinya agar menjauhi syaitan, kelak akan turut disiksa bersamanya.

Manusia tidak akan dapat menyelamatkan diri di akhirat nanti walaupun sehebat mana sekalipun kerana bukan mulut mereka sahaja yang bercakap malah semua anggota turut bercakap.

Di awal surah Shoffat, dinyatakan perihal mereka yang tersesat jalan dan keadaan mereka yang menakutkan di mahkamah Allah kelak termasuklah gambaran siksaan yang sangat mengerikan.

Seterusnya dibawakan kisah Nabi Ismail yang akur dan taat kepada bapanya walaupun terpaksa menjadi korban sembelihan di tangan bapa sendiri kerana ianya adalah perintah Allah. Nabi yang taat ini seterusnya melahirkan generasi para Anbiya’ yang istiqamah dan thabat iaitu Nabi Ishak seterusnya Nabi Musa, Harun, Ilyas, Luth dan Yunus Alaihimussalam.

Awal surah Shod juga di mulai dengan pengkisahan perjuangan para Anbiya’ dalam menghadapi karenah kaum mereka.

Ternyata asas yang dibawa oleh mereka dalam memimpin masyarakat ialah dengan dasar sifar dosa.

Begitulah apa yang dilakukan dalam pentadbiran Nabi Daud dan Sulaiman sehingga mereka diberi kekuasaan yang tidak ada tolok bandingnya.

Begitulah dengan Nabi-Nabi lain yang dinyatakan dalam surah ini iaitu Nabi Ilyasa’, Zulkifli, Nuh dan Soleh yang membawa konsep dakwah yang selari iaitu tiada penyembahan melainkan hanya kepada Allah.

Manusia akan selamat jika bersama para Anbiya’ dan akan sesat selamanya jika terpedaya dengan hasutan syaitan yang telah berjanji untuk menyesatkan anak cucu Nabi Adam.

Sementara dalam surah AI-Zumar, selain dinyatakan tentang pemasakan akidah bahawa hanya kuasa Allah mengatasi kuasa sekalian yang lain, Allah turut mengingatkan manusia tentang adab ketika hidup di dunia, walaupun senang atau susah wajib mengingati Allah.

Jika manusia hanya ingat Allah semasa susah dan lupa di kala senang, ia dibimbangi berakhir dengan kekufuran.

Allah juga menegaskan bahawa siapa yang benar-benar menjauhi thaghut, maka akan diberi balasan yang mengembirakan serta mendapat nur atau cahaya yang menyinari, sedangkan orang yang jahat dan zalim, hati mereka akan membatu seterusnya membawa padah di akhirat dengan menjadi bahan bakaran api neraka, wal’iyaazubillah!

Sentiasalah basahi lidah dengan zikrullah dan kerap berdoa dengan doa yang dianjurkan oleh Rasulullah S.A.W apabila bertemu Lailatul Qadar.

Doa ini diajar oleh Rasulullah kepada Siti Aishah R.Anha apabila ditanyakan kepada Baginda tentang doa untuk dibaca sekiranya bersua Lailatul Qadar.

عن عائِشةَ رَضِيَ اللهُ عنها قالت: قلتُ: يا رسولَ اللهِ، أرأيتَ إنْ عَلِمْتُ أيُّ ليلةٍ ليلةُ القَدرِ، ما أقولُ فيها؟ قال: قُولي: اللَّهُمَّ، إنِكَّ عَفُوٌّ تُحِبُّ العَفوَ فاعْفُ عَنِّي

“Daripada Aishah R.Anha berkata; aku bertanya Rasulullah; Apakah sarananmu sekiranya aku dapat tahu salah satu malam itu adalah Lailatul Qadar, apa yang perlu aku baca? Sabdanya: berdoa lah; Ya Allah sesungguhnya Engkau Maha Pengampun dan sangat suka mengampunkan kesalahan maka ampunilah segala ketelanjuranku”.

(Riwayat Turmudzi)

Dato’ Ahmad Yakob

Minda Pemimpin