Terengganu: Semarakkan Pelancongan Ibadah Dan “Edu Tourism”

Terengganu: Semarakkan Pelancongan Ibadah Dan “Edu Tourism”

Negeri dengan pelbagai tarikan pelancongan ini menjadi tarikan pesona terbesar untuk percutian dalam negara.

Jajaran pantai putih bersih yang panjang, lata dan sungai yang pelbagai, pulau-pulau yang serba indah, manakala negeri ini lumayan dengan bervariasi makanan tradisional.

Rakyat Terengganu secara umumnya dikenali sangat peramah dan sentiasa mengalukan kedatangan pelancong luar dan domestik.

Negeri cantik dengan budaya yang menarik ini mensasarkan seramai 4.5 juta pelancong untuk tahun 2024 ini.

Terma pelancongan ibadah adalah gagasan pemikiran yang diutarakan oleh almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat dengan merujuk aktiviti keagamaan yang mampu menarik pelancong untuk bertandang.

Kelantan telah menunjukkan contoh bagaimana pondok agama mampu menjadi tarikan pelancongan.

Antara kelebihan negeri Terengganu ialah negeri ini mempunyai ramai ulama dan juga penceramah agama seperti Ustaz Azhar Idrus, malah sang alim seperti Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang dan ratusan pengkuliah- pengkuliah lain yang hebat.

Ceramah, kuliah , daurah kitab, forum perdana, ijtimak ilmu, hiwar adalah seperti irama yang mengasyikkan dan khabar gembira daripada rakyat negeri Terengganu.

Ribuan penuntut ilmu setiap minggu berhimpun di kampong Rusila, Medan ilmu Jerteh, Medan Ilmu Kuala Berang dan lain-lain lokasi negeri itu.

Pengkuliah yang tersohor dan berilmu akan menambah gula dalam senyuman rakyat Terengganu bak teh panas yang dimakan dengan nasi dagang.

Negeri jantung hati muslim negara ini merupakan wilayah pengaruh PAS kedua yang terkuat selepas Kelantan.

Dalam tiga pilihanraya Umum, PAS merengkuh kekuasaan di negeri penyu bertelur ini iaitu pada tahun 1959, 1999 dan 2018, manakala dalam Pilihanraya tahun 1969 dan 2013 hanya berselisih dua kerusi untuk memerintah negeri Tok Ku Paloh ini.

Terengganu dengan karektor negeri mesra ulama, sekelompok ulama daripada Yaman, Sheikh Muhamad Shariff, membawa deenullah ini ke Terengganu dan dibuktikan pelaksanaan Syariah Islam melalui Batu Bersurat Terengganu.

Ulama besar Terengganu seperti Tokku Pulau Manis, Tokku Paloh, Tok Sheikh Pulau Duyong dan ratusan ulama yang mencerahkan akal.

Malah ulama pejuang seperti Tuan Guru Abdul Rahman Limbong, Tuan Guru Musa Minangkabau, Tuan Guru Umar Siam yang mendobrak kehadiran British.

Negeri ini paling akhir undang-undang Islam dicabut daripada batang tubuhnya.

Pondok-pondok, maahad dan sekolah agama rakyat seperti sekam dibakar api, terus bercambah dengan dokongan masyarakat tempatan, paralel dengan kegiatan jihad ta’lim.

Terengganu pada awal abad 20 menyaksikan Sarekat Islam Terengganu menjadi wadah penentangan kepada British dengan kemuncaknya berlaku perang Padang Kachong pada tahun 1928.

Negeri ini pernah ditadbir oleh sultan yang alim, iaitu Sultan Zainal Abidin lll dengan penasihat utamanya Sayyid Muhamad Abdul Rahman atau Tokku Paloh yang berani.

Negeri yang subur dengan jihad ta’lim ini turut disentuh sikap beragama rakyatnya oleh Munsyi Abdullah, juga menjadi negeri terakhir di Tanah Melayu yang menanggalkan pelaksanaan Undang-Undang Islam.

Dengan latarbelakang semaraknya pendidikan Islam melalui sekolah pondok dan sekolah agama rakyat di Terengganu inilah, maka PAS menjadikan negeri ini kubu mereka.

Dalam Pilihanraya 1959, PAS Pusat telah meletakkan ramai tokoh-tokoh nasional bertanding di negeri ini.

Antaranya ialah Dr Burhanuddin al Helmi, Hasan Adli, Khadijah Sidek telah memenangi kerusi Parlimen.

Budaya mendengar ceramah politik Islam adalah hiburan di negeri ini, begitu juga kuliah maghrib perdana.

Pimpinan PAS Terengganu pasca era kepimpinan ulama telah memberikan perhatian besar kepada pemberdayaan institusi pendidikan Islam maka Badan Perhubungan PAS Terengganu menubuhkan Maahad Darul Quran Rusila pada tahun 1985 dan juga KUDQI .

Dewan Ulama PAS Terengganu dengan kerjasama PAS kawasan-kawasan telah menubuhkan jaringan sekolah rendah Islam diseluruh Terengganu seperti Darul Taqwa, Darul Bayan, Darul Ehsan, Darul Iman, Darul Falah, SRIDAF dan lain-lain.

Dewan Pemuda PAS pula mengoperasikan jaringan PASTI diseluruh Terengganu sehingga pendidikan pra-sekolah ini menjadi fenomenal.

Kegiatan jihad pendidikan di Terengganu juga disuburkan oleh pelbagai pihak persendirian serta pimpinan PAS malah fenomena kemunculan maahad-maahad tahfiz seperti cendawan dimusim hujan.

Terengganu pasca 9 Mei 2018 menyaksikan kesuburan majlis-majlis ilmu dengan mendadak, ramai asatizah dan selebriti agama memilih Terengganu untuk berprogram.

Masjid di seluruh Terengganu seperti berlumba-lumba mengadakan pelbagai program keilmuan serta pentauliahan skala besar kepada para pendakwah.

Ini digalakkan oleh kerajaan PAS Terengganu, juga melalui penubuhan IMIT-S serta pelbagai gerakan swadaya untuk memajukan jihad pendidikan.

Sidang DUN Terengganu sesi lepas juga menunjukkan keseriusan kerajaan Terengganu dibawah DS Dr Ahmad Samsuri Mokhtar untuk memperkasa dan memartabatkan institusi pendidikan Islam.

Sebanyak lima juta ringgit diperuntukkan kepada sekolah pondok, maahad tahfiz, sekolah agama rakyat di negeri Terengganu dalam belanjawan tahun 2024.

Terengganu dijangka akan menarik ramai pelajar-pelajar luar Terengganu untuk bermukim ilmu di negeri ini terutama di sekolah pondok dan maahad tahfiz.

Malah ini antara aset pelancongan ibadah untuk menjadikan Terengganu tempat tumpuan pelancong mencari ilmu agama dan juga beribadah .

Terengganu melebarkan pendemokrasian pendidikan dengan lebih luas kepada rakyatnya dengan menubuhkan Sekolah Rendah Islam Darul Iman dan Sekolah Menengah Islam Darul Iman, memperhebatkan pengajian di masji surau.

Impian untuk melihat kewujudan Universiti Islam juga bakal direalisasikan dinegeri ini, tanah berkah legasi para alim ulama dan istana yang cintakan ilmu ini dapat mempelbagaikan sumber pendapatan selepas sekatan demi sekatan untuk mendapatkan hak royalti Terengganu.

Terengganu perlu memperbanyakkan masjid-masjid yang berkarektor “pusat sehenti” dengan pelbagai kemudahan dalam kawasan premis masjid yang meliputi rumah inap, dobi, klinik, cafetaria, pusat cucian kereta, kedai gunting rambut, kedai runcit 24 jam, dan lain-lain kemudahan.

Pelbagai acara besar melibatkan tokoh-tokoh ilmu dari luar negara perlu sentiasa diadakan seperti Ustaz Dr Abdul Samad, Baba Eil Sepanjang al Pattani dan nama-nama besar yang lain.

Karnival dan acara hiburan patuh syariah bertunjang majlis ilmu akan memeriahkan ekonomi rakyat negeri ini, bahkan menjemput rahmat daripada sang pencipta, “Baldatun Toyyibun warabbun Ghafur”.

Oleh : Dr Riduan Mohamad Nor

( Penulis ialah AJK PAS Pusat, ADUN JERTEH)

Pelancongan