PRK Kemaman Dan PRK Kuala Kubu Bharu

PRK Kemaman Dan PRK Kuala Kubu Bharu

MB Selangor sepatutnya belajar dengan MB Terengganu. Hari ini Kuala Kubu Bharu menjadi tumpuan sempena PRK bukan sahaja buat parti bertanding, bahkan kerajaan negeri dan pusat.

Selepas KPKT dan KKM, berbondong-bondong program sumbangan lain masuk ke KKB dan kawasan sekitar oleh kerajaan negeri Selangor.

1. Program Sumbangan Ehsan Rahmah di Balairaya Jalan Padang Golf, Kuala Kubu Bharu. 400 ketua isi rumah terima pek barangan asas.

2. Program Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan (Blueprint) di Dewan Batang Kali. 26 usahawan terima bantuan alat niaga berjumlah keseluruhan peruntukan RM133,400.

3. Peruntukan RM45,00 daripada MBI. 9 buah Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil di daerah Hulu Selangor terima RM5,000 setiap sekolah untuk pembaikan infrastuktur.

4. Subsidi Tambang Bas Sekolah RM1.1 juta. 324 pelajar SJKT terima baucar tambang bas RM300.

Baru-baru ini, Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Negeri Selangor juga dibuat di pekan KKB. Dakwa MB Selangor, tiada unsur kempen dan sumbangan diberikan.

Namun, jika beliau benar-benar mahukan pertandingan yang sihat dan adil, tempat majlis sepatutnya ditukar. Bahkan semua bentuk sumbangan boleh ditangguhkan dahulu.

Mengimbau PRK Kemaman, ada contoh baik untuk dikenang.

Menteri Besar Terengganu, Dr Sam menang bergaya dengan modus kempen yang mudah.

Atas kekangan kerja hakiki dan masa yang ada, beliau hanya berjumpa rakyat di tempat mereka, ceramah umum dan petugas PRK di pusat gerakan. Tidak berjumpa di kedai makan dan menghadiri jamuan.

Jauh sekali mengambil kesempatan untuk mengumumkan sebarang pemberian dana dan projek kerajaan negeri di Kemaman. Juga tidak bercakap atau merendahkan calon lawan.

Bahkan, Dr Sam memilih tidak memperincikan jumlah bonus untuk penjawat awam dalam pembentangan Belanjawan Terengganu 2024. Walhal, sebagai Menteri Besar beliau boleh sahaja berbuat demikian kerana sudah tertulis dan diputuskan.

Demikianlah contoh demokrasi sebenar, pertandingan yang sihat dan adil.

Kami menyeru kepada seluruh pengundi KKB untuk membuat pilihan yang bijak pada 11 Mei 2024 ini dan buktikan kepada pemimpin Kerajaan Madani serta dunia bahawa rakyat KKB tidak akan mudah termakan dengan gula-gula politik tidak bermaruah seperti yang mereka lakukan ini.

ZURK AHMAD
Ketua Penerangan PAS Selangor

Pilihanraya