Tolak Calon PH Kerana Kerajaan Gagal Selesai Isu Kos Sara Hidup

Tolak Calon PH Kerana Kerajaan Gagal Selesai Isu Kos Sara Hidup

Majlis Kepimpinan Tertinggi BERJASA bersepakat menyokong calon Perikatan Nasional (PN), Khairul Azhari Saut dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu, 11 Mei ini.

Presiden BERJASA, Zamani Ibrahim menegaskan parti itu menolak calon diletakkan Pakatan Harapan (PH) yang dilihat gagal mengotakan janji untuk menyelesaikan kos sara hidup.

Ini kerana, isu bekalan beras dan pengenalan cukai baharu yang membebankan menyebabkan rakyat begitu terkesan di bawah pentadbiran kerajaan sekarang.

“Kerajaan juga masih bermentaliti pembangkang dengan galak bermain isu yang menyentuh sensitiviti rakyat melibatkan Melayu dan Islam.

“Isu Mahkamah Syariah, keluhuran bahasa Melayu dan identiti negara yang secara perlahan-lahan ingin meminggirkan identiti budaya Melayu menampakkan kerajaan sekarang ini langsung tidak menghormati hak dan peruntukan Melayu dan Islam di dalam Perlembagaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Justeru, menurut Zamani, sudah tiba masa untuk rakyat memberikan isyarat jelas kepada kerajaan dengan mengundi calon PN pada PRK Kuala Kubu Bharu.

“BERJASA ingin menyeru agar rakyat Kuala Kubu Bharu turun beramai-ramai melaksanakan kewajiban sebagai pengundi pada 11 Mei ini,” katanya.

PRK Kuala Kubu Baharu menyaksikan pertembungan empat penjuru antara calon Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN), Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan calon Bebas.

Ia diadakan pada 11 Mei dan 7 Mei sebagai pengundian awal susulan kematian penyandang daripada DAP, Lee Kee Hiong, 58, pada 21 Mac lalu akibat kanser.

Pilihanraya