Chegu Bard Didakwa, Dituduh Atas Akta Hasutan 1948

Chegu Bard Didakwa, Dituduh Atas Akta Hasutan 1948

Ahli Jawatankuasa Penerangan BERSATU, Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali Chegu Bard tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur untuk berdepan pendakwaan mengikut Akta Hasutan 1948.

Chegu Bard memakai set baju Melayu lengkap dikawal ketat polis dalam keadaan bergari sebelum dibawa masuk lobi mahkamah pada jam 9.20 pagi.

Beliau sempat memberi salam dan mengucapkan selamat Hari Raya kepada pengamal media yang mengambil foto dan videonya.

Kelmarin, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata Chegu Bard ditahan dan reman dua hari untuk siasatan mengikut Akta Hasutan 1948.

“Tangkapan berhubung hantaran yang mengaitkan Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dengan isu pembinaan kasino di Forest City serta membabitkan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sebagai benteng kritikan,” katanya.

Walau bagaimanapun beliau mengaku tidak bersalah menghasut dan menghina Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.

Chegubard, nama popular Badrul Hisham Shaharin didakwa di bawah Akta Hasutan dan Seksyen 500 Kanun Keseksaan.

Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Siti Aminah Ghazali membenarkan Chegubard, diikat jamin RM10,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin.

Chegubard yang mengenakan busana Melayu hijau lengkap dan bersamping kuning kini dalam proses membayar ikat jamin.

Timbalan pendakwa raya hari ini pada mulanya meminta ikat jamin RM20,000 bagi setiap kes dan melarang Chegubard untuk mengulas kes ini di media sosial.

Hakim bagaimanapun menolak cadangan itu dengan menetapkan ikat jamin RM10,000 bagi setiap tuduhan dan kes akan disebut semula pada 27 Mei ini.

Isu Semasa