Persediaan Ketenteraan Dan Penaklukan Baitul Maqdis Oleh Saidina Umar

Persediaan Ketenteraan Dan Penaklukan Baitul Maqdis Oleh Saidina Umar

Strategi pembebasan Baitul Maqdis telah dimulakan sejak zaman Rasulullah SAW dan strategi ini disambung sehingga zaman Khulafa ar-Rasyidin.

Pembebasan tanah suci ini mengambil tempoh masa yang panjang malah pembebasan kali pertama Baitul Maqdis tidak berlaku semasa Rasulullah SAW masih hidup.

Pelbagai aspek diambil kira termasuk ilmu, politik dan ketenteraan.

Ketenteraan merupakan tunjang yang paling akhir dilaksanakan selepas dipasak kukuh ilmu makrifat berkenaan kepentingan Baitul Maqdis kepada para sahabat dan hubungan politik negara-negara Arab.

Tindakan Rasulullah ini menunjukkan bahawa asas kepada sesuatu perjuangan ialah al-ilm wa al-fahm (ilmu dan kefahaman) sebelum memasuki peringkat yang lebih besar iaitu ketenteraan. 

Pelan Strategi Ketenteraan Rasulullah SAW.

Surat kepada Heraklius -Menurut Prof Dr Abd Fattah el-Awaisi, Rasulullah mengutus surat-surat kepada beberapa pemimpin dunia pada waktu tersebut untuk berdakwah kepada mereka untuk kembali kepada fitrah.

Antara salah seorang pemimpin yang diutuskan surat ialah Heraklius, pembesar Rom.

Rasulullah menghantar Dihyah bin Khalifah al-Kalbi al-Khazraji sebagai utusan dan surat tersebut bertulis: 

    “Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Dari Muhammad utusan Allah kepada Heraklius, pembesar Rom. Sejahtera ke atas siapa yang mengikut petunjuk. Masuklah Islam maka kamu akan sejahtera. Masuklah Islam dan Allah akan mengganjarimu dua kali ganda. Dan jika kamu berpaling (dari dakwah ini), maka kamu  menanggung semua dosa kaum Arisiyin ( الأَرِيسِيِّين ).

    Rasulullah menghantar seorang utusan yang bernama Dihyah bin Khalifah al-Kalbi yang ditugaskan untuk mengutus surat kepada Heraklius, pembesar Rom pada ketika itu.

    Tujuan surat itu dihantar ialah untuk mengajak Heraklius kembali kepada fitrah. 

    Heraklius menerima surat tersebut dan dia tertanya-tanya siapakah yang menulis surat tersebut kerana pada hematnya, tidak ada kerajaan yang dapat menandingi kerajaannya melainkan kerajaan Parsi.

    Beliau mengeluarkan arahan untuk didatangkan kepadanya pedagang Arab yang berada di Palestin pada waktu itu untuk menghadapnya.

    Abu Sufyan bin Harb (pada waktu itu belum masuk Islam) menjadi wakil pedagang Arab untuk menghadap pembesar Rom itu.

    Berlaku dialog antara Heraklius dan Abu Sufyan.

    Perang Mu’tah – Rasulullah ingin meluaskan taklukan Islam di Syam (Syria, Lubnan, Jordan dan Palestin kini) dengan melantik al-Harits bin Umair al-Azdi sebagai utusan bagi menghantar surat kepada penguasa Busra yang berada di bawah pemerintahan Rom.

    Namun, perkara lain muncul apabila utusan Baginda telah dipenggal kepalanya oleh Syurahbil bin ‘Amr al-Ghassani, pemimpin suku Ghassaniyah yang berkuasa di wilayah Palestin dan sekitarnya.

    Selain itu, satu kejadian tragis berlaku di mana seramai 14 orang sahabat Rasulullah telah terbunuh di Dzatu Athla.

    Kaum Nasrani Syam yang dipimpin pemimpin Rom telah memerintahkan supaya membunuh sesiapa sahaja yang memeluk agama Islam.

    Oleh kerana itu, perang Mu’tah merupakan perang tuntut bela atas kematian para syuhada’. 

    Perang Tabuk – Perang Tabuk antara perang yang paling sukar dan getir yang ditempuhi tentera Islam.

    Peperangan yang harus berdepan dengan kuasa besar dunia ketika itu iaitu empayar Rom.

    Antara kesusahan yang dihadapi tentera Islam ialah terpaksa merendam kulit haiwan dan memakan daun sebagai alas perut selain jarak antara Madinah ke Tabuk kira-kira 700 kilometer.

    Bagaimanapun sebelum tiba detik pertempuran, tentera Rom mengambil keputusan berundur dan Rasulullah SAW mengadakan perjanjian damai dengan pemimpin dari Ailah, Jarba’ dan Azruh.

    Persediaan angkatan tentera Usamah bin Zaid – Sebagai tanda mengenang jasa dan penghormatan kepada Zaid bin Harithah, Rasulullah telah melantik Usamah bin Zaid sebagai panglima angkatan perang untuk menuntut bela kematian ayahnya dan para sahabat yang syahid dalam perang Mu’tah, memberi pengajaran terhadap tentera Rom yang membunuh dan menyerang utusan Rasulullah serta menghina apa yang dibawa oleh mereka.

    Usai lengkap persediaan yang dilakukan pasukan Usamah bin Zaid, mereka berangkat menuju Syam atau lebih spesifiknya ke bumi Palestin yang berada di bawah pemerintahan Rom atas arahan Rasulullah. 

    Di pertengahan perjalanan, pasukan Islam menerima berita bahawa Rasulullah SAW telah wafat, maka mereka mengambil keputusan untuk berpatah balik ke Madinah.

    Namun, rancangan membebaskan Baitul Maqdis tidak terhenti di situ di mana Sayidina Abu Bakar as-Siddiq bangkit memenuhi wasiat Baginda walaupun pada awalnya Saiyidina Umar al-Khattab tidak bersetuju untuk menghantar Usamah menjadi panglima untuk ke Syam. Sayidina Abu Bakar berkata, 

      “Berangkatlah pasukan Usamah, sesungguhnya aku tidak peduli jika binatang-binatang buas akan menerkam dan mencabik-cabikku di Madinah kerana berangkatnya pasukan tersebut. Sesungguhnya telah turun wahyu kepada Nabi Muhammad, Berangkatlah pasukan Usamah!!’, dan aku tidak akan mengubah keputusan Baginda.

      Pembebasan Baitul Maqdis oleh Umar al-Khattab

      Misi penaklukan kerajaan Rom dan Parsi diteruskan oleh Sayidina Abu Bakar al-Siddiq secara pada masa yang sama.

      Bagaimanapun, takdir tidak mengizinkan maka, disambung pula oleh Sayidina Umar al-Khattab.

      Zaman pemerintahan Sayidina Umar al-Khattab merupakan garis masa yang penuh dengan kejayaan tentera Islam menjarah negara-negara Arab dan sekitarnya sehingga berjaya menawan Baitul Maqdis. 

      Penaklukan Iraq dan Parsi

        Sayidina Abu Bakar mengarahkan tentera Islam ke pinggir-pinggir negeri Iraq yang diketuai oleh Khalid al-Walid dan al-Muthanna bin Harithah.

        Mereka berjaya  mengalahkan kabilah Arab yang tinggal di bahagian selatan Sungai Furat dan menewaskan tentera Parsi lalu menawan al-Hirah dan al-Anbar.

        Beberapa peristiwa berlaku dan Sayidina Abu Bakar mengarahkan Khalid bin al-Walid membantu tentera Islam yang memerangi tentera Rom di Syam dan Palestin pada waktu tersebut. 

        Tiba masa Sayidina Umar al-Khattab dilantik menjadi khalifah selepas kewafatan Sayidina Abu Bakar, kedudukan kerajaan Parsi semakin lemah.

        Berikutan kemerosotan kekuatan kerajaan Parsi dan kekalahan tentera Rom di medan Ajnadin telah membawa Sayidina Umar fokus kepada penaklukan Iraq.

        Sayidina Saad bin Abi Waqas telah dipilih menjadi panglima perang untuk membuka negeri Iraq menggantikan Sayidina Umar al-Khattab yang berhasrat memimpin pasukan tentera Islam pada awalnya. 

        Tercetus sebuah peperangan di antara pasukan Saad bin Abi Waqas dan pasukan Rastam yang mewakili tentera Parsi.

        Rastam telah terbunuh dalam perang  ini dan sebahagian besar tenteranya telah melarikan diri dari medan perang.

        Dengan berakhirnya perang, maka kawasan Jalaula’ berjaya ditakluk dan beberapa pembesar di daerah-daerah Jalaula’ memeluk agama Islam.

        Langkah seterusnya, Sayidina Saad bin Abi Waqas membuka bandar Kufah dan membina Masjid Jame’  sebagai pusat utama masyarakat Islam.

        Selepas Kufah berjaya ditawan, tentera Islam bergerak ke al-Madain, ibu negeri Parsi.

        Bermula dari kemenangan ini, Islam berjaya menawan lebih banyak kawasan jajahan kerajaan Parsi hingga hampir keseluruhan Parsi berjaya ditakluk dan empayar keluarga al-Sasaan terhapus. 

        Penaklukan Syam dan Palestin 

          Selepas tentera Islam berjaya mengalahkan empayar Parsi, fokus beralih kepada misi menjatuhkan empayar Rom.

          Ekoran perang yang diketuai oleh Sayidina Usamah bin Zaid memihak kepada tentera Islam, Heraklius dengan penuh dendam menyiapkan bala tenteranya menyerang tentera Islam.

          Tentera Rom telah dikerahkan untuk mengawal di sempadan negeri-negeri Arab-Palestin dan beberapa panglima perang tentera Islam telah dilantik dan diminta menuju ke tempat-tempat berikut:

          Abu Ubaidah al-Jarrah menuju ke Hims dan markaz di al-Jabiah

          1. Amru bin ‘Aas menuju Palestin
          2. Yazid bin Abi Sufyan menuju ke Damsyik
          3. Syarhabil bin Hasanah menuju ke Wadil Urdun

          Sebaik sahaja pasukan tentera Islam di bawah kelolaan Sayidina Amru bin ‘Aas berjaya memasuki Palestin, Heraklius berasa tidak senang duduk.

          Maka Heraklius telah menghantar bala tenteranya seramai lebih daripada 100000 orang.

          Namun, atas strategi yang utuh, teratur serta pertolongan Allah ke atas tentera Islam yang berada di bawah pimpinan Sayidina Amru bin ‘Aas, berjaya mengalahkan tentera Heraklius (Byzantine) dengan kekuatan bilangan tentera sangat sedikit berbanding pihak musuh. 

          Perjalanan Khalid ke Syam – Perang Yarmouk

            Tumpuan tentera Islam terhadap penaklukan di Iraq dan penguasaan kawasan jajahan Rom pada waktu ini, tetapi keadaan di Syam di bawah pimpinan Sayidina Abu Ubaidah al-Jarrah agak lemah. 

            Sayidina Khalid al- Walid telah menggantikan Sayidina Abu Ubaidah al-Jarrah mengetuai pasukan tentera Islam sehingga sampai ke Busra.

            Pasukan Islam mengecapi kemenangan yang besar dan pada masa yang sama di Palestin, Amru bin ‘Aas menghancurkan angkatan tentera Rom. 

            Satu khabar telah sampai kepada tentera Islam berkenaan Maharaja Rom telah menghantar empat pasukan untuk menentang mereka.

            Maka, selepas berbincang dengan panglima perang Islam yang lain, satu keputusan telah dibuat dengan memilih Yarmouk sebagai tempat pertempuran.

            Kawasan geografi Sungai Yarmouk yang berbukit dan agak berbahaya telah memberi jangkaan kepada pihak musuh bahawa tempat tersebut merupakan satu kawasan yang strategik dan memudahkan mereka untuk mengalahkan pihak lawan.

            Apabila mendengar khabar itu, Heraklius melengkapkan angkatan tentera di bawah pimpinan Mahan yang lebih ramai daripada bilangan tentera Islam.

            Sebelum bermulanya perang, Heraklius telah mengirimkan utusannya untuk bertemu dengan Sayidina Abu Ubaidah al-Jarrah untuk berdamai.

            Namun Sayidina Abu Ubaidah enggan menerima pelawaan tersebut dan menyatakan bahawa perdamaian akan diterima beliau selepas Syam dan Palestin berjaya ditakluk oleh tentera Islam.

            Peperangan yang berlaku diketuai oleh Sayidina Khalid al-Walid pada awalnya namun diganti oleh Sayidina Abu Ubaidah al-Jarrah atas arahan Sayidina Umar al-Khattab seelpas beliau menjadi khalifah kedua.

            Kaum wanita juga turut serta dalam peperangan ini.

            Akhirnya, tentera Rom jatuh di tangan tentera Islam.

            Sedang tentera Islam berjuang melawan musuh di Yarmouk, Sayidina Abu Bakar akhirnya kembali ke alam baqa’. 

            Pembukaan Kota Damsyik dan Baitul Maqdis

              Berita kemenangan tentera Islam dalam perang Yarmouk sampai kepada Heraklius.

              Dia yang berada di Baitul Maqdis pada waktu itu melarikan diri dan jejaknya diburu oleh tentera Islam.

              Sayidina Umar mengarahkan pasukan Abu Ubaidah untuk menguasai Damsyik terdahulu kerana tempat tersebut merupakan benteng Syam.

              Tentera Islam telah mengepung Damsyik selama 70 hari dan berjaya mengalahkan penduduk Damsyik.

              Setelah menguasai Damsyik, tentera Islam menuju Fahl.

              Pertempuran antara tentera Islam dan Rom menjadi sengit.

              Peperangan berjaya dikalahkan dan seterusnya Abu Ubaidah dan Khalid bergerak menuju Hims, Himah, Qansarin, Lazakiah dan Halb.

              Setiap satu kawasan berjaya ditakluk.

              Di samping itu, Amru dan Sharhabil berjaya menjajah satu persatu Damsyik.

              Mereka menuju ke Baitul Maqdis bagi misi seterusnya.

              Umar menghantar Abu Ubaidah al-Jarrah sebagai utusan untuk ke negeri Syam.

              Umar tidak mahu pertumpahan darah berlaku kerana sikap Abu Ubaidah yang lemah lembut.

              Umar mengambil contoh Rasulullah dalam peristiwa Fathul Makkah (tiada pertumpahan  darah berlaku).

              Apabila tiba di Baitul maqdis, Abu Ubaidah meminta pasukan tentera membuat kepungan sebagai benteng.

              Mereka tidak terus menyerang, tetapi mengirim utusan untuk membawa surat ke pembesar di sana waktu itu.

              Penduduk Baitul Maqdis berada  dalam ketakutan namun masih enggan memberi Baitul Maqdis sehingga musim sejuk tiba.

              Akhirnya penduduk Baitul Maqdis menyerah kalah dan meminta Sayidina Umar sendiri yang hadir untuk mereka menyerahkan kunci kota suci itu.

              Umar memenuhi permintaan tersebut dan tiba di Baitul Maqdis dalam keadaan tidak bermewah-mewah seperti pemimpin negara yang lain.

              Beliau memberi jaminan kepada penduduk Baitul Maqdis dalam satu perjanjian yang dinamakan al-Uhd al-Umariyah.

              Perjalanan pembukaan Baitul Maqdis merupakan satu perjalanan yang panjang.

              Strategi perlu ampuh, pemimpin perlu patuh, jangan lagak angkuh, jika tidak, pasti jatuh.

              Keangkuhan raja-raja kuasa besar menyebabkan kerajaan mereka jatuh ke tangan orang Islam.

              Pengkhianatan yang wujud dalam organisasi menjadi faktor utama kehancuran sesuatu empayar.

              Bagi pembukaan Baitul Maqdis buat kali ketiga, strategi perlu dirangka dengan baik seperti mana rancangan yang telah diatur Rasulullah. 

              Nur ‘Afifah

              Sejarah