Menolak Politik Mitos Kerajaan Madani

Menolak Politik Mitos Kerajaan Madani

Geger di segala ceruk rantau Tanah Melayu, penjawat awam akan menikmati kenaikan gaji pada Disember hadapan.

Ramai yang teruja. Malah, ada laporan menyebut ia sebagai kenaikan terbesar dalam sejarah.

Berita gembira itu diumum Perdana Menteri (PM) Anwar Ibrahim pada sambutan Hari Pekerja 1 Mei lepas.

Katanya skim gaji penjawat awam naik lebih 13 peratus bermula 1 Disember 2024.

Menurutnya kadar terbabit tertinggi dan terbaik dalam sejarah negara.

Berita itu merebak cepat di kedai-kedai kopi dan warung di kampung.

Ramai ingatkan gaji baharu akan dinikmati akhir Mei ini. Rupanya tidak begitu.

Penjawat awam terpaksa menunggu tujuh bulan lagi.

Mereka yang panjang usia boleh menikmati kadar gaji baharu itu.

Namun yang paling gembira pengumuman tersebut merupakan golongan kapitalis.

Tauke sudah tentu berkira-kira menaikkan harga barangan.

Inilah kesan kebijaksanaan kerajaan Madani.

Menguar-uarkan lebih awal durian runtuh yang akan berlaku tujuh bulan lagi.

Persoalannya mengapa PM begitu tergesa-gesa.

Sudah pasti ada udang di sebalik batu.

Pengumuman itu berlaku ketika kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) sedang rancak di Kuala Kubu Bharu (KKB).

Kalau bukan kerana KKB, Perdana Menteri boleh memilih tarikh lain.

Paling tidak menjelang Bajet 2025 dibentang. Itu dianggap lebih rasional.

Tetapi mengapa idah PRK KKB menjadi pilihan PM mengumumkan kenaikan gaji.

Sedangkan badan pemikir PH mendakwa DAP mampu mempertahankan DUN berkenaan.

Institut Darul Ehsan (IDE) dilapor yakin calon PH mampu mengekalkan kemenangan di Kuala Kubu Baharu, 11 Mei ini.

Pengerusi Eksekutifnya Dr Mohammad Redzuan dilapor berkata, kemenangan itu berdasarkan daripada kajian yang dijalankan.

3 wanita vs 1 lelaki

PRK DUN Kuala Kubu Bharu menyaksikan pertembungan empat penjuru.

PH ditentang calon Perikatan Nasional (PN), Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan calon Bebas.

PH diwakili orang kuat menteri, Pang Sock Tao.

Beliau dicabar Pemangku Ketua Bersatu Hulu Selangor, Khairul Azhari Saut.

Manakala PRM diwakili Hafizah Zainuddin dan Nyau Ke Xin mewakili Bebas.

Pengundi KKB terpaksa memilih antara tiga calon wanita dan seorang lelaki.

Kehadiran seorang lagi calon kaum Cina sebagai mewakili Bebas, setidak-tidaknya boleh mengurangkan jurang dikaut DAP.

Begitu juga kelibat Hafizah sebagai calon PRM.

Sedangkan ketika Dr Syed Husin Ali menerajui parti itu dia membuat keputusan bergabung dengan Parti Keadilan Nasional pada 3 Ogos 2003.

Hasil penggabungan tersebut melahirkan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Dan laba daripada penggabungan itu Dr Syed Husin dilantik sebagai Timbalan Presiden PKR.

Dan hari ini PRM muncul pula di KKB berdepan dengan DAP.

Begitu juga Parti Berpakat Hak Rakyat Malaysia (URIMAI) dilihat di KKB.

Biarpun tidak menurunkan calon, namun kelibat Presiden parti baharu itu boleh menarik simpati pengundi DAP.

Ini kerana Dr P Ramasamy merupakan bekas Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang dan pemimpin kanan DAP.

Kehadiran P Ramasamy di KKB ternyata dibimbangi DAP.

Kata Setiausaha Agung DAP Anthony Loke, “Dia tidak ada alternatif, maksudnya Ramasamy berpolitik atas dendam sahaja. Dendam kepada DAP dan PH.”  Berita mengenai luas dilapor media.

Penglibatan PRM dan URIMAI biarpun pada skala kecil, namun boleh mengheret pengundi DAP menolak Sock Toa.

Setidak-tidaknya misi URIMAI mengajak penyokong DAP tidak keluar rumah 11 Mei ini boleh mencacatkan kajian IDE.

Harapkan Umno

Jadi sekarang di mana lagi harapan PH.

Mampukah Umno menyumbang bakti menarik simpati pengundi Melayu di KKB.

Berdasar culaan PN, 16 Pusat Daerah Mengundi (PDM) di KKB cenderung kepada calon PN. Mereka menolak DAP.

“Ketika culaan dibuat, ramai menyatakan rasa marah dan kecewa dengan tindakan BN tidak meletak calon MCA di KKB,” kata Ketua Penerangan Srikandi Bersatu Selangor Nurul Syazwani.

Malah tekanan dialami Umno dan PH apabila rakyat di KKB tidak takut lagi menyatakan sokongan terbuka kepada PN dan PAS.

Ia turut diakui ahli parlimen Hulu Selangor Hasnizan Harun apabila mendakwa ada penduduk menyertai PAS.

“Alhamdulillah, Siti Sakina menyerahkan borang keahlian PAS kepada Timbalan Presiden PAS Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man dengan disaksikan Naib Presiden PAS Ustaz Idris Ahmad.

“Terima kasih lagi sekali kepada Pak Hassan atas kesudian menerima kunjungan kami semua,” catatnya di laman sosial.

Berdasar perkembangan itu 47 peratus pengundi Melayu, Cina (30 peratus), India (17 peratus) dan selebihnya Orang Asli di KKB sudah ada pilihan mereka.

Umpan kenaikan gaji 13 peratus penjawat awam pada Disember 2024 kurang membekas di jiwa mereka.

Apa yang ditakuti rakyat kenaikan harga barangan keperluan harian. Ia sudah pasti akan berlaku.

Maka peluang terbaik 11 Mei ini untuk mereka menolak politik mitos kerajaan Madani yang sarat dengan aneka janji. 

Pilihanraya