Kebebasan Media: Pembangkang ‘Hentam’ Fahmi, Kerajaan

Kebebasan Media: Pembangkang ‘Hentam’ Fahmi, Kerajaan

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil terus dikritik selepas kedudukan Malaysia dilaporkan jatuh 34 anak tangga dalam Indeks Kebebasan Media Dunia.

Ini selepas, Malaysia jatuh ke kedudukan 107 berbanding 73 dalam laporan tahunan disediakan pemantau media global Reporters Without Borders (RSF) – yang menilai kebebasan media di 180 negara.

Untuk kali pertama dalam tiga tahun, Malaysia juga bukan lagi berada di kedudukan tertinggi untuk negara Asean apabila dipintas oleh Thailand (87).

Laporan terbaru itu berdasarkan penilaian landskap media sepanjang tahun 2023, yang menyaksikan siri tindakan terhadap media dalam talian dan penulis blog, menjadikannya penilaian pertama mengenai kebebasan media di bawah kerajaan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bagaimanapun, Fahmi dilaporkan terbuka menerima laporan itu dan bakal mengambil tindakan dengan merangka usaha yang lebih mapan untuk masa hadapan.

Namun, isu itu lantas menjadi antara bahan utama diulas kebanyakan pemimpin pembangkang, yang sudah tentu mengambil peluang mengkritik sikap kerajaan berkaitan hak bersuara dan kebebasan media sejak memerintah.

Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Hamzah Zainuddin dalam kenyataan hari ini secara sinis mempersoalkan laporan RSF, sedangkan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Fahmi sebelum ini mendakwa mereka pejuang kebebasan bersuara serta media.

“Apa dah jadi? Bukankah PMX dan Menteri Komunikasi kata mereka pejuang kebebasan media dan kebebasan bersuara?

“Hebat reformasi Madani sehinggakan jatuh 34 anak tangga,” sindirnya.

Sementara itu, Ketua Penerangan PAS Pusat, Ahmad Fadhli Shaari turut mengkritik prestasi kerajaan daripada laporan berkenaan dan menyifatkan Malaysia lebih teruk kerana berada di kedudukan di bawah Israel (101).

“Hari ini Israel di tangga 101 dalam Indeks Kebebasan Media dengan 53.23 mata manakala Malaysia lebih rendah di tangga 107 dengan 52.07. Malaysia lebih teruk!

“Takkanlah kerajaan Yahudi lebih adil dan terbuka berbanding Malaysia? Apakah Malaysia sedang menuju pentadbiran kuku besi?,” katanya dalam dua kenyataan berasingan berkait isu itu.

Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Razali Idris pula menyifatkan Fahmi tidak kompeten, tiada mesra media dan gagal menyampaikan maklumat kepada rakyat secara efektif.

Beliau berkata, kecelaruan tanggungjawab dan peranan sebagai Menteri Komunikasi serta jurucakap kerajaan seolah-olah punca utama Malaysia terus merudum dari aspek kebebasan media.

“Sangat jelas Menteri Komunikasi tenggelam dengan sikap syok sendirinya kerana terus gagal mengawal agensi di bawah kementeriannya, RTM, Jabatan Penerangan, J-Kom, Bernama, SKMM sehingga maklumat tidak sampai kepada khalayak.

“Eloklah Menteri Komunikasi undur diri kerana telah mezahirkan penerimaan dengan hati terbuka dan usah lagi sibuk merangka usaha-usaha atau pelan strategik, takut Malaysia jauh terjerumus selagi di bawah kerajaan perpaduan,” katanya.

Isu Semasa