Forum Antarabangsa Ummah Muslim (MUNIF) 2025 telah menghimpunkan 120 peserta termasuk pemimpin gerakan Islam, sarjana dan aktivis kemanusiaan dari sembilan negara.
Kehadiran delegasi dari Malaysia, Indonesia, Thailand, Vietnam, Brunei, Pakistan, Sri Lanka, Bangladesh dan Turkiye menunjukkan komitmen padu umat Islam serantau terhadap isu-isu ummah sejagat.
Antara tokoh penting yang hadir ialah Presiden Saedat Parti Turki, Mahmut Arikan; Amir Jamaat Islami Pakistan, Hafiz Naeem ur Rehman; Emir Jamaat Islami Sri Lanka, Ash-Sheikh M H M Ussair Islahi serta beberapa pemimpin lain dari rantau Asia Tenggara.
Forum yang membugar semarak perjuangan untuk terus mendukung pembebasan dan memerdekakan bumi Palestin khususnya Masjid Al-Aqsa itu berlangsung di Bandar Darulaman, di sini hari ini.
Exco Kerajaan Negeri Kedah, Prof Dr Haim Hilman Abdullah dalam ucapan perasmiannya menekankan bahawa MUNIF adalah wadah penting yang bukan sekadar menyatakan solidariti terhadap Palestin, bahkan untuk merangka tindakan konkrit dan strategik.
Beliau menegaskan bahawa Kedah bersama gabungan SG4 (Kedah, Kelantan, Terengganu, Perlis) telah tampil sebagai ‘hab solidariti’ Asia Tenggara dengan inisiatif seperti tabung khas Palestin.
Juga program kesedaran di sekolah dan universiti, mobilisasi sukarelawan, sokongan kepada gerakan BDS serta tawaran pendidikan dan biasiswa untuk rakyat Palestin.
Presiden Parti Saadet Turki, Mahmut Arikan pula dalam ucapan beliau melontarkan harapan agar MUNIF menjadi pencetus kepada lahirnya sebuah badan antarabangsa yang menyatukan negara-negara Islam, ibarat United Nations for Islamic Countries.
Menurut beliau, hanya dengan platform rasmi sebegini suara umat Islam dapat digembleng secara kolektif untuk memperjuangkan keadilan di Palestin dan dunia Islam
Ucapan utama disampaikan Timbalan Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang menekankan bahawa Asia Tenggara mempunyai sejarah panjang dalam menyokong perjuangan Palestin sejak era sebelum merdeka.
Beliau mengingatkan bahawa isu Palestin adalah ujian iman dan maruah umat, serta menyeru agar forum ini menghasilkan strategi praktikal merangkumi politik, diplomasi, ekonomi, pendidikan dan media.
Beliau turut mengusulkan penubuhan Jawatankuasa Bertindak Asia Tenggara sebagai platform penyelarasan gerakan Islam dan badan bukan kerajaan (NGO) di rantau ini.
Ahli Parlimen Kubang Kerian itu juga menekankan bahawa umat Islam Asia Tenggara mesti menyanggah kezaliman Zionis dengan ‘gelombang ketegasan’.
Jelas beliau, gerakan itu mesti melalui tindakan bersama yang konsisten, termasuk gerakan boikot dan pengukuhan suara diplomasi di peringkat antarabangsa.
Kemuncak forum menyaksikan pengumuman Deklarasi Kedah 2025, yang memuatkan 10 resolusi utama.
Antaranya ialah penubuhan Southeast Asia–Palestine Solidarity Network (SEAPSN); penyelarasan Tabung Kemanusiaan Bersama Palestin; peluasan tawaran pendidikan dan biasiswa; pengarusperdanaan diplomasi rakyat-ke-rakyat.
Juga advokasi undang-undang jenayah perang Zionis; pengukuhan kempen BDS; pembentukan Forum Belia dan Muslimat Nusantara untuk Palestin; integrasi isu Palestin dalam kurikulum pendidikan.
Selain koordinasi bantuan kecemasan bersepadu, serta pengangkatan resolusi MUNIF ke pentas antarabangsa melalui Pertubuhan Negara Asia Tenggara (ASEAN), Pertubuhan Islam Sedunia (OIC) dan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).
MUNIF 2025 dianjurkan oleh Pertubuhan Pencinta Baitulmaqdis dengan kerjasama Kerajaan Negeri Kedah, Terengganu, Kelantan dan Perlis, serta disokong oleh pelbagai NGO.
Antaranya Yayasan Amal Malaysia, Muslim Care Malaysia, Cakna Palestin, Yayasan Kedah Sejahtera dan Yayasan Permata Ummah.
Forum ini diharap menjadi titik pertemuan utama bagi entiti Islam yang cintakan keadilan, menubuhkan rangkaian solidariti Asia Tenggara dan membawa suara rantau ini ke pentas global sebagai penyumbang utama perjuangan Palestin.
