Dalam suasana politik Malaysia yang penuh dengan kebuntuan dan kegoncangan, rakyat semakin mencari arah baharu dalam kepimpinan negara.
Soalan yang sering timbul: siapakah yang layak menerajui tampuk pemerintahan sebagai Perdana Menteri?
Isu ini bukan sekadar soal teknikal politik atau perebutan jawatan, tetapi soal amanah besar yang menentukan masa depan rakyat dan negara.
Di sinilah kita perlu kembali kepada panduan para ulama dan salafussoleh.
Dalam tausiyah yang disampaikan oleh al-Mursyidul Am PAS, beliau berkata dalam Nahj al-Balaghah dan kitab-kitab hikmah, diriwayatkan bahawa Sayyidina ‘Ali karramallahu wajhah pernah ditanya tentang syarat seorang imam atau pemimpin.
Sayyidina menjawab dengan empat sifat utama ialah:
1. Tawakkul kepada Allah (ٱلتَّوَكُّلُ عَلَى ٱللَّهِ)
Pemimpin sejati tidak boleh hanya bergantung kepada strategi, kuasa, atau sokongan manusia semata-mata.
Dia mesti meletakkan sepenuh pergantungan kepada Allah SWT. Firman-Nya:
وَمَن يَتَوَكَّلْ عَلَى ٱللَّهِ فَهُوَ حَسْبُهُۥٓ ۚ
“Barang siapa bertawakal kepada Allah, maka cukuplah Allah baginya.” (al-Ṭalāq, 65:3)
Seorang Perdana Menteri Islam mestilah memimpin dengan keyakinan bahawa kejayaan negara tidak datang dari kuasa asing atau kekayaan material semata-mata, tetapi dari keberkatan Allah.
Inilah yang telah ditunjukkan oleh pimpinan PAS yang sentiasa menekankan doa, munajat, dan ketundukan kepada Allah dalam perjuangan politik mereka.
2. Beramal dengan al-Qur’an (ٱلْعَمَلُ بِٱلتَّنْزِيلِ)
Al-Qur’an bukan hanya kitab bacaan, tetapi manual pemerintahan dan dasar negara.
Pemimpin yang beramal dengan wahyu akan memastikan setiap dasar ekonomi, sosial, pendidikan, dan undang-undang selari dengan nilai Islam.
Firman Allah SWT:
وَأَنِ ٱحْكُم بَيْنَهُم بِمَآ أَنزَلَ ٱللَّهُ
“Dan hendaklah engkau menghukum di antara mereka dengan apa yang diturunkan oleh Allah.” (al-Mā’idah, 5:49)
PAS sudah lama membuktikan komitmennya dengan menjadikan al-Qur’an dan al-Sunnah sebagai dasar perjuangan.
Bagi PAS, politik bukan sekadar strategi untuk menang pilihan raya, tetapi ibadah dan siyasah syar‘iyyah.
3. Bersedia untuk Akhirat (ٱلْإِعْدَادُ لِلْمَعَادِ)
Kepimpinan adalah amanah yang besar, dan pada hari kiamat setiap pemimpin akan ditanya tentang rakyatnya.
Rasulullah SAW bersabda:
يَا أَبَا ذَرٍّ، إِنَّكَ ضَعِيفٌ، وَإِنَّهَا أَمَانَةٌ، وَإِنَّهَا يَوْمَ الْقِيَامَةِ خِزْيٌ وَنَدَامَةٌ، إِلَّا مَنْ أَخَذَهَا بِحَقِّهَا وَأَدَّى الَّذِي عَلَيْهِ فِيهَا
“Wahai Abu Zar, sesungguhnya engkau seorang yang lemah, sedangkan kepimpinan itu adalah amanah. Pada hari kiamat kelak, ia menjadi kehinaan dan penyesalan, kecuali bagi orang yang mengambilnya dengan haknya dan menunaikan tanggungjawab yang sepatutnya.” (Riwayat Muslim)
Pemimpin Islam yang sejati tidak melihat jawatan sebagai kemuliaan, tetapi sebagai beban yang mesti ditunaikan dengan penuh taqwa.
Inilah rahsia kenapa ramai pemimpin PAS memilih gaya hidup sederhana kerana mereka tahu bahawa setiap ringgit harta rakyat akan dipersoalkan di hadapan Allah.
4. Redha dengan yang sedikit (ٱلرِّضَا بِٱلْيَسِير)
Pemimpin yang tamak harta tidak akan pernah puas, sebaliknya akan mempergunakan jawatan untuk mengumpul kekayaan.
Tetapi seorang pemimpin Islam mesti zuhud, qana‘ah, dan cukup dengan yang sederhana.
Rasulullah SAW sendiri hidup dalam kesederhanaan, walaupun Baginda adalah ketua negara.
Begitulah sepatutnya seorang Perdana Menteri, bukan hidup bermewah-mewah, tetapi dekat dengan rakyat marhaen.
Realitinya, pemimpin PAS dikenali dengan gaya hidup yang sederhana.
Dari rumah kediaman yang biasa, kereta yang sederhana, hinggalah cara berbelanja, mereka mahu menzahirkan contoh bahawa kepimpinan bukan ruang mengaut keuntungan, tetapi medan berkorban untuk rakyat.
Malaysia dan Harapan Baru
Apabila rakyat menilai calon Perdana Menteri, sepatutnya kita menilai dengan neraca empat syarat yang diajarkan oleh Sayyidina ‘Ali.
Kita tidak boleh lagi terpedaya dengan pemimpin yang pandai berpidato tetapi gagal menunjukkan integriti; atau pemimpin yang kaya harta tetapi miskin jiwa.
Malaysia memerlukan seorang pemimpin yang:
- Bertawakkal kepada Allah,
- Beramal dengan al-Qur’an,
- Sedar akan tanggungjawab akhirat, dan
- Redha dengan hidup sederhana.
Inilah ciri-ciri kepimpinan Islam yang telah diasuh dalam PAS.
Maka tidak hairanlah semakin ramai rakyat mula meyakini bahawa PAS mempunyai potensi melahirkan Perdana Menteri yang memenuhi syarat seorang imam menurut pandangan Islam.
Penutup
Tausiyah Sayyidina Ali ini bukan hanya sejarah silam, tetapi panduan masa depan.
Jika Malaysia benar-benar mahu bangkit daripada krisis politik, ekonomi, dan moral, maka kepimpinan berasaskan empat ciri inilah yang mesti diberi peluang.
PAS telah membuktikan ketekunannya dalam perjuangan Islam, istiqamah dalam dasar, dan konsisten dalam mendidik rakyat.
Kini, masanya sudah hampir tiba untuk rakyat melihat bahawa calon Perdana Menteri dari PAS bukan sekadar alternatif, tetapi satu keperluan demi menyelamatkan Malaysia.
Kepimpinan Islam adalah rahmat.
Bila Islam memimpin, rakyat akan sejahtera.
Bila Islam dijadikan dasar, negara akan makmur.
Bila al-Qur’an dijadikan panduan, Malaysia akan menjadi بَلْدَةٌ طَيِّبَةٌ وَرَبٌّ غَفُور, negara yang baik, makmur, dan berada di bawah keampunan Allah.
