Bekas Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad, menegaskan bahawa pembunuhan besar-besaran terhadap rakyat Palestin di Gaza oleh rejim Israel merupakan satu bentuk genosid yang akan kekal dalam lipatan sejarah selama berabad lamanya.
Mahathir memberi amaran bahawa serangan Israel ke atas Gaza yang telah meragut puluhan ribu nyawa, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak akan terus terpahat sebagai jenayah kemanusiaan yang tidak akan terpadam dari ingatan dunia.
Dalam wawancara eksklusif bersama Al Jazeera, tidak lama selepas pulih daripada keletihan, beliau menyifatkan serangan kejam Israel itu sebagai “kezaliman yang akan dikenang oleh generasi demi generasi.”
“Gaza amat dahsyat. Mereka membunuh ibu mengandung… bayi yang baru lahir, orang muda, lelaki dan wanita, orang sakit dan fakir miskin… Bagaimana mungkin ini dapat dilupakan?” katanya.
“Ia tidak akan dilupakan mungkin selama berabad-abad.”
Mahathir menggambarkan pembunuhan hampir 66,000 rakyat Palestin sebahagian besar wanita dan kanak-kanak sebagai bukti jelas genosid, sambil membandingkannya dengan penyembelihan umat Islam di Bosnia pada dekad 1990-an serta pembasmian kaum Yahudi oleh Nazi semasa Perang Dunia Kedua.
“Saya menyangka mereka yang pernah menderita sebegitu tidak akan sanggup menimpakan nasib yang sama kepada orang lain,” ujarnya.
“Mangsa genosid sepatutnya tidak mahu tragedi mereka berulang kepada bangsa lain. Tetapi Israel membuktikan sebaliknya.”
Menurut beliau, Israel kini berusaha mengulangi penderitaan yang pernah menimpa mereka, namun kali ini ke atas bangsa Arab dan umat Islam di Palestin.
Mahathir, yang pernah menjadi suara lantang Dunia Selatan serta pengkritik tegar imperialisme Barat, sejak dahulu dikenali sebagai pembela kuat perjuangan Palestin.
Kritikan tajamnya terhadap Israel dan Amerika Syarikat sering kali mengundang tuduhan anti-Semitisme.
Namun, dalam wawancara itu beliau mengakui pernah menaruh simpati mendalam terhadap Yahudi pasca Perang Dunia Kedua.
Kini, katanya, rejim Israel jelas tidak mengambil sebarang pengajaran daripada sejarah sendiri.
“Mereka tidak belajar apa-apa daripada pengalaman mereka,” tegasnya.
Disiplin Hidup 100 Tahun
Tahun ini, Mahathir menyambut ulang tahun kelahiran ke-100 dengan rutin ketat yang dipegang sejak puluhan tahun: makan sedikit, bekerja tanpa henti dan tidak memanjakan diri dengan rehat berlebihan.
“Perkara utama ialah saya sentiasa bekerja. Saya tidak pernah berehat sepenuhnya,” katanya.
“Saya sentiasa menggunakan minda dan tubuh. Kekalkan akal dan badan aktif, maka kita akan hidup lebih lama.”
Dari pejabatnya di Putrajaya, beliau masih tekun menulis setiap hari sama ada mengenai ekonomi Malaysia, landskap politik semasa, mahupun isu global, khususnya perang Israel di Gaza.
Harapan Penyelesaian Palestin
Memandang ke hadapan, Mahathir menegaskan bahawa satu-satunya jalan “munasabah” ialah penyelesaian dua negara.
Beliau menyambut baik perkembangan terbaru apabila Australia, Belgium, Kanada, Perancis, dan United Kingdom mengiktiraf negara Palestin sebagai satu entiti berdaulat.
Namun, beliau mengakui realiti penyelesaian itu masih jauh dari jangkauan.
“Dalam hayat saya, tidak. Masa terlalu singkat,” katanya penuh kesal.
