Misi Global Sumud Flotilla (GSF) yang ditubuhkan bagi memecahkan sekatan haram Israel ke atas Gaza mengumumkan bahawa konvoi kapal mereka kini berada kira-kira empat hari perjalanan dari wilayah yang dikepung itu, dan dijangka memasuki zon berisiko tinggi dalam tempoh dua hari.
Dalam kenyataan di laman Instagram rasmi, pihak penganjur menyebut bahawa flotila itu kini memasuki peringkat terakhir pelayaran sejauh 370 batu nautika.
“Dalam masa dua hari, kapal-kapal akan memasuki apa yang kami gelar sebagai ‘zon jingga’, kawasan paling berisiko berlakunya pemintasan oleh Israel,” ujar kenyataan itu.
Namun, pada Isnin lalu, misi tersebut terpaksa berhenti seketika selepas salah sebuah kapal, “Johnny M”, mengalami kebocoran di bilik enjinnya.
“Masalah itu tidak dapat diatasi di tengah laut, dan kapal berkenaan tidak mampu meneruskan perjalanan.
“Semua peserta telah dipindahkan dengan selamat ke kapal lain, sebahagian akan disusun semula ke bot-bot lain manakala sebahagian lagi dibawa ke daratan,” jelas pihak penganjur.
Mereka menegaskan bahawa insiden itu tidak akan menyebabkan kelewatan besar, dan konvoi dijangka tiba di Gaza dalam tempoh empat hari.
Konvoi ini turut disertai sebuah kapal tentera laut Itali, manakala sebuah lagi frigat tentera Sepanyol dijangka menyertai misi.
Ancaman Israel
Media Arab Al Jazeera memetik laporan media Israel termasuk penyiar awam KAN yang menyatakan bahawa Tel Aviv kini sedang bersiap sedia untuk memintas serta merampas kapal-kapal flotila tersebut.
Langkah itu dijangka mengulangi insiden rampasan ke atas kapal Madeleine dan Handala pada Jun dan Julai lalu, di mana semua aktivis di atas kapal ditahan secara paksa dan dihantar ke Israel sebelum akhirnya diusir.
GSF digerakkan sebagai satu usaha masyarakat awam antarabangsa untuk menamatkan kepungan Israel.
Konvoi membawa bekalan kemanusiaan termasuk susu bayi dan ubat-ubatan, serta disertai puluhan sukarelawan antaranya doktor, peguam, ahli parlimen, aktivis kesatuan sekerja dan pembela hak asasi manusia.
Namun, Kementerian Luar Israel menuduh misi itu sebagai “flotila Hamas”, sambil menegaskan tidak akan membenarkan sebarang kapal memasuki “zon peperangan aktif.”
Israel menggesa semua kapal berlabuh di Marina Ashkelon untuk memunggah bantuan di situ.
“Bersedia Memintas”
Akhbar Times of Israel pula melaporkan jurucakap tentera Israel, Brig. Jen. Effie Defrin, berkata pada Khamis lalu bahawa Tentera Laut Israel sudah bersiap sedia untuk memintas flotila ini.
“Kali ini berbeza, kerana terdapat berpuluh-puluh kapal, lebih mencabar daripada cubaan flotila terdahulu,” katanya.
Pada Rabu lepas, sekurang-kurangnya 14 kapal flotila dilaporkan diserang oleh dron tanpa pemandu yang melepaskan bahan kimia dan melumpuhkan sistem komunikasi kecemasan.
“Tindakan Terdesak”
Dalam sidang media selepas serangan itu, aktivis GSF menyeru masyarakat dunia dan kerajaan-kerajaan agar menekan Israel supaya menghentikan “serangan ganas” terhadap misi mereka.
Mandla Mandela, cucu Nelson Mandela yang turut berada di salah sebuah kapal, berkata tindakan Israel ke atas flotila terdahulu adalah gambaran jelas bentuk gangguan dan keganasan yang bakal mereka hadapi.
“Ini semua adalah tindakan terdesak, sama seperti yang kita saksikan pada dekad terakhir apartheid di Afrika Selatan,” tegasnya.
Mandela berikrar bahawa usaha flotila tidak akan dihentikan:
“Kami tidak akan berhenti sehingga genosid ini berakhir, bantuan kemanusiaan dapat masuk dengan bebas, dan rakyat Palestin merdeka.”
Penganjur misi menegaskan kembali pada Isnin bahawa,
“Keazaman kami mutlak, tetapi inilah saat di mana kewaspadaan dan solidariti global sangat diperlukan.”
Genosid Berterusan di Gaza
Sejak melanggar gencatan senjata pada 18 Mac lalu, Israel terus melancarkan pengeboman udara ke seluruh Gaza, membunuh dan mencederakan ribuan penduduk Palestin.
Sejak 7 Oktober 2023, tentera Israel dengan sokongan Amerika Syarikat melancarkan perang genosid terhadap Gaza.
Sehingga kini, lebih 66,000 rakyat Palestin terbunuh manakala lebih 168,000 cedera.
Majoriti penduduk telah diusir, manakala kemusnahan infrastruktur di Gaza disifatkan sebagai paling dahsyat sejak Perang Dunia Kedua.
Ribuan masih hilang dan dipercayai tertimbus di bawah runtuhan.
Selain serangan ketenteraan, kepungan Israel juga mencetuskan kebuluran buatan manusia yang telah meragut ratusan nyawa, kebanyakannya kanak-kanak, dengan ratusan ribu lagi berisiko.
Walaupun kecaman antarabangsa semakin meluas, langkah konkrit menuntut pertanggungjawaban Israel masih terbatas.
Negara itu kini sedang disiasat atas tuduhan genosid oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), sementara pemimpin utamanya termasuk Perdana Menteri Benjamin Netanyahu telah disenaraikan sebagai penjenayah perang yang dikehendaki oleh Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).
