Sejarah membuktikan, Zionis Israel adalah pihak yang paling tidak boleh dipercayai dalam apa-apa perjanjian yang dimeteraikan khususnya gencatan senjata.
Pencabulan gencatan senjata oleh pihak Zionis Israel bermula sejak awal penubuhannya pada tahun 1948 sehinggalah ke hari ini.
Di bawah adalah senarai beberapa pencabulan gencatan senjata oleh pihak Zionis Israel sebelum HAMAS mengambil alih Gaza:
1948: Berlaku gencatan senjata antara negara Arab dan negara haram Israel yang dimeteraikan oleh PBB.
Namun tidak berapa lama selepas itu, Zionis Israel melanggarnya dengan menyerang beberapa perkampungan Palestin di Haifa dan ‘Akka.
1948: Selepas berlaku peristiwa di atas, sekali lagi PBB memeteraikan gencatan senjata namun Zionis Israel melanggarnya juga dengan menyerang penduduk Palestin di Haifa serta menghalau penduduk badwi Palestin di padang pasir Naqab.
1955: Zionis Israel melanggar gencatan senjata dengan menyerang Syria.
1956: Zionis Israel melanggar gencatan senjata dengan menyerang Mesir
Sejak HAMAS mengambil kuasa di Gaza melalui pilihanraya pada tahun 2007 berlaku beberapa pertempuran antara pejuang Palestin dan Zionis Israel yang berakhir dengan gencatan senjata.
Setiap kali gencatan senjata dimeteraikan maka pihak Zionis Israel mencabulinya tanpa mempedulikan undang-undang antarabangsa.
2008: Zionis Israel melancarkan serangan ke atas Gaza, akhirnya HAMAS bersetuju untuk memeteraikan gencatan senjata selama enam (6) bulan.
Selepas satu bulan berlangsung, Zionis Israel mencabulinya dengan melakukan serangan darat ke atas Gaza.
2012: Gencatan senjata yang ditaja oleh Mesir berlangsung setelah Zionis Israel melakukan serangan selama lapan hari ke atas Gaza.
Namun ianya juga dicabuli oleh Zionis Israel dengan alasan Mesir berpihak kepada pejuang Palestin sedangkan ianya adalah pihak pendamai.
2014: Setelah peperangan yang berlangsung selama lima puluh (50) hari yang mengorbankan 2000 orang syuhada di Gaza, akhirnya gencatan senjata antara HAMAS dan Zionis Israel termeterai dengan syarat pihak Zionis Israel mestilah menghentikan serangan namun tidak lama selepas itu Zionis Israel mencabulinya.
2019: Tentera Zionis Israel melancarkan operasi ‘Saihatu al-Fajr” (Tempikan Fajar) ke atas Gaza.
Seterusnya termeterai gencatan senjata dengan syarat Zionis Israel hendaklah menghentikan operasi pembunuhan ke atas pejuang Palestin namun ianya juga dicabuli.
Apa yang tertera di atas adalah sebahagian kecil daripada pencabulan gencatan senjata oleh Zionis Israel sama ada dengan negara atau HAMAS yang mentadbir Gaza.
Pencabulan yang berlaku menunjukkan Zionis Israel adalah pihak yang tidak boleh dipercayai kerana mereka menganggap tidak ada kuasa yang boleh mengatasinya termasuk badan-badan antarabangsa.
Justeru gencatan senjata yang sedang berlaku sekarang ini antara HAMAS dan Zionis Israel besar kemungkinan juga akan dicabuli pada bila-bila masa. Kita tunggu dan lihat.
Walaupun Zionis Israel tidak boleh dipercayai akan tetapi peperangan itu adalah tipu daya.
Berdamai tidak semestinya berundur, Insya-Allah ianya adalah satu langkah yang akan membawa kehancuran entiti haram Zionis Israel tidak lama lagi.
“ Kembali Kepada Penyelesaian Islam “
YB Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi
Pengerusi Lujnah Hal Ehwal Antarabangsa PAS Pusat
