Walaupun digempur hebat dan mengalami kerosakan besar, pasukan Hamas muncul semula mengawal jalan-jalan di Gaza hampir sejurus selepas gencatan senjata dengan Israel berkuat kuasa.
Kehadiran mereka bukan sekadar amaran kepada geng-geng yang mempunyai kaitan dengan Israel dan para kolaborator, tetapi juga satu kenyataan jelas tentang siapa yang masih memerintah wilayah Palestin yang hancur akibat perang itu.
Pelan 20 perkara Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, untuk Gaza membayangkan masa depan tanpa sebarang peranan ketenteraan atau politik untuk Hamas.
Namun, para penganalisis berhujah bahawa realiti di lapangan yang sangat kompleks dan ketiadaan alternatif politik yang boleh menggantikan Hamas menimbulkan keraguan besar tentang sejauh mana rancangan itu boleh dilaksanakan.
“Hamas tidak dikalahkan,” kata Azzam Tamimi, seorang sarjana dan penulis dua buah buku mengenai Hamas.
Akhirnya, katanya, Israel terpaksa menandatangani perjanjian dengan Hamas, perjanjian yang menamatkan perang genosid selama dua tahun, membuka jalan kepada bantuan kemanusiaan ke Gaza, pengunduran tentera Israel secara berperingkat dan pertukaran tahanan.
“Benjamin Netanyahu gagal mencapai matlamat utamanya untuk menghancurkan gerakan mujahiddin, apatah lagi matlamat-matlamat lain,” tambah Tamimi.
“Maka bagaimana mereka boleh mengharapkan Hamas hilang begitu sahaja?
“Hamas tidak kalah. Kalau pun tidak menang, mereka juga tidak tewas.”
Selepas dua tahun serangan dan sekatan tanpa henti, Hamas kini merasakan satu bentuk kemenangan awal, kerana mereka tetap teguh menentang pencerobohan Israel dan akhirnya berjaya berunding secara langsung dengan AS bagi menamatkan perang tersebut.
Kini perhatian dunia tertumpu kepada bagaimana Hamas akan menyalurkan rasa kemenangan itu, sama ada dalam bentuk pengukuhan jangka pendek atau strategi jangka panjang.
Kawalan Keselamatan
Dalam tempoh segera selepas gencatan senjata, Hamas berusaha untuk mengukuhkan semula kawalan keselamatan di kawasan-kawasan Gaza yang telah ditinggalkan oleh tentera Israel.
Mereka melancarkan operasi besar-besaran membanteras geng jenayah, penyamun bantuan dan kolaborator Israel yang mengambil kesempatan sepanjang perang untuk menindas orang awam dan anggota Hamas.
Dalam masa beberapa hari sahaja, Hamas menangkap puluhan individu, manakala beberapa yang lain terbunuh dalam pertempuran.
Sekurang-kurangnya lapan orang yang digelar kolaborator dan penjenayah telah dihukum mati secara terbuka di hadapan orang ramai.
Menurut penulis dan penganalisis Palestin, Muhammad Shehada, yang dibesarkan di Gaza, langkah itu mempunyai pelbagai tujuan.
Sebahagiannya ialah untuk mengekang geng yang mengganggu ekonomi Gaza, termasuk mereka yang menjual semula bantuan di pasaran gelap dan menguasai akses kepada wang tunai.
Hamas juga mahu melucutkan senjata geng tersebut dan mengembalikan monopoli kawalan senjata di wilayah berkenaan.
Apabila Israel membunuh para pejuang Hamas, mereka sering merampas senjata berat seperti roket tetapi meninggalkan senjata ringan seperti raifal dan pistol, yang kemudiannya disalurkan kepada kumpulan pesaing atau geng jenayah.
Ini dilihat sebagai sebahagian daripada strategi Israel untuk menanam benih kekacauan sivil.
Kawalan semula yang pantas oleh Hamas membuktikan bahawa walaupun terdapat rancangan Trump untuk menghapuskan Hamas sepenuhnya kumpulan itu tidak akan menyerah begitu sahaja.
“Bukannya mereka akan berlembut dan berkata: ‘Baiklah, kami akan berundur selepas menahan dua tahun perang dan genosid yang belum pernah berlaku,’” kata Shehada.
“Mereka kini sedang berusaha mengumpul sebanyak mungkin pengaruh, menegaskan kembali kehadiran dan kuasa mereka, serta menunjukkan kepada Israel dan AS bahawa Hamas tidak boleh diketepikan.”
Trump pada mulanya dilaporkan menyokong tindakan keras Hamas dengan mengatakan mereka membunuh beberapa geng jahat, tetapi kemudian berubah haluan dan mengancam akan membunuh Hamas jika kumpulan itu terus membunuh orang di Gaza.
Menurut Tamimi, rakyat Gaza lebih mempercayai Hamas berbanding geng atau kumpulan jenayah.
“Hamas adalah satu-satunya kuasa yang dipercayai oleh rakyat Gaza untuk mengekalkan undang-undang dan ketenteraman,” katanya.
“Itulah sebabnya majoriti rakyat Gaza menyokong tindakan keras Hamas terhadap penjenayah yang menyiksa orang, mencuri bekalan makanan dan membunuh bagi pihak Israel.”
Ketua puak terbesar di Gaza, Husni Salman Hussein al-Mughni, turut menyokong kempen itu secara terbuka, menyatakan bahawa Hamas sedang memburu penjenayah yang membunuh kanak-kanak, menjarah bantuan dan bersekongkol dengan Israel.
Persoalan Tentang Senjata
Usaha Hamas mengembalikan kawalan keselamatan ke atas beberapa bahagian Gaza, pada masa AS, Israel dan masyarakat antarabangsa menuntut pelucutan senjata sepenuhnya, mencetuskan perbalahan jangka panjang.
Hamas sejak dahulu lagi menegaskan bahawa mereka tidak akan menyerahkan senjata selagi negara Palestin belum ditubuhkan.
“Tiada siapa yang berhak menafikan kami hak untuk menentang penjajah,” kata pegawai kanan Hamas, Bassem Naim.
Menurut Mohammed Nazzal, anggota Biro Politik Hamas yang lain, keputusan menyerahkan senjata bergantung kepada bentuk program pelucutan itu.
“Projek pelucutan senjata yang kamu maksudkan itu, apa maknanya?
“Kepada siapa senjata itu akan diserahkan?” katanya.
Diplomat Arab sebelum ini memberitahu bahawa para perantara telah berbincang dengan Hamas untuk menyerahkan senjata kepada pasukan pengaman Arab, atau menyimpan senjata berat seperti roket di depot khas tanpa memusnahkannya.
Trump telah mengancam akan melucutkan senjata Hamas dengan cepat dan mungkin secara ganas jika perlu.
Namun strategi sebegitu jarang berkesan.
Shehada merujuk kepada kajian besar oleh Rand Corporation pada Ogos 2008 bertajuk “How Terrorist Groups End” yang meneliti nasib kumpulan militan sejak 1968.
Kajian itu mendapati bahawa kebanyakan kumpulan berakhir apabila mereka bertransformasi menjadi parti politik dan penggunaan kekuatan tentera jarang berjaya menghapuskan mereka.
“Itulah laluan yang mungkin akan diambil oleh Hamas,” kata Shehada.
“Israel cuba mencari penyelesaian ketenteraan melalui genosid, tetapi akhirnya mereka akan sedar bahawa tiada penyelesaian ketenteraan terhadap rakyat Palestin.
“Satu-satunya jalan keluar ialah penyelesaian politik, sama ada cepat atau lambat.”
Tanpa sebarang jalan jelas ke arah penubuhan negara Palestin, malah tidak disebut dalam pelan Trump, Hamas dijangka akan mengekalkan sekurang-kurangnya senjata pertahanannya buat sementara waktu.
Menariknya, pelan Trump menggunakan istilah penyahaktifan senjata (decommissioning) dan bukannya pelucutan senjata (disarmament).
Penayahaktifan senjata ini pernah dilakukan semasa Perjanjian Jumaat Agung di Ireland Utara pada April 1998, di mana senjata dikumpulkan ke dalam depot dan dilucutkan secara beransur setelah perjanjian damai dipenuhi.
Namun tidak jelas sama ada model ini yang dimaksudkan Trump, kerana ahli politik Israel bercakap tentang pemusnahan semua jenis senjata dan infrastruktur ketenteraan Hamas.
“Dalam sejarah moden, di Ireland Utara, Colombia atau Afrika Selatan, pelucutan senjata tidak pernah menjadi prasyarat kepada proses damai; ia adalah hasil daripada proses damai itu sendiri,” kata Shehada.
Masa Depan Politik
Menurut sumber yang rapat dengan Hamas, kepimpinan kumpulan itu di Gaza telah memaklumkan kepada para pegawai di luar negara bahawa mereka tidak akan menyerah dan hanya akan menerima pengunduran penuh Israel dari wilayah Gaza.
Pemimpin Hamas di Gaza menjelaskan bahawa mereka bersedia untuk terus berperang lebih lama jika perlu.
Namun, sekiranya perang diteruskan, rasa tidak puas hati mungkin meningkat dalam kalangan dua juta penduduk Gaza yang hidup di bawah genosid.
Tinjauan yang dijalankan awal tahun ini menunjukkan sokongan terhadap Hamas sedikit menurun di Tebing Barat dan Gaza, namun kumpulan itu masih lebih popular daripada pesaingnya, Fatah.
Namun majoriti rakyat Palestin tetap menolak pelucutan senjata, dan sebahagian besar masih percaya kepada perjuangan bersenjata.
“Hamas adalah kerajaan, parti politik, kumpulan mujahiddn bersenjata dan juga aktor masyarakat sivil,” kata Shehada.
“Orang mungkin menyokong satu peranan Hamas tetapi tidak yang lain.”
Beliau menambah bahawa Hamas kini berada dalam keadaan popular dan tidak popular serentak.
Sesetengah pihak, termasuk dalam kalangan penyokongnya sendiri, mengkritik serangan mengejut 7 Oktober, cara perang diuruskan serta prestasi kumpulan itu dalam rundingan dan usaha perdamaian dalaman Palestin.
“Namun pada masa yang sama, saya melihat trend lain, di mana pengkritik paling tegar Hamas kini menjadi penyokong paling lantang kerana genosid yang berlaku,” katanya.
Shehada menjelaskan bahawa ramai penduduk Gaza melihat dunia membiarkan mereka dibunuh, manakala satu-satunya pihak yang berjuang mempertahankan mereka ialah tentera berkaki ayam, selipar dan bersenjatakan semangat yang keluar dari terowong menentang tentera Israel.
“Itulah paradoks yang sedang berlaku,” katanya lagi.
Akhirnya, Hamas merasakan bahawa mereka tidak dikalahkan dan oleh itu masih berhak bersuara tentang masa depan Palestin.
“Perunding Hamas hanya berunding mengenai enam perkara awal daripada pelan 20 perkara Trump,” kata Helena Cobban, pengarang bersama buku ‘Understanding Hamas: And Why That Matters‘.
“Mereka tidak menyatakan pendirian terhadap baki 14 perkara itu.
Maka adalah tidak realistik untuk membayangkan bahawa Hamas tidak akan mempunyai sebarang peranan dalam pentadbiran Gaza selepas ini.”
Cobban juga menegaskan bahawa Israel bukan sahaja berperang dengan pejuang Hamas, tetapi juga dengan pemimpin politik dan pentadbiran di dalam serta di luar Gaza, termasuk membunuh bekas ketua politik Ismail Haniyeh di Iran pada Jun 2024 dan menyasarkan pemimpin kanan Hamas di Doha bulan lalu.
“Walaupun ramai anggota majlis kepimpinan Hamas dibunuh, mereka masih berfungsi sebagai badan kepimpinan yang tersusun, termasuk semasa proses rundingan,” jelas Cobban.
Hamas telah menyatakan bahawa mereka akhirnya akan menyerahkan pentadbiran Gaza kepada badan Palestin lain dan bahawa mereka tidak bercadang untuk terus memerintah dalam jangka panjang.
Namun kumpulan itu sedar akan risiko penyisihan antarabangsa dan boikot sekiranya mereka kekal berperanan aktif secara terbuka, memandangkan reputasi mereka di Barat.
Walau bagaimanapun, Hamas masih mahu mempunyai pengaruh dalam politik Palestin, mungkin melalui penglibatan dalam Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO).
“Sejauh mana pengaruh mereka masih belum dapat dipastikan,” kata Shehada.
“Banyak faktor masih belum jelas, dan masa depan masih terbuka.”
