Ketika Pasukan Sokongan Pantas (Rapid Support Forces – RSF) mengukuhkan penguasaan mereka di barat Sudan dengan kejatuhan bandar el-Fasher, ibu kota Darfur Utara, semakin banyak persoalan timbul mengenai penglibatan kuasa asing, khususnya Israel dan Amerika Syarikat dalam membentuk perjalanan perang saudara negara itu.
Walaupun Israel tidak secara rasmi mengiktiraf sama ada RSF mahupun Angkatan Tentera Sudan (Sudanese Armed Forces – SAF), bukti yang semakin banyak menunjukkan bahawa ia secara senyap memihak kepada RSF, dengan mengutamakan keuntungan strategik jangka panjang berbanding pertimbangan diplomatik jangka pendek.
Amerika Syarikat pula secara terbuka mengutuk kekejaman RSF, namun tidak berbuat banyak untuk mengekang sekutu rapatnya daripada terus menyokong kumpulan tersebut.
Perubahan Garisan Hadapan
Pada 26 Oktober, RSF menawan el-Fasher, kubu terakhir SAF di Darfur.
Kejatuhan bandar ini menandakan titik hitam baharu: RSF kini menguasai secara de facto lebih daripada suku wilayah Sudan.
Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan saksi mata, pengambilalihan itu disertai dengan pembunuhan besar-besaran, di mana pejuang RSF dilaporkan memisahkan lelaki daripada wanita dan kanak-kanak sebelum menembak mati orang awam.
Kerajaan Sudan menyatakan sekurang-kurangnya 2,000 orang terbunuh, manakala sumber perubatan yang dipetik oleh Al Jazeera dan saksi tempatan mengatakan jumlah sebenar mungkin jauh lebih tinggi.
Palang Merah menggambarkan keadaan itu sebagai “benar-benar di luar batas kemanusiaan yang boleh diterima,” sambil memberi amaran bahawa puluhan ribu orang terperangkap tanpa makanan, air, atau bantuan perubatan.
Amerika Syarikat secara rasmi telah melabelkan tindakan RSF di bandar Geneina, Darfur pada peringkat awal perang saudara yang sudah berlarutan dua tahun setengah itu, sebagai genosid.
Kejatuhan el-Fasher kini mungkin turut dimasukkan dalam kategori tersebut.
Keuntungan Geopolitik
Peralihan Israel ke arah RSF bukan bersifat ideologi, ia bersifat strategik, transaksional dan berpaksikan pertimbangan geopolitik serantau.
Pengaruh masa depan: RSF kini menguasai kawasan penting di Sudan, termasuk bahagian Darfur dan Kordofan.
Menyokong RSF memberi Israel kedudukan dalam susunan politik pasca-perang, terutama jika komander RSF, Mohamed Hamdan Dagalo atau lebih dikenali sebagai Hemedti, muncul sebagai tokoh dominan dalam kuasa Sudan.
Akses ke Laut Merah: Sudan bersempadan dengan Laut Merah, laluan penting bagi keselamatan maritim dan perdagangan Israel.
Kawasan yang kini dikuasai RSF mendekatkannya dengan Pelabuhan Sudan serta laluan logistik Laut Merah, memberikan Israel pengaruh tidak langsung ke atas wilayah yang semakin dipertandingkan oleh kuasa Teluk Parsi dan pesaing global.
Paksi UAE–Israel–RSF: Emiriah Arab Bersatu (UAE), penyokong utama RSF, juga merupakan sekutu rapat Israel di rantau ini.
Koordinasi risikan antara Mossad dan perkhidmatan keselamatan Emiriah dilaporkan telah memudahkan sokongan rahsia kepada RSF, termasuk taktik peperangan menggunakan dron dan logistik di medan tempur.
Kalkulus normalisasi: Hemedti menunjukkan kesediaan untuk memuktamadkan proses normalisasi Sudan dengan Israel yang tertangguh sejak 2020.
Jeneral Abdel Fattah al-Burhan, ketua SAF dan pemimpin Sudan yang diiktiraf antarabangsa, juga pernah menyatakan minat terhadap normalisasi itu, namun penglibatan Israel dilihat lebih cenderung kepada Hemedti dan RSF.
Tidak seperti kepimpinan SAF yang terikat dengan struktur arahan tegar dan sejarah penindasan, RSF menampilkan imej lebih fleksibel dan pragmatik, walaupun rekod mereka dipenuhi jenayah kekejaman terhadap orang awam.
Taktik dari Gaza
RSF kini mula meniru retorik ketenteraan Israel, menggunakan istilah seperti perisai manusia, perang bandar, dan enklaf pengganas untuk menghalalkan serangan ke atas pusat perlindungan pelarian, klinik, dan masjid.
Ini bukan sekadar persamaan bahasa, tetapi mencerminkan doktrin strategik yang sama: menggunakan infrastruktur awam sebagai medan pertempuran, penggunaan dron untuk serangan tepat dan menggambarkan keganasan besar-besaran sebagai tindakan antikeganasan.
Perbandingan ini amat membimbangkan.
Sepertimana Israel berdepan kecaman global atas operasi ketenteraannya di Gaza, termasuk tuduhan rasmi genosid yang difailkan di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), RSF kini turut dituduh melakukan genosid di Darfur, dengan alasan yang hampir serupa.
Persamaan dalam taktik dan naratif ini menunjukkan bukan sekadar pengaruh, tetapi juga keselarasan ideologi dalam cara peperangan dilaksanakan dan digambarkan kepada dunia.
Peranan Amerika Syarikat
Walaupun Amerika Syarikat mengutuk RSF, ia tidak banyak bertindak untuk mengekang penaja utama kumpulan itu terutamanya UAE dan Israel.
Percanggahan ini mendedahkan hakikat yang lebih dalam: kecaman Washington mungkin sekadar kenyataan moral, bukan arahan dasar sebenar.
Amerika terus mengekalkan hubungan strategik rapat dengan kedua-dua UAE dan Israel, walaupun kedua-duanya terlibat dalam kebangkitan RSF.
Normalisasi Sudan dengan Israel kekal sebagai matlamat dasar luar AS.
Jika RSF satu-satunya pihak yang sanggup memuktamadkan perjanjian itu, Washington mungkin akan menutup sebelah mata terhadap penglibatan Mossad, walaupun ia bercanggah dengan penentuan genosid yang dibuatnya sendiri.
Sokongan Israel disalurkan secara tidak rasmi melalui saluran risikan, memberi kedua-dua pihak ruang untuk menafikan secara sah.
Hasilnya ialah dasar yang menunjukkan kejelasan moral di permukaan, tetapi sebenarnya membenarkan kekaburan strategik, satu ciri klasik realpolitik dalam era peperangan global yang semakin berleluasa.
