Tindakan Malaysia menandatangani Agreement on Reciprocal Trade (ART) dengan Amerika Syarikat pada 26 Oktober lalu menimbulkan persoalan besar mengenai kedudukan negara dalam landskap ekonomi global.
Menurut A. Kadir Jasin, bekas tokoh media dan pemerhati ekonomi, langkah kerajaan Malaysia di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim dan Menteri Kewangan serta Menteri Perdagangan, Tengku Zafrul Abdul Aziz, dilihat terlalu tergesa-gesa.
Perjanjian itu, katanya, berisiko menjadikan Malaysia sebagai vassal state atau negara lindungan Amerika Syarikat.
Beliau menekankan bahawa Presiden Donald Trump, yang terkenal sebagai ahli perniagaan dan bukannya ahli ekonomi, sedang berusaha memindahkan beban ekonomi Amerika yang tidak produktif kepada negara lain.
Di bawah dasar tarif yang dikenakan ke atas lebih 100 negara, harga barang import meningkat, menyebabkan pengguna dan petani Amerika terpaksa menanggung kos tambahan.
Bahkan firma guaman antarabangsa Hogan Lovell menegaskan bahawa dasar ini menimbulkan kesan negatif terhadap rakyat Amerika sendiri.
“Ramai ahli Parlimen Amerika, termasuk daripada parti Republikan, serta hakim Mahkamah Agung mempertikaikan kesahihan perintah tarif Trump.
“Mereka khuatir langkah itu membebankan ekonomi Amerika dan boleh menelan kos trilion dolar jika dibatalkan,” jelas Kadir Jasin.
Namun, Malaysia, katanya, bertindak terlalu cepat tunduk kepada tekanan Washington.
Media antarabangsa, diplomat dan penganalisis menganggap tindakan ini berlebihan, memandangkan kesan jangka panjang perjanjian itu boleh menjejaskan kedaulatan ekonomi negara, khususnya dalam sektor kritikal seperti bahan nadir bumi (rare earth elements).
“Kalau dahulu negara lindungan terpaksa menyerahkan wang emas (ufti), kini unsur nadir bumi menjadi taruhan.
“Ini adalah ujian terhadap kebijaksanaan kita dalam menjaga kepentingan nasional,” tambah beliau.
Lebih membimbangkan, Kadir Jasin menegaskan, langkah ini mungkin membuka ruang untuk kuasa besar lain, khususnya China, bertindak balas, menjadikan situasi geopolitik Malaysia lebih rumit.
Dalam konteks ini, rakyat dan pemimpin diingatkan agar menilai setiap perjanjian antarabangsa dengan teliti, bukan sekadar tunduk kepada tekanan negara asing, walaupun ia dari kuasa besar ekonomi dunia.
