Pada 13 April 2026, di Pentagon, Setiausaha Perang Amerika, Pete Hegseth dan Menteri Pertahanan Indonesia, Sjafrie Sjamsoeddin, menurunkan tandatangan pada sebuah dokumen bernama Major Defense Cooperation Partnership.
Pada hari yang sama, Presiden Prabowo Subianto berada di Moscow, bertemu Putin untuk bincang bekalan minyak Rusia.
Rangka rundingan untuk pesawat tentera Amerika yang mendapat akses menyeluruh ke ruang udara Indonesia sedang di atas meja.
Ini bukan latihan bersama. Ini kedudukan.
Tiga kuasa sudah mengatur buah catur di laut kita. Malaysia duduk di tengah papan.
China sudah lama tahu
Pada 2003, Presiden Hu Jintao memberi nama kepada sebuah ketakutan strategik China.
Beliau panggil ia ‘Dilema Malaka’.
Lapan puluh peratus minyak import China melalui Selat Melaka.
Tempat paling sempit hanya 2.5 kilometer.
Kapal-kapal itu boleh dihentikan oleh tentera laut Amerika dalam satu minggu.
Sejak itu, setiap dasar tenaga China dirancang untuk mengurangkan pergantungan pada selat ini.
Saluran paip dari Asia Tengah.
Saluran paip minyak dan gas melalui Myanmar.
Power of Siberia 2 dari Rusia.
Dan di tanah kita: ECRL.
ECRL bernilai RM50 bilion bukan projek kereta api untuk melawat Kuantan.
Ia jambatan darat.
Pelabuhan laut dalam Kuantan dipegang 40 peratus oleh Guangxi Beibu Gulf Port Group.
Port Klang di hujung satu lagi. Antara dua pelabuhan itu, 665 kilometer landasan laju.
Maksud strategiknya jelas.
Jika Selat Melaka ditutup, barangan dari Laut China Selatan boleh dipunggah di pantai timur, dipindahkan merentas Semenanjung dan dimuat naik semula untuk Lautan Hindi.
Selat diselak. China bernafas.
Profesor Ngeow Chow Bing dari Institut Pengajian China Universiti Malaya pernah cakap terus terang: niat China jelas, hendak bina jambatan darat untuk memintasi Selat Malaka dan Singapura.
Kita yang buat pura-pura ia hanya tentang pembangunan pantai timur.
Amerika dan tindak balas
Sebelum perang Iran, Amerika sudah lama mempunyai kedudukan di rantau ini.
Pangkalan di Guam, di Diego Garcia, di Okinawa, di Luzon.
Tapi Indonesia, negara terbesar ASEAN yang menggenggam sebelah Selat Melaka, tidak pernah memberi akses menyeluruh kepada pesawat tentera Amerika, sehingga 13 April 2026.
Pelajaran Selat Hormuz dicatat dengan pantas.
Bila Iran tutup Hormuz selepas serangan Amerika-Israel bermula Jun 2025, Ketua Agensi Tenaga Antarabangsa menggelar ia cabaran keselamatan tenaga terbesar dalam sejarah.
Harga minyak mentah Brent melonjak 10 hingga 13 peratus dalam beberapa hari.
Indonesia sendiri terpaksa mengadakan catuan diesel dan mengarahkan penjawat awam bekerja dari rumah satu hari seminggu.
Prabowo belajar dengan mata sendiri: siapa yang menguasai selat, dia menguasai ekonomi dunia.
Amerika juga belajar.
Jika Hormuz boleh ditutup dalam masa beberapa jam, Selat Melaka pun begitu juga.
Dan Selat Melaka membawa bukan sahaja minyak Asia.
Ia membawa 40 peratus dagangan dunia.
Maka Amerika bergerak untuk Indonesia.
Malaysia, yang memegang separuh lagi selat itu, tidak hadir dalam perbualan.
Sebab sebenar Amerika menyerang
Amerika bukan hanya bertarung untuk peta.
Amerika bertarung untuk dolar.
Kuasa untuk mencetak wang tanpa runtuh disebabkan inflasi datang daripada satu fakta: dunia terpaksa memegang dolar untuk membeli minyak.
Setiap pembelian memerlukan penukaran mata wang negara kepada dolar.
Dan di dalam setiap pertukaran, mereka mengenakan cas pertukaran.
Duit datang secara automatik apabila dagangan diteruskan dalam bentuk dolar.
Jika mata wang itu digantikan, keseluruhan sistem hutang Washington yang mencecah USD36 trilion akan retak.
Lihat polanya
Pada November 2000, Saddam Hussein beralih daripada dolar kepada euro untuk jualan minyak Iraq di bawah program Oil-for-Food PBB.
Pada Mac 2003, Amerika menyerang Iraq.
Selepas tentera Amerika masuk Baghdad, urus niaga minyak dikembalikan kepada dolar.
Pada 2009, Muammar Gaddafi, selaku Presiden Kesatuan Afrika pada ketika itu, mencadangkan dinar emas pan-Afrika sebagai alternatif kepada dolar dan franc CFA Perancis.
Libya memegang 143 tan emas.
Nigeria, Tunisia, Mesir dan Angola bersedia untuk menyertai.
Pada Mac 2011, NATO melancarkan operasi tentera ke atas Libya.
Gaddafi dibunuh pada Oktober 2011.
E-mel Hillary Clinton yang didedahkan pada 2016 mengesahkan bahawa rancangan dinar emas adalah salah satu motif utama campur tangan itu.
Nicolas Maduro di Venezuela cuba mendagangkan minyak di luar sistem dolar dan merapatkan Caracas kepada Beijing dan Moscow.
Pada Januari 2026, dia ditangkap oleh pentadbiran Trump.
Satu kebetulan. Dua kebetulan. Tiga kebetulan. Bukan kebetulan.
Ia pola.
Taktik BRICS sudah disedari
Pada 2024, bank pusat dunia membeli 1,045 tan emas.
Tahun ketiga berturut-turut melebihi 1,000 tan.
Bahagian dolar dalam simpanan bank pusat global jatuh daripada 72 peratus pada 2001 ke 57.8 peratus pada suku keempat 2024.
Dagangan minyak dalam yuan sudah 20 peratus daripada volum harian Brent pada 2024 dan mencecah 24 peratus pada awal 2025.
Sistem pembayaran antara bank merentas sempadan China, CIPS, memproses transaksi yuan bernilai USD245 trilion sepanjang 2025.
Yang paling tajam, dilaporkan oleh Lloyd’s List: bayaran untuk melintasi Selat Hormuz sekarang sedang dinilai oleh Pengawal Revolusi Iran dalam yuan China.
Selat yang dibom oleh Amerika untuk memastikan aliran minyak dolar kini telah menjadi tol yuan.
Trump mengancam tarif 100 peratus pada mana-mana negara BRICS yang cuba menggantikan dolar.
Ancaman itu sendiri adalah pengakuan bahawa permainan sudah berubah.
Soalan untuk kita
Kita tidak berada di tepi permainan ini.
Kita adalah papan permainan.
Selat Melaka adalah wilayah kita.
ECRL berada di tanah kita.
Indonesia sudah memilih pendekatan campuran.
Akses tentera kepada Amerika.
Minyak daripada Rusia.
Keahlian penuh dalam BRICS.
Mereka sedang bermain catur di kedua-dua belah meja dengan mata terbuka.
Dolar Amerika sedang dipertahankan dengan darah. Di Iraq. Di Libya. Sekarang di Hormuz.
China sedang membina laluan alternatif.
Pada tanah seberang kita, Amerika sedang memperoleh kedudukan dalam ruang udara kita.
Melalui jiran kita, BRICS sedang memungut tol minyak dalam yuan.
Jika jawapannya ialah ‘kita akan berkecuali’, saya ingin menyedarkan satu perkara.
Berkecuali bermaksud apa apabila kedua-dua belah kaki dunia sudah berpijak di Selat kita?
Berkecuali bermaksud apa apabila ECRL siap dan Kuantan menjadi pelabuhan strategik BRICS de facto?
Berkecuali bermaksud apa apabila pesawat tentera Amerika terbang rendah di Sumatera?
Berkecuali tanpa pelan bukan strategi.
Ombak akan mendarat, sama ada kita menyedari atau tidak.
Apakah Malaysia sudah bersedia?
Oleh Timmy Say
