Apabila TS Muhyiddin Yassin meletakkan jawatannya sebagai Pengerusi PN, ada suara-suara yang agak sumbang menyatakan Bersatu mesti tetap kekal menjadi ‘poster boy’ PN kerana dikatakan PAS tidak mampu untuk menarik undi bukan Islam.
Kenyataan ini agak pelik jika dibaca oleh khalayak yang memahami liku-liku politik di Malaysia.
PAS tidak mempunyai masalah salah laku yang sehingga kini masih dicari-cari oleh musuh PAS, paling kurang untuk mengotori karakter PAS.
Walaupun mereka tidak akan sesekali dapat membersihkan najis-najis kesalahan mereka yang dicatat dalam sejarah politik kerana PAS tiada rekod itu.
Akan tetapi paling kurang, ia satu kepuasan bagi mereka.
Manakala jika dituduh bahawa PAS menjadi bayang ketakutan terhadap bukan Islam untuk memberikan undi kepada PN kerana imej Islam yang dikata ekstrem itu, persoalan itu mesti dikembalikan kepada semua rakan tahaluf PAS.
Apa yang kamu lakukan untuk memberikan keyakinan kepada bukan Islam bahawa PAS bukan sebegitu sifatnya.
Kamu berkawan dengan PAS, bukankah kerana PAS baik, berprinsip Islam dan tidak mengkhianati kawan?
Ketakutan itu juga sepatutnya berjaya dihentikan kepada yang paranoid dengan PAS kerana fitnah-fitnah yang telah ditanam puluhan tahun lalu yang mendakwa kononnya PAS ekstrem.
Sedangkan sejak sebelum merdeka, ulamak PAS sangat terbuka untuk bekerjasama dengan bukan Islam dan bukan Melayu dalam gerakan politik mereka.
Sehingga tertubuhnya Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) yang turut diberikan peluang menjadi calon PAS.
Bangsa Melayu Islam mesti menerajui
Dalam tulisan terbaharu TS Presiden PAS, ‘Melayu Islam layak memimpin masyarakat majmuk’, beliau menjelaskan bahawa orang Melayu adalah antara bangsa yang sangat lembut dengan bangsa lain setelah memeluk Islam.
Fitnah kepada bangsa Melayu yang beragama Islam ini dimulakan oleh British dan kemudiannya disambung oleh kaum penjilat British yang tidak mengenang budi Melayu bagi kesinambungan politik mereka.
Beliau membawa kisah bagaimana Rasulullah berjaya menyatukan bangsa Arab yang juga mempunyai masalah antara kabilah ketika itu, tetapi mereka menjadi saudara dengan Islam.
Maka bangsa yang dominan seharusnya menjadi pemimpin kepada bangsa-bangsa lain, apa lagi jika kita sebagai orang Islam dan berusaha bersungguh-sungguh beramal dengannya seperti PAS.
Kesatuan ini dapat dicapai hanya dengan memahami kehendak Islam yang sebenar.
Ini adalah kuncinya, tiada yang lain.
Bukan hanya tahu beribadat dan tidak menyentuh berkenaan politik atau terlalu pandai sehingga perkara furuk juga diperdebatkan sehingga lumat, akhirnya memecahkan kesatuan Islam.
Malah ada juga yang anggap PAS yang menyusuri perjalanan politik Rasulullah ini lebih bahaya dari DAP.
Beliau dengan tegas mengatakan ia adalah strategi DAP yang hanya mahu mengekalkan kedudukan mereka dalam kabinet bersama dengan Umno.
Sedangkan Umno , Bersatu dan PAS boleh bersama dalam penyatuan bagi kesejahteraan agama dan bangsa.
Pada penulis, pandangan TS Presiden PAS ni sangat jelas, kerana jika terjadi, ia bakal membenamkan semua agenda-agenda yang dibuat oleh samada musuh Islam, bangsa atau negara.
Semenjak dahulu PAS diserang dengan serangan yang sama
Akan tetapi sayang, kita semua menjadi saksi sejarah kejam politik tanah air bahawa PAS sentiasa menjadi ‘punching bag’ oleh semua parti-parti politik di Malaysia.
Dan mereka menyerang dengan rakus, tidak main-main, hinggakan imej PAS kekal tercalar dan tidak sedikit pimpinan PAS yang pernah dipenjarakan kerana dendam musuh politik semenjak puluhan tahun dahulu.
Pada masa PAS cuba bangkit selepas kekalahan teruk PRU-6, bermula 1978 hingga 1990, PAS keseorangan, diserang dengan isu Amanat dan Memali yang mana fitnah itu tetap digunakan sehingga hari ini.
Apabila PAS bersama Angkatan Perpaduan Ummah (APU), pemimpin BN membelasah PAS dengan ugutan bahawa Kelantan akan mampu bertahan tiga bulan sahaja, menakut-nakutkan rakyat dengan kemiskinan kerana Islam bagaikan tidak maju.
PAS berpisah dengan Semangat 46, kemudiannya dibelasah pula oleh Ku Li yang menakut-nakutkan bukan Islam.
Bila PAS membina jaringan dengan Barisan Alternatif (BA) dan Pakatan Rakyat (PR, Umno dan sekutunya tanpa gagal memberikan imej Islam negatif kepada PAS.
Apabila PAS keseorangan, setelah dikeluarkan dari PR dan mahu bertanding dalam PRU-14, PAS diserang pula oleh PH, gabungan dari bekas rakan politik PAS dalam PR dahulu.
Selain fitnah rasuah RM90 juta daripada Umno yang sebaliknya PAS dibersihkan oleh SPRM, PH juga mengadunkan fitnah PAS parti Islam yang ekstrem.
Namun PAS tetap menang dengan imej bersihnya pada PRU-14 sehingga berjaya bergabung menjadi kerajaan di Pusat.
Prestasi PAS memberangsangkan.
Hasilnya pada PRU-15 PAS diberikan kepercayaan lagi oleh rakyat dengan kerusi parlimen terbanyak, satu sejarah yang membanggakan.
Rakyat fobia rasuah, salah laku, bukan fobia PAS
Dan pada 2023 pula, empat negeri dihadiahkan oleh rakyat kerana yakin imej PAS yang bersih, kesungguhan PAS menunaikan janji-janji PRU-14 dan prestasi PAS yang mengatasi lawan.
PAS berjaya membuktikan tiada rasuah atau salah laku yang dilakukan oleh pemimpinnya.
Dan dengan wang royalti, PAS juga dilihat begitu komited dan berhemah membelanjakannya dalam membantu rakyat ketika mentadbir 2018-2023 dahulu.
Imej PAS yang semakin meningkat di mata rakyat, kerana kerajaan-kerajaan negeri di bawah PAS beramanah mengurus negeri, mahu disekat PH-BN.
Maka Islamofobia ditempelkan kepada PAS oleh mereka yang tidak senang dengan PAS, termasuk juga agamawan-agamawan yang mahu menunjukkan PAS golongan melampau.
Sedangkan merekalah yang mencipta dalil-dalil itu yang bertujuan untuk rakyat mempercayainya.
Akhirnya mereka pula yang mengambil dan mempercayainya.
Kini mereka mahu menyambung semula kisah dongeng mereka yang sudah tidak dipercayai rakyat itu.
Ketakutan MCA terhadap PAS baru-baru ini hanyalah sandiwara supaya kelihatan ada kesinambungan ketakutan bukan Islam kepada PAS.
MCA tahu benar siapa PAS, MCA bukan parti baharu. Jadi pemikiran yang mengatakan rakyat bukan Islam akan takut kepada PAS adalah pemikiran yang jelas sudah terbabas dari litar perlumbaan politik tanah air.
Tidak sedarkah mereka yang majoriti rakyat fobiakan bukannya Islam atau PAS sebagai pembawa obor agama ini, kerana keduanya tiada masalah.
Tetapi rakyat bencikan rasuah, penyelewengan, salah laku, kronisme, mungkir janji, tidak menjaga agama dengan betul.
Dan jika ini ditumpukan bagi mencari parti yang selamat daripadanya, maka PAS lah yang layak menjuarainya.
Mohd Nasir Abdullah
