Malam tadi satu diskusi untuk membedah buku Islam dan Kebangsaan, karya Presiden PAS, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang (TGHH) telah diadakan.
Turut hadir ialah Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Wira Hajah Mas Ermieyati Samsuddin, yang juga Ketua Bahagian Bersatu Masjid Tanah, Melaka.
Diskusi bedah buku ini adalah anjuran PAS Kawasan Masjid Tanah.
Dalam diskusi ini, saya telah menyebut beberapa perkara untuk memahami konsep Islam dan Kebangsaan, khususnya dalam perjuangan PAS.
Antara poin-poin yang saya ketengahkan ialah:
Pertama, buku Islam dan Kebangsaan (2020) adalah buku terbaru TGHH dan buku kedua membahaskan tentang hubungan Islam dan perjuangan bangsa.
Buku pertamanya, Islam dan Nasionalisme terbitan Al-Jundi Resouces pada 2011.
Kedua, pemikiran kebangsaan Melayu Islam telah berkembang dalam PAS sejak 1954 (era Dr Haji Abbas Alias), tetapi berkemuncak pada era Dr Burhanuddin al-Helmy (1956-1965).
Ketiga, Dr Burhanuddin al-Helmy dalam memperkatakan tentang Islam dan Kebangsaan Melayu, menghujah secara falsafah tentang hadis “Hubbul watan minal iman (cintakan watan adalah sebahagian daripada iman).
Konsep yang digambarkan oleh Dr Burhanuddin al-Helmy ialah:
Iman berdiri di dalam tubuh.
Tubuh berdiri di dalam bangsa.
Bangsa berdiri di atas watan.
Maka kerana itu, mencintai watan adalah sebahagian daripada iman.
Keempat, Dr Burhanuddin al-Helmy menyentuh empat perkara berkait dengan Islam dan Kebangsaan Melayu, iaitu:
I. Konsep Melayu Islam.
Orang Melayu adalah bangsa yang beragama Islam.
Mempertahankan hak orang Melayu, ertinya mempertahankan hak orang Islam.
II. Ketuanan Melayu.
Orang Melayu adalah tuan negara ini, ada pun bangsa lain adalah pendatang.
Bangsa pendatang adalah tetamu yang boleh diberikan hak istimewa, ada pun sebagai tuan punya negeri, berhak ke atas ketuanan terhadap negara ini.
Orang Melayu memiliki hak ketuanan yang mesti dijamin, bukannya diberikan hak istimewa.
III. Kebangsaan bulat.
Kebangsaan yang tidak diperalatkan oleh kuasa penjajah atau kuasa komunis.
Bangsa Melayu tidak boleh pro Barat atau pro komunis, sebaliknya menjadi bangsa yang berpegang dengan al-Quran dan Sunnah.
Menjadi umat wasata (umat pertengahan) yang melaksanakan amar makruf dan nahi mungkar.
IV. Melayu Raya.
Penggabungan seluruh Alam Melayu sebagai sebuah bangsa yang besar, yang mampu duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan bangsa lain.
Bangsa Melayu yang berjumlah 300 juta orang, sebahagiannya adalah Muslim, dan menguasai sumber dan kedudukan strategik.
Melayu akan menjadi kuasa besar dunia.
Kelima, konsep kebangsaan (asobiyah) telah disebut oleh Ibnu Khaldun ketika membahas Quraisy sebagai syarat kepemimpinan di dalam al-Muqaddimah.
Kerana pengalaman Ibnu Khaldun melihat bangsa bukan Quraisy seperti Saljuk, Mamalik, Hafsiyah, Barbar dan lain-lain menjadi pemimpin politik yang besar, maka baginya, bangsa yang paling kuat, mesti menjadi pemimpin sesebuah negara.
Asobiyah ialah semangat cintakan bangsa yang digunakan untuk membangunkan negara dan mendaulatkan Islam.
Asobiyah yang memperalatkan bangsa untuk menindas atau menzalimi bangsa lain adalah bukan dari ajaran Islam.
Keenam, hubungan kebangsaan Melayu Islam dalam perjuangan PAS berubah mengikut keadaan politik semasa.
Pada tahap pertama, PAS meletak konsep Melayu Islam, iaitu pengukuhan orang Melayu untuk mengukuhkan orang Islam.
Tetapi disebabkan pengkhianatan pemimpin politik Melayu pada dekad pertama kemerdekaan, kuasa politik Melayu Islam telah hancur.
Tahap kedua, pasca tragedi 13 Mei 1969.
Disebabkan oleh keruntuhan kuasa politik Melayu telah menjejaskan kedudukan Islam, PAS telah bergerak ke kanan membentuk kerjasama politik dengan Umno pada 1970-an.
Tahap ketiga, apabila Umno menggunakan perkauman Melayu untuk menindas orang bukan Umno sejak dekad 1980-an.
Di atas kezaliman ini, maka PAS memandang keadilan Islam sebagai asas membangunkan Melayu.
Jika Islam kuat, orang Melayu akan kuat, jika Melayu kuat belum tentu Islam kuat.
Pada tahap keempat, selepas kekalahan Umno pada 2018, PAS melihat orang Melayu mesti disatukan untuk mengembalikan kekuasaan politik Islam, lalu dibentuk Muafakat Nasional bersama Umno, diikuti oleh Bersatu.
Ketujuh, pemikiran TGHH.
Berdasarkan dua buku itu, ketika Umno menyalahgunakan Melayu untuk perkauman,
TGHH melihat bahaya nasionalisme dijadikan aqidah.
Tetapi, ketika orang Melayu kehilangan kuasa politik selepas 2018, TGHH melihat konsep penyatuan orang Melayu di atas semangat asobiyah Ibnu Khaldun sangat penting untuk membentuk ummah yang perkasa dan boleh mendaulatkan Islam.
Kelapan, pendekatan TGHH.
Berdasarkan Sunnah Nabi SAW, beliau mencontohi Nabi SAW dengan mengambil pendekatan mengukuhkan Islam di dalam keluarga (tarbiyah dalam PAS), kemudian dakwah kepada Bani Hashim (menyatukan kumpulan-kumpulan Islam yang kecil dalam Gagasan Sejahtera), kemudian menyatukan bangsa Arab, Aus dan Khazraj yang berpecah, begitu juga Ansar dan Muhajirin (membentuk Muafakat Nasional), sebelum menerima Yahudi menjadi warga negara (parti-parti bukan Islam bersekutu melalui BN atau PN).
Setelah digerakkan langkah untuk membentuk perpaduan ummah.
Keseluruhannya, buku Islam dan Kebangsaan ialah sebuah buku yang memperkatakan bagaimana tradisi Nabi-nabi AS menjadikan kecintaan dan semangat berkeluarga, berpuak dan berbangsa sebagai alat untuk mengukuhkan kekuasaan politik Islam, meluas dakwah dan membina keadilan sejagat.
Kebangsaan asalnya tidak bercanggah dengan Islam, selagi ia tidak dimanupulasikan untuk kezaliman.
Ulasan detail tentang buku ini, akan menyusul kemudian bila saya berkelapangan.
Sebaliknya terlebih dahulu saya merakamkan terima kasih kepada Ustaz Afiq Awang dan Sdr Mukamad Saifullah Musaif yang bermurah hati menghadiahkan saya buku Islam dan Kebangsaan ini ketika saya melawat Pustaka Permata Ummah baru-baru ini.
Mohd Fadli Ghani