Pondok Bukan Tempat Melahirkan Penjenayah, Melainkan Sebagao Kilang Melahirkan Pendakwah Dan Ilmuan Islam

Pondok Bukan Tempat Melahirkan Penjenayah, Melainkan Sebagao Kilang Melahirkan Pendakwah Dan Ilmuan Islam

Naratif gelap sedang dan telah dibina oleh musuh Islam dan rangkaian mereka mengambarkan pondok dan maahad tahfiz sebagai tempat yang bermasalah, bukan sekali dua momokan ini ditampal kepada institusi pendidikan islam.

Penggeledahan massa pernah berlaku di Pakistan dan India terhadap madrasah, bahkan pernah berlaku timbal balas keras di Pakistan sehingga membawa kematian.

Negara kita juga tak terlepas bebanan kebencian kelompok sekular pragmatis kepada institusi pendidikan Islam dengan naratif anti sosial, sarang ekstremis, ketinggalan dalam arus perdana pendidikan dan sebagainya.

Lihatlah bagaimana kelmarin dua pelaporan berita yang mengaitkan suspek penjenayah di KLIA sebagai alumni pondok dan menghafal al quran.

Pondok dan Maahad tahfiz bukanlah tempat melahirkan penjenayah!

Apa yang dimuntahkan oleh akhbar Sinar Harian dan juga Astro Awani sangat mengecewakan, bahkan mampu merendahkan harkat dan kemuliaan institusi pendidikan Islam.

Bawakan fakta dan data untuk menyokong hujjah, sejauhmana institusi pondok menebarkan fahaman Islam yang ekstrim, mencetak penjenayah dan tingkah laku buruk yang lain.

Pondok, dayah, pesantren sejak zaman berzaman telah menabur jasa bakti dalam pemugaran ilmu bahkan sebagai benteng akidah umat Islam.

Menurut sosok ilmuan Indonesia, Dr Mohd Natsir bahawa institusi pengajian Islam seperti pondoklah yang memangkin semangat perjuangan untuk menentang penjajah, juga menjaga akidah umat daripada bahana pemurtadan oleh missionari kristian dengan dokongan penjajah.

Pelaporan berita itu sangat tersasar daripada realiti akar sejarah bahkan membuka ruang fitnah dalam naratif yang sangat kelam.

Mungkin ada seorang dua yang nadir dalam pembawaan ilmu namun ianya bukan mewakili keseluruhan nuansa dan objektif sekolah pondok.

Pondok masih berjasa besar dizaman ini walaupun bersaing dengan institusi pendidikan Islam yang lain.

Alumninya berserakan ke seluruh pelusok tanah leluhur ini, menebarkan ilmu, meluaskan pendemokrasian pendidikan malah terus mencetak kader-kader dakwah.

Penulis perhatikan ramai cytro PHBN yang melonjat kegembiraan, menebarkan berita suspek kes tembak di KLIA adalah pelajar pondok selepas pelaporan berita oleh dua sumber berita terbabit.

Dengan pantas dikaitkan dengan PAS serta kata hinaan kepada Kelantan, walhal suspek berasal daripada Selangor dan dibesarkan di Kuala Lumpur.

Dalam sejarahnya , memang PAS antara kelompok yang menerima laba politik daripada institusi ini sejak zaman awal penubuhannya, sehingga PAS dijoloki sebagai parti “pak lebai” oleh pengkaji-pengkaji sains sosial.

Ramai penggerak pondok adalah juga aktivis PAS dipelbagai peringkat organisasi parti semasa awal penubuhannya dalam dekad 1950an dahulu sehingga PAS sangat ‘membumi’ bersama masyarakat desa dan sub-bandar.

Kawasan yang subur dengan tradisi pondok ini pula terbukti menjadi kawasan yang kuat menerima pengaruh PAS.

Secara tidak langsung negeri Kelantan, Kedah dan Terengganu menjadi pertapakan kepada PAS dalam meluaskan sokongan massa.

Pimpinan PAS terus memanfaatkan ruang untuk mendekati guru-guru pondok kerana kedudukan guru pondok yang dihormati dalam hirarki masyarakat Melayu.

Menguasai guru pondok bermakna PAS akan terus relevan kepada masyarakat, ini adalah kerana justifikasi sosial seseorang guru agama dengan kebenaran.

Di Kelantan pada zaman awal penubuhan PAS usaha-usaha terus dibuat untuk mendapatkan dokongan guru-guru pondok.

Pendidikan Islam termasuk pendidikan pondok serta maahad tahfiz mula mendapat nafas baru apabila berlakunya kebangkitan Islam yang bersifat fenomena di seluruh dunia.

Serentak dengan kesedaran untuk mengembalikan kesedaran dan kemuliaan Islam, seruan supaya Pendidikan Islam dimartabatkan kembali berlaku serentak dengan permintaan tinggi peserta-peserta kebangkitan Islam untuk mendapatkan ilmu-ilmu Islam.

Sekolah-sekolah pondok di negara ini mula bertenaga kembali, bahkan mula menawarkan kemahiran teknikal yang lain seperti asas perniagaan.

Bersambung

Oleh: Dr Riduan Mohamad Nor

(Penulis adalah AJK PAS Pusat, Pengerusi LESTARI)

Pendidikan