Tugas PM Selamatkan Rakyat Malaysia

Tugas PM Selamatkan Rakyat Malaysia

Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman, anak kawan sahabat baik saya, mendedahkan pengalamannya dalam membawa keluarga yang terperangkap di Gaza, sejak konflik yang tercetus sejak 7 Oktober lalu.

Akhirnya, keluarganya berjaya diselamatkan dan dikeluarkan dari bumi Gaza, dengan pertolongan kerajaan Malaysia, khas ditujukan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Maka tularlah berita tersebut menjadi bahan bualan dan tulisan rakan taulan.

Memahami keadaan dan konflik di sana, bukanlah suatu yang luar biasa.

Apabila kita sudah bertekad berada di bumi Gaza, maka bersedialah untuk menghadapi segala kemungkinan, termasuk nyawa menjadi gadaian.

Andai kata gugur, kita syahid.

Ingatlah wahai saudaraku, apabila kita nekad berada di bumi Gaza, sama ada berjaya atau tidak dikeluarkan, kita tetap bersama berjuang bersama umat Islam Gaza.

Selamat, alhamdulillah. Jika terkorban, kita syahid.

Jika hanya kita sahaja berjaya dikeluarkan, yang lain, terus seolah-olah menunggu mati di sana, adakah kita masih bercakap soal diri kita?

Sudah tentu kita akan bercakap lebih dari itu, bukan?

Kita adalah umat Islam, satu umat, cubit peha kiri, kanan rasa sakit.

Setelah berjaya diselamatkan, Nadir begitu berterima kasih kerajaan Malaysia, khusus ditujukan kepada Perdana Menteri.

Logik dan rasionalnya begitulah, sesiapa pun yang menolong kita, kita harus mengucapkan terima kasih.

Kita diajarkan dengan adab, ingat pertolongan orang pada kita, lupakan pertolongan kita pada orang.

Ingat salah kita pada orang, lupakan salah orang kepada kita. Inilah adabnya.

Saya yang Cina ini pun diajar dengan adab ini, bila memeluk Islam.

Saya pun ucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri. Terima kasih Anwar.

Namun, bila pujian dan berterima kasih nampak berlebih-lebihan, maka tertanya-tanya saya.

Apakah jika bukan Anwar menjadi Perdana Menteri, Nadir dan keluarganya akan mati di sana?

Jika terkorban sekalipun, jika saya adalah pemimpin, tetap berbangga, kerana ada rakyat Malaysia yang sanggup berkorban dan syahidkan dirinya untuk sesama saudaranya di sana, meskipun jauh di lubuk hati begitu sedih.

Justeru, berpada-padalah dalam berterima kasih dan memberi pujian.

Lebih-lebih lagi jika kita ini ahli akademik.

Jangan begitu naif akan fungsi dan tugas seorang pemimpin tertinggi negara.

Mana mungkin pemimpin mahu biarkan rakyat Malaysia menjadi korban keganasan di luar negara.

Lebih-lebih lagi di Gaza, yang sedang bergolak, disusuli dengan ‘perang’ Iran-Israel.

Siapa pun jadi pemimpin dia akan lakukan perkara sama.

Jadi tidak perlu sampai nampak terlalu membodek.

Sebab itu, kena berpada-pada, jangan sampai nampak keterlaluan.

Jika ditakdirkan Samy dan Ah Seng berada di Gaza, meskipun tidak beragama Islam sudah menjadi tanggungjawab kita sebagai pemimpin negara untuk menyelamatkan mereka.

Sebab mereka adalah rakyat Malaysia, berjuang bersama umat Islam Palestin.

Satu lagi perkara, oleh kerana Nadir ini anak kepada pemimpin (ahli PAS), maka ada yang sanggup korek latar belakangnya, bapanya, ibunya, keluarganya, yang berkait dengan PAS. Apa tujuan?

Adakah dengan matlamat supaya ia memberi kesan kepada pengaruh PAS yang sedang mencanak hari ini?

Rasanya tidak perlu sampai begitu sekali.

Berpada-padalah dalam berterima kasih sesama manusia, jangan sampai hilang harga diri.

PAS, selaku parti Islam, pun secara rasmi mengeluar kenyataan mengucapkan terima kasih, secara berpada-pada, itu adalah lumrah.

Lebih-lebih lagi keluarga Nadir dikaitkan dengan PAS.

Jika saya jadi pemimpin sekali pun perkara yang sama akan dilakukan, malah tidak mustahil, mungkin lebih dari itu, termasuk untuk pergi ke Gaza, menjemput dan mencari rakyat Malaysia di sana.

Jika ditakdirkan tidak dapat dicari, mereka akan syahid.

Inilah harga yang perlu dibayar, jika kita sudah menyerahkan jiwa dan raga di bumi Gaza.

Untuk makluman, perjuangan membela Gaza dan Palestin bukan baharu.

Boleh dikatakan semua perdana menteri kita mempunyai pendirian yang sama.

Lebih-lebih lagi Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Sejak mula menjadi perdana menteri (dua kali) sehingga kini, tidak pernah tunduk kepada tekanan Yahudi.

Sentiasa tegas dan memberi sokongan.

Kenapa langsung tidak sebut nama Mahathir?

Sedangkan perjuangan Mahathir sebelum jadi perdana menteri pun sudah lantang.

Inikan pula menjadi perdana menteri yang paling lama sekali di Malaysia.

Peliknya, kenapa wajah Mahathir tidak ditonjolkan.

Berterima kasih jugalah kepada Mahathir.

Begitulah juga perdana menteri sebelum itu seperti Tun Abdullah Ahmad Badawi, Datuk Seri Najib Razak dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Nada dan langkah yang sama, sentiasa menyokong Palestin dan tidak pernah tunduk kepada Zionis Yahudi.

Jika mereka adalah perdana menteri pada hari ini pasti mereka juga akan lakukan perkara sama.

Tidak mustahil, mungkin lebih dari itu, kalau pun tidak terkurang.

Walaupun bukan daripada keluarga Nadir, saya juga akan berterima kasih kepada pemimpin atau sesiapa sahaja yang menolong saya, atau apa juga inisiatif yang dibuat, tetapi janganlah berlebih-lebih.

Nanti orang akan tertanya-tanya pula, apakah ini bukan tugas seorang pemimpin negara?

Bukankah tugas pemimpin memastikan rakyat di bawah pemerintahannya sentiasa terjamin dan selamat?

Iktibar seterusnya daripada krisis Palestin-Israel ialah sentiasalah bersedia menghadapi apa juga situasi yang bakal mendatang.

Kita perlu menjadi negara yang kuat, supaya tidak mudah diperkotak-katikkan oleh kuasa besar atau kuasa kuffar.

Oleh Mohd. Ridhuan Tee Abdullah

Kolumnis