Doa Mangsa Kezaliman Tidak Ditolak, Guna Senjata Ini

Doa Mangsa Kezaliman Tidak Ditolak, Guna Senjata Ini

Firman Allah SWT:

وَسَيَعۡلَمُ ٱلَّذِينَ ظَلَمُوٓاْ أَيَّ مُنقَلَبٖ يَنقَلِبُونَ ٢٢٧

“Dan orang-orang yang zalim itu kelak akan mengetahui ke tempat mana mereka akan kembali.”

[Surah al-Shu‘ara’: 227]

Allah juga memberikan amaran yang keras terhadap mereka yang zalim, sebagaimana telah dinyatakan dalam hadis Qudsi oleh Rasulullah SAW bahawa Allah SWT berfirman:

يَا ‌عِبَادِي ‌إِنِّي ‌حَرَّمْتُ ‌الظُّلْمَ عَلَى نَفْسِي، وَجَعَلْتُهُ بَيْنَكُمْ مُحَرَّمًا، فَلَا تَظَالَمُوا.

“Wahai hamba-hamba-Ku! Sesungguhnya, Aku telah mengharamkan kezaliman berlaku daripada diri-Ku sendiri, dan Aku mengharamkannya berlaku dalam kalangan kamu, maka jangan sekali-kali kamu melakukan kezaliman sesama kamu.”

[Muslim, Sahih Muslim, Kitab al-Birr wa al-Silah wa al-Adab, No. 2577, Abu Zar al-Ghifari]

Rasulullah SAW juga memberi peringatan bahawa pada akhir zaman, kezaliman akan tersebar dengan luas ke seluruh pelosok bumi kerana manusia meninggalkan petunjuk Allah.

Sehinggakan, ia berlaku secara meluas dan disokong oleh media yang suka menyebarkan fitnah dengan bayaran yang murah sehingga tersebar ke seluruh pelosok dunia.

Pada masa yang sama, disokong pula oleh banyak pihak yang mengejar kesempatan dari sudut pangkat dan harta atas kezaliman yang berlaku dengan alasan tidak mampu melawan.

Allah SWT memberikan amaran dengan firman-Nya:

فَٱسۡتَقِمۡ كَمَآ أُمِرۡتَ وَمَن تَابَ مَعَكَ وَلَا تَطۡغَوۡاْۚ إِنَّهُۥ بِمَا تَعۡمَلُونَ بَصِيرٞ ١١٢ وَلَا تَرۡكَنُوٓاْ إِلَى ٱلَّذِينَ ظَلَمُواْ فَتَمَسَّكُمُ ٱلنَّارُ وَمَا لَكُم مِّن دُونِ ٱللَّهِ مِنۡ أَوۡلِيَآءَ ثُمَّ لَا تُنصَرُونَ ١١٣

“Maka, tetaplah kamu berada pada jalan yang benar, sebagaimana yang telah diperintahkan kepada kamu dan (juga) orang yang telah bertaubat berserta kamu dan janganlah kamu melampaui batas. Sesungguhnya, Dia Maha Melihat apa yang kamu kerjakan. (112)

Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang zalim yang menyebabkan kamu disentuh oleh api neraka, dan kamu sekali-kali tidak akan mempunyai seorang penolong pun selain daripada Allah, kemudian kamu tidak akan diberikan pertolongan. (113)”

[Surah Hud: 112-113]

Allah juga mendedahkan kalangan mereka yang berkhidmat kepada golongan yang zalim ketika kematiannya, sebagaimana firman-Nya:

إِنَّ ٱلَّذِينَ تَوَفَّىٰهُمُ ٱلۡمَلَـٰٓئِكَةُ ظَالِمِيٓ أَنفُسِهِمۡ قَالُواْ فِيمَ كُنتُمۡۖ قَالُواْ كُنَّا مُسۡتَضۡعَفِينَ فِي ٱلۡأَرۡضِۚ قَالُوٓاْ أَلَمۡ تَكُنۡ أَرۡضُ ٱللَّهِ وَٰسِعَةٗ فَتُهَاجِرُواْ فِيهَاۚ فَأُوْلَـٰٓئِكَ مَأۡوَىٰهُمۡ جَهَنَّمُۖ وَسَآءَتۡ مَصِيرًا ٩٧

“Sesungguhnya, orang-orang yang diwafatkan oleh malaikat dalam keadaan menzalimi diri sendiri, (kepada mereka) malaikat bertanya, ‘Bagaimanakah keadaan kamu ini?’ Mereka menjawab, ‘Kami ialah orang-orang yang tertindas di negeri (mesti mengikut arahan).’ Para malaikat berkata, ‘Bukankah bumi Allah itu luas, sehingga kamu dapat berhijrah dari bumi itu?’ Orang-orang itu tempatnya neraka Jahannam, dan Jahannam itu merupakan seburuk-buruk tempat kembali.”

[Surah al-Nisa’: 97]

Rasulullah SAW memberi peringatan kepada sahabatnya, Mu‘az bin Jabal RA yang setelah itu ditugaskan menuju ke negeri Yaman supaya tidak berlaku zalim ketika memungut zakat dan cukai.

Sabdanya:

‌اتَّقِ ‌دَعْوَةَ ‌المَظْلُومِ، فَإِنَّهَا لَيْسَ بَيْنَهَا وَبَيْنَ اللَّهِ حِجَابٌ.

“Takutlah kepada doa orang yang dizalimi, kerana tiada dinding (yang menahannya) daripada perkenan Allah.”

[Al-Bukhari, Sahih al-Bukhari, Kitab al-Mazalim wa al-Ghasb, 2448, daripada Ibn ‘Abbas]

Zalim itu ialah meletakkan sesuatu tidak menepati hukum Allah.

Apabila hukum Allah ditinggalkan, maka semua yang berlaku mengikut ciptaan manusia adalah suatu bentuk kezaliman.

Malah, kezaliman ini juga melibatkan segala aspek seperti aqidah, syariat, akhlak, politik, ekonomi, dan semua urusan kemasyarakatan.

Allah berlaku adil kepada semua hamba-Nya tanpa mengira mereka yang beriman, Islam, kafir, munafiq, soleh dan fasiq dalam semua urusan dunia dan akhirat.

Bahkan, Allah juga menguji manusia di alam dunia supaya mereka berlaku adil dengan petunjuk-Nya, kelak pada Hari Kiamat ia akan dihisab dan dibicarakan dengan adil.

Firman Allah SWT:

أَفَحَسِبۡتُمۡ أَنَّمَا خَلَقۡنَٰكُمۡ عَبَثٗا وَأَنَّكُمۡ إِلَيۡنَا لَا تُرۡجَعُونَ ١١٥

“Maka, apakah kamu mengira, bahawa sesungguhnya Kami menciptakan kamu secara main-main (sahaja), dan bahawa kamu tidak akan dikembalikan kepada Kami?”

[Surah al-Mu’minun: 115]

Allah tidak berbicara dengan manusia berdasarkan ilmu-Nya, walaupun Dia Tuhan Yang Maha Mengetahui, Maha Mendengar dan Maha Melihat.

Namun, dibicarakan manusia itu melalui proses kehakimannya yang dilaksanakan secara terperinci dan adil.

Maka, manusia diwajibkan berlaku adil terhadap semua pihak, dan diharamkan berlaku zalim terhadap semua, sama ada lawan mahupun kawan.

Firman Allah SWT:

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ كُونُواْ قَوَّامِينَ لِلَّهِ شُهَدَآءَ بِٱلۡقِسۡطِۖ وَلَا يَجۡرِمَنَّكُمۡ شَنَـَٔانُ قَوۡمٍ عَلَىٰٓ أَلَّا تَعۡدِلُواْۚ ٱعۡدِلُواْ هُوَ أَقۡرَبُ لِلتَّقۡوَىٰۖ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَۚ إِنَّ ٱللَّهَ خَبِيرُۢ بِمَا تَعۡمَلُونَ ٨

“Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan (kebenaran) kerana Allah, lagi menjadi saksi dengan adil. Dan janganlah sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Hendaklah kamu berlaku adil, kerana sikap adil itu lebih dekat kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.”

[Surah al-Ma’idah: 8]

Seseorang itu wajib berlaku adil dan haram berlaku zalim, walaupun terhadap diri sendiri dan keluarga.

Maka, tiada hukuman secara terpilih dalam Islam.

Pada akhir zaman, kita menghadapi bencana kezaliman laksana wabak yang tersebar tanpa sebarang halangan, namun kepada golongan yang beriman pula mereka percaya kepada janji Allah SWT dan Rasul-Nya bahawa doa ialah senjata orang yang dizalimi, senjata yang tiada perisai dapat menghalangnya.

Senjata yang diizinkan oleh Allah SWT untuk digunakannya.

Firman Allah SWT:

۞لَّا يُحِبُّ ٱللَّهُ ٱلۡجَهۡرَ بِٱلسُّوٓءِ مِنَ ٱلۡقَوۡلِ إِلَّا مَن ظُلِمَۚ وَكَانَ ٱللَّهُ سَمِيعًا عَلِيمًا ١٤٨

“Allah tidak menyukai ucapan buruk yang diucapkan secara berterus terang kecuali oleh orang yang dizalimi. Dan (ingatlah) Allah ialah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.”

[Surah al-Nisa’: 148]

Maka, janganlah merasa lemah apabila berada dalam perjuangan Islam, jagalah diri untuk terus beristiqamah, dan Allah itulah sebaik-baik tempat mengadu apabila diganggu dalam perjalanan menegakkan Islam.

Hampirkanlah diri kepada Allah dengan bermunajat dan bertahajud, sama ada secara berjemaah mahupun secara bersendiri apabila diganggu oleh musuh.

ABDUL HADI AWANG

Presiden PAS

Minda Tok Guru