Boikot Berhasil Sebabkan McDonald’s Gagal Capai Untung Suku Tahunan

Boikot Berhasil Sebabkan McDonald’s Gagal Capai Untung Suku Tahunan

McDonald’s Corporation gagal mencapai anggaran keuntungan suku tahunan buat kali pertama, di tengah-tengah kempen boikot global terhadap rangkaian makanan segera itu susulan perang di Semenanjung Gaza.

Walaupun jualan meningkat hampir dua peratus pada suku pertama menandakan pertumbuhan positif 13 suku berturut-turut, syarikat makanan segera itu menghadapi masalah di pasaran antarabangsa, terutama di kawasan terjejas akibat konflik di Gaza.

“Jualan global meningkat 1.9 peratus, mencerminkan jualan setanding yang positif dalam segmen pasaran Amerika Syarikat (AS) dan antarabangsa.

“Namun, jualan setanding dalam segmen pasaran berlesen pembangunan antarabangsa adalah negatif kerana segmen itu terus dipengaruhi oleh perang di Timur Tengah.

“Kesan berterusan perang di Timur Tengah lebih daripada mengimbangi jualan positif di Jepun, Amerika Latin dan Eropah,” katanya.

Rangkaian makanan segera AS itu berdepan kempen boikot selepas Alonyal Limited – yang mengendalikan McDonald’s di Israel – memberikan ribuan makanan percuma kepada tentera Zionis berikutan serangan Tel Aviv ke atas Gaza, yang kini membunuh lebih 34,000 orang awam.

Ketua Pegawai Eksekutif McDonald’s, Chris Kempczinski berkata, konflik itu memberi kesan kepada jenamanya dan menjejaskan jualan di negara majoriti muslim.

Ekonomi