PEMBELA merujuk kepada isu yang telah dibangkitkan dalam Dewan Rakyat pada sidang yang lalu mengenai isu pihak pengurusan TH Plantation Berhad (THP) yang bercadang untuk menjual 14 buah syarikat subsidiarinya yang memiliki tanah ladang kelapa sawit seluas 76,966 hektar.
Termasuk dalam 14 anak syarikat ini ialah dua anak syarikat bernama BUMI SURIA VENTURES SDN BHD (BSV) dan MAJU WARISANMAS SDN BHD (MW) yang dicadangkan untuk dijual kepada sebuah syarikat bukan milik Bumiputera dengan harga serendah RM170 juta sahaja sedangkan nilai sebenar adalah berkali ganda daripada jumlah ini.
Difahamkan juga, kertas cadangan penjualan ini sudah diserahkan kepada Unit Perancangan Ekonomi (EPU) untuk kelulusan.
Menurut sumber yang dipercayai, terdapat elemen-elemen ketidaktelusan dalam proses penjualan ini.
PEMBELA merasakan bahawa ini merupakan perkara yang serius kerana melibatkan harta umat Islam (Tabung Haji) dan perlu tindakan yang tuntas dan tegas.
Oleh itu, PEMBELA mendesak agar:
Pihak pengurusan THP dan pihak Unit Perancangan Ekonomi (EPU) membatalkan cadangan penjualan syarikat subsidiari ini bagi melindungi pemilikan harta umat Islam.
Menteri Agama menyiasat isu yang dibangkitkan PEMBELA dan jika sekiranya terbukti benar, maka pengurusan THP mestilah bertanggungjawab dan meletak jawatan.
SPRM menyiasat proses penjualan ini dan mengambil tindakan jika terdapat berlaku salahguna kuasa oleh pihak pengurusan atau Lembaga Pengarah.
ππ ππ‘π¨ππππ‘ π¬ππππ¬π
Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA)
