Telah acap kali dipesan oleh Tun Mahathir supaya orang Melayu jangan menubuhkan parti baru, kerana ia mengundang kepada perpecahan bangsa.
Tetapi Tun Mahathir yang dahulunya menyerpih dari Umno, telah menubuhkan Bersatu.
Syed Saddiq yang bukan dari Umno juga menyertai Bersatu untuk membuat reformasi politik pada 2016.
Tun Mahathir yang memegang kuasa de facto Bersatu sejak akhir 2016 itu berhasil menumbangkan parti yang diasaskannya pada 1988, Umno (Baru).
Umno (Lama) telah hancur ekoran perebutan jawatan antara Tun Mahathir dengan Tengku Razaliegh (Ku Li) pada 1987.
Ku Li menubuhkan Semangat 46 yang kononnya sebagai penjelmaan semula Umno (Lama) yang telah diharamkan oleh mahkamah.
Sejak wujudnya Umno (Baru), Tun Mahathir menjadi orang paling berkuasa di negara ini.
Tun Mahathir bukan sahaja bertempur dengan Musa Hitam, Ku Li, Ghafar Baba, Anwar Ibrahim, Abdullah Badawi dan Najib Razak, tetapi juga dengan Raja-raja Melayu.
Beliau berjaya mematahkan taring dan mencabut imuniti Raja-raja Melayu.
Hanya seketika pengaruhnya tergugat, iaitu ketika Anwar Ibrahim melancarkan Reformasi pada 1998, tetapi Tun Mahathir tetap kekal berkuasa.
Di luar kerajaan, Tun Mahathir telah menggulingkan Abdullah Badawi dan Najib Razak.
Bagi Tun Mahathir, mereka tidak pandai memerintah, kerana kroni dan anak-anaknya tidak mendapat keuntungan dari dasar-dasar kedua-dua Perdana Menteri itu.
Akhirnya, bukan Najib Razak sahaja tumbang, tetapi Umno/BN juga tersungkur dari tampuk kuasa pada 2018.
Tun Mahathir yang berusia 91 tahun ketika Bersatu ditubuhkan, telah mengambil Syed Saddiq yang berusia 24 tahun sebagai Ketua Armada Bersatu.
Dua tahun kemudian, Syed Saddiq dijadikan Menteri Belia dan Sukan dalam Kerajaan PH.
Pada akhir Februari 2020, Bersatu telah berpecah ekoran tindakan parti itu untuk keluar dari PH.
Tun Mahathir yang memimpin serpihan Bersatu telah menubuhkan Pejuang baru-baru.
Syed Saddiq di antara tokoh Bersatu yang mendukung Tun Mahathir dalam parti baru itu.
Evolusi serpihan Umno (Baru)
Umno (Lama) (1946-1988)
– – > S46 (1988-1996)
– – > Umno (Baru) (1988-2020)
– – > PKR (1998-2020)
– – > Ikatan (2012-2020)
– – > Bersatu (2014-2020)
– – > Pejuang (2020)
– – > Muda (2020)
Tiba-tiba Syed Saddiq bercakap tentang parti untuk anak muda.
Ertinya, Syed Saddiq memberitahu Tun Mahathir bahawa parti orang tua sudah tidak relevan.
Tun Mahathir dan Pejuang sudah tidak relevan.
Tun Mahathir sendiri sebagai seorang tokoh dan negarawan juga tidak relevan.
Dasar-dasar perjuangan kronisme Tun Mahathir lebih-lebih lagi tidak relevan.
Orang muda sudah muak dan mual dengan politik orang tua seperti Tun Mahathir.
Semua orang tahu parti Muda langsung tidak realistik dalam politik hari ini.
Orang muda bukan ahli politik.
Mereka tidak tahu politik.
Mereka hanya menjadi pemerhati yang sentiasa reaktif lewat medsos sahaja.
Mereka tidak bersedia untuk memimpin, hanya mahu mengkritik sahaja.
Mereka belum bersedia berkorban untuk negara, hanya mahu mencelah sahaja.
Politik mereka hanya politik acah-acah.
Tapi Parti Muda ini sepertinya mahu memberi isyarat kepada Tun Mahathir bahawa orang muda sudah mual dengan politik gaya tua itu.
Jasa, sumbangan dan legasi Tun Mahathir sudah tidak ada makna lagi.
Mereka mahu politik baru yang sesuai dengan jiwa orang muda.
Politik Tun Mahathir sudah tidak kena pada zamannya.
Jika tidak demikian, masakan Syed Saddiq menubuhkan parti baru untuk orang muda.
Parti Muda itu bukanlah parti politik.
Ia hanya sindiran untuk membunuh legasi Tun Mahathir!