Adalah dimaklumkan bahawa Istana Negara memandang serius terhadap perbuatan pihak tidak bertanggungjawab yang menggunakan nama atau membabitkan KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan institusi Istana Negara untuk menyebar berita palsu sama ada bagi kepentingan politik atau peribadi.
Istana Negara sentiasa memantau dan memandang serius terhadap kenyataan tidak benar oleh beberapa individu kepada media yang menggunakan nama dan menyebarkan foto-foto KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong serta Istana Negara melalui applikasi Whatsapp.
Tindakan yang tidak bertanggungjawab sedemikian bukan sahaja mencemarkan kredibiliti KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Istana Negara, malah boleh menimbulkan kegusaran rakyat serta menggugat ketenteraman dalam negara dari pelbagai sudut.
Sehubungan dengan itu, Istana Negara, jika mendapati perlu, tidak akan teragak-agak untuk melaporkan kepada Polis Diraja Malaysia begitu juga Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia bagi tindakan lanjut di bawah Seksyen 211 dan 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Dalam pada masa yang sama, Istana Negara menyarankan rakyat agar tidak mudah panik dan percaya dengan berita palsu yang tersebar. Istana Negara turut menyarankan agar berita-berita palsu ini tidak dikongsi bersama untuk mengelakkan tindakan oleh pihak Polis Diraja Malaysia juga Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia.
Dato’ Indera Ahmad Fadil Shamsuddin
Datuk Pengelola Bijaya Diraja
Istana Negara


