Kedatangan bulan Rabiul Awal disambut meriah oleh umat Islam kerana dalam bulan inilah Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW dilahirkan.
Sambutan ini bukan kerana meraikan kelahiran Baginda, tetapi kerana kecintaan umat Islam terhadap Baginda yang mengatasi kecintaan terhadap diri sendiri.
Kita semua sangat bersyukur kerana terpilih menjadi umat Nabi Muhammad SAW.
Persoalan di hadapan kita ialah apakah sambutan maulid ini hanya berlegar di antara selawat dan majlis-majlis jamuan sahaja atau kita perlu melangkah lebih jauh ke hadapan?
Sewajarnya sambutan ini dapat merangsang kita mengenali Baginda, memahami seerah perjuangannya dan menghayati perjuangan tersebut melalui usaha-usaha untuk menegakkan hukum Allah di atas muka bumi.
Ia adalah dakwah dan jihad yang menyeluruh untuk mengajak manusia berabdi hanya kepada Allah.
Antara ulamak yang menulis tentang perjalanan hidup Nabi SAW dalam konteks memahami perjuangan Baginda yang disebut sebagai fiqh seerah ialah Sheikh Muhammad al-Ghazali (Fiqh as-Seerah), Sheikh Munir Ghadban (Fiqh as-Seerah Nabawiyah), Maulana Abu Hassan Ali an-Nadwi (Seerah Nabawiyah), Sheikh Mustafa as-Sibaie (as-Seerah an-Nabawiyah: Durus wa Ibar), Sheikh Shafiyurahman al-Mubarakfuri (ar-Rahiq al-Makhtum), Sheikh Said Ramadhan al-Buti (Fiqh as-Seerah) dan Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang.
Presiden PAS, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang telah menuliskan tiga jilid buku yang diberi tajuk ‘Fiqh al-Harakah dari Seerah Nabawiyah’ yang bermaksud memahami pergerakan Islam dari perjalanan hidup Nabi SAW.
Buku tiga jilid ini sangat berbeza dengan buku-buku seerah yang biasa kerana ia menghuraikan dari sudut kefahaman terhadap pergerakan Islam yang mesti dihadami oleh setiap umat Islam yang mencintai Nabi SAW.
Ia bukan sekadar kisah hidup semata-mata.
Kehebatan Tuan Guru Haji Abdul Hadi dalam mengemukakan kefahaman dan penghayatan ini ke umat Islam hari ini sangat berkait rapat dengan pengaruh gurunya, Sheikh Said Hawwa, seorang pendakwah dan tokoh gerakan Islam yang menjadi murabbi beliau di Madinah.
Sheikh Said Hawwa yang berasal dari Syria telah bermukim di Madinah pada dekad 1960-an dan 1970-an kerana perjuangan beliau menegakkan agama yang diajarkan oleh Baginda SAW.
Sheikh Said Hawwa sendiri pernah menulis dua buah buku fiqh seerah Nabi SAW yang berjudul ‘al-Asas fi as-Sunnah wa Fiqhuha: as-Seerah an-Nabawiyah’ dan ‘ar-Rasul SAW.’
Buku ‘ar-Rasul’ ini telah diterjemahkan ke bahasa Melayu dengan judul ‘ar-Rasul Muhammad SAW’ dan ia wajar dimiliki oleh anak-anak gerakan Islam supaya kita dapat memahami dengan lebih mendalam tentang perjuangan Nabi SAW, yang diungkap oleh seorang tokoh pejuang Islam.
Saya mengesyorkan supaya kita memiliki dan membacanya, di samping karya Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang.