Fasha, Jangan Sebar ‘Fahsya’’

Fasha, Jangan Sebar ‘Fahsya’’

Saban tahun, terutamanya bila melibatkan perayaan Krismas, pasti ada isu tasyabbuh iaitu menyerupai kaum yang lain.

Sudah menjadi kelaziman, akan ada perbalahan-perbalahan mengenai hal ini diperkatakan.

Pernah dahulu digelarkan ‘Kongsi Raya’ apabila Hari Raya berselang dengan Tahun Baru Cina.

Kemudian ia dilarang oleh mufti dengan mengatakan perayaan kita adalah perayaan keagamaan, jangan dicampur dengan yang lain.

Bila tiba Hari Raya hampir dengan Krismas, kemudian diadukan pula dengan perayaan Kristian itu.

Sentiasa ada jalan mahu menggabungkan perayaan keagamaan kita dengan kafir.

Mengapa ya?

Begitu sibuk mereka mahu bergabung raya dengan kita, tetapi dalam masa yang sama, mereka mengatakan Islam ini agama keganasan?

Pelik juga orang beriya-iya mahu bergabung dengan penjahat.

Lihat juga isu berkaitan dengan sekolah vernakular.

Adakah toleransi daripada mereka?

Langsung mereka tidak melayan kita.

Masuk kita kepada peranan orang Islam itu sendiri.

Apabila agamawan telah mengeluarkan hukum melalui al-Quran dan hadis, ijmak serta qias, ada juga yang tetap mahu melawan.

Sebahagian orang Islam tiba-tiba merasakan tiadanya toleransi dalam beragama bila dilarang menyambut perayaan agama lain, sedangkan mereka yang membantah itu tidak bersandarkan kepada mana-mana dalil agama.

Lalu mereka memberontak, mahu mengikut lojik yang ada dalam kepala mereka.

Ulamak sebahagiannya menerusi ilmu mereka melarang mengucapkan ucapan yang baik kepada mereka walau atas dasar meraikan.

Manakala sebahagian lagi membolehkan.

Tetapi tiada ulamak yang mengatakan kita boleh berbuat sewenang-wenangnya sehingga menggadaikan aqidah kita.

Contoh berpakaian menyerupai Santa Claus, kerana itu sudah bermakna kita turut merayakan agama yang menyekutukan Allah yang esa.

Islam adalah satu-satunya agama yang tidak menyekutukan Allah.

Inilah teras utama Islam yang disebut dalam syahadah kita, tiada tuhan yang disembah melainkan Alllah.

Manakala agama lain, mereka menggandingkan Allah dengan sesuatu yang lain.

Oleh itu, Allah telah dihina dengan berkongsi kuasa dengan mahkluk ciptaanNya sendiri, sekaligus cuba memperlihatkan yang Allah itu lemah, perlu kepada sesuatu yang lain.

Jika keesaan kepada Allah ini digadai, maka akan runtuhlah Islam dalam diri mereka.

Berbaloikah kerana untuk meraikan perayaan orang kafir, dengan Islam dilucutkan daripada kita?

Apa lagi kekurangan dalam perayaan kita ini?

Disebut dalam banyak riwayat, Rasulullah dan sahabat hanya menyambut Aidilfitri sehari sahaja dan Aidiladha selama empat hari dan dipenuhi dengan bertakbir sepanjang hari.

Kita di sini, sampai sebulan menyambut Aidilfitri.

Itupun terkadang ada yang ditunda sehingga ke awal bulan Zulkaedah.

Beraya, sampai habis duit, ada yang berhutang.

Itu pun belum puas lagi.

Semua raya orang, kita nak turut serta juga.

Masalah yang timbul ialah, kenapa kita bersungguh-sungguh menyahut seruan toleransi yang mereka serukan sedang dalam masa yang sama, kita tidak pernah pun memaksa mereka hadir atau meraikan perayaan kebesaran agama kita?

Mereka datang, kita sambut.

Tak datang, kita tak pula kutuk.

Kita pula tiba-tiba menyibuk dengan perayaan orang.

Takut dikata kononnya tidak mesra.

Apatah lagi kita tinggal dalam negara yang mana kita sebagai tuan rumah.

Apa yang merasuk kita?

Bertambah berbelit isu yang sudah jelas ini, apabila masuk pula manusia-manusia jahil yang cuba menormalisasikan perbuatan mereka itu.

Sudah ada kelonggaran mengucap ucapan kepada mereka, mereka mahu pula berpakaian seperti golongan kafir itu.

Lagi memeningkan ialah, Krismas itu sendiri tiada dalam Bible mereka dan dikatakan berasal dari sambutan agama pagan.

Kalaulah sudah Kristian sendiri yang mempersoalkan keasbahan perayaan mereka, mengapa kita ini pula yang lebih sudu dari kuah?

Fasha Sandha seorang artis, bangkit mempertahankan apa yang didakwanya sebagai betul iaitu mengenakan anak mereka pakaian Santa Claus.

Dakwa beliau ramai yang cuba menjadi ustaz dan ustazah jadian kerana mengkritiknya.

Ironinya, dia juga cuba menjadi ustazah jelmaan dengan mengkritik balas hal itu, tanpa rujukan mana-mana dalil al-Quran, hadis, ijmak serta qias.

Hanya bersenjatakan lojik sahaja.

Jika beliau tidak mahu dikritik, boleh.

Tetapi jangan kaitkan perbuatan dirinya dengan agama secara terbuka.

Dalam Islam ada konsep amar makruf nahi mungkar.

Ramai yang boleh buat amar makruf iaitu menyeru kepada kebaikan.

Tetapi apabila ingin mencegah kemungkaran, maka akan ada tentangan yang sangat besar.

Maka peminat yang menegur Fasha itu telah menjalankan kewajipan nahi mungkar mereka.

Fasha mestilah meneliti panduan yang diberikan oleh agama, bukan dengan mudah menepis teguran orang ramai dengan lojik akal sahaja.

Telah jelas dan sudah banyak panduan yang diberikan, boleh didapati dengan mudah sekali berkenaan hukum menyambut perayaan agama lain.

Ia adalah haram.

Berlainan dengan hanya ucapan, ada kelonggarannya mengikut sesetengah pandangan.

Dan kerana mahu menjaga imej mungkin, maka Fasha pula melabelkan orang lain yang menegurnya.

Fasha tidak perlu menyebar fahsya’.

Hidup kita dengan masyarakat, bukan keseorangan.

Apa-apa yang berlaku, akan dinilai orang.

Hairan, jika kita membuat hantaran di media sosial, kemudian kita marah apabila dinilai orang.

Apatah lagi jika kita itu orang ternama dan perbuatan kita itu jelas dan nyata bersalahan dengan hukum agama.

Jadilah orang Islam yang taat kepada Allah.

Dalam surah al-Ankabut ayat 45, diterangkan makna al-fahsya’ iaitu perkara yang keji.

Semoga kita semua diampunkan Allah.

Mohd Nasir Abdullah
29 Disember 2020

Isu Semasa