Persamaan Tema Dan Ayat Dalam Kenyataan Media Pengerusi PH Dan BN: Apa Mesej Tersirat Yang Hendak Disampaikan?

Persamaan Tema Dan Ayat Dalam Kenyataan Media Pengerusi PH Dan BN: Apa Mesej Tersirat Yang Hendak Disampaikan?

Malam tadi seorang kawan ahli akademik di UUM memanjangkan kepada saya satu poster yang mendakwa bahawa kenyataan media Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan kenyataan media Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, adalah sebiji-sebiji sama.

Setelah dibandingkan kedua-dua kenyataan media tersebut saya agak terkejut bila mendapati bahawa kedua-dua kenyataan media ini bukan saja sama dari segi temanya tetapi juga ayatnya.

Para pertama kenyataan media Anwar Ibrahim adalah berbunyi:

“Ahli-ahli Dewan Rakyat Pakatan Harapan menjunjung kasih titah KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada 24 Februari 2021 di mana Yang di-Pertuan Agong telah menzahirkan pandangan bahawa Dewan Rakyat boleh bersidang semasa tempoh darurat berkuatkuasa pada suatu tarikh yang difikirkan sesuai oleh Duli Tuanku atas nasihat YAB Perdana Menteri.”

Para pertama kenyataan media Ahmad Zahid Hamidi pula adalah berbunyi:

“Barisan Nasional menjunjung kasih titah KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada 24 Februari 2021 di mana Yang di-Pertuan Agong telah menzahirkan pandangan bahawa Dewan Rakyat boleh bersidang semasa tempoh darurat berkuatkuasa pada suatu tarikh yang difikirkan sesuai oleh Duli Tuanku atas nasihat YAB Perdana Menteri.”

Perhatikan bahawa apa yang berbeza di dalam kedua-dua kenyataan media ini hanyalah pada bahagian “Ahli-ahli Dewan Rakyat Pakatan Harapan” dan “Barisan Nasional” sahaja.

Para kedua kenyataan media Anwar Ibrahim adalah berbunyi:

“Kami mengalu-alukan titah Duli Tuanku yang bertujuan menegakkan amalan sistem demokrasi yang berteraskan prinsip Keluhuran Perlembagaan.”

Para kedua kenyataan media Ahmad Zahid Hamidi pula adalah berbunyi:

“Barisan Nasional menyambut baik titah Duli Tuanku yang bertujuan menegakkan amalan sistem demokrasi yang berteraskan prinsip Keluhuran Perlembagaan.”

Perhatikan bahawa apa yang berbeza di dalam kedua-dua kenyataan media ini hanyalah pada bahagian “Kami mengalu-alukan” dan “Barisan Nasional menyambut baik” sahaja.

Para ketiga kenyataan media Anwar Ibrahim adalah berbunyi:

“Maka berikutan titah KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, nasihat YAB Perdana Menteri kepada Duli Tuanku bagi membendung gejala wabak COVID-19 melalui Pengisytiharan Darurat serta Pemasyuran Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 perlu sentiasa peka ke atas prinsip tersebut bagi memastikan hak rakyat dapat disuarakan di Parlimen.”

Para ketiga kenyataan media Ahmad Zahid Hamidi pula adalah berbunyi:

“Barisan Nasional sentiasa berpegang bahawa, nasihat YAB Perdana Menteri kepada KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong bagi membendung gejala wabak COVID-19 melalui Pengisytiharan Darurat serta Pemasyuran Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 perlu memastikan hak suara rakyat di Parlimen tidak diabaikan.”

Perhatikan bahawa kedua-dua kenyataan media ini menyebut satu perkara yang sama, iaitu supaya nasihat YAB Perdana Menteri kepada Yang di-Pertuan Agong bagi membendung gejala wabak COVID-19 melalui Pengisytiharan Darurat serta Pemasyuran Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 perlu “memastikan hak suara rakyat di Parlimen tidak diabaikan” atau “memastikan hak rakyat dapat disuarakan di Parlimen”.

Para keempat kenyataan media Anwar Ibrahim adalah berbunyi:

“Kendatipun begitu, kenyataan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) semalam bahawa Jemaah Menteri menasihatkan KDYMM Seri Paduka Baginda Tuanku Agong supaya tidak diadakan Sidang Parlimen semasa tempoh Darurat berkuatkuasa, adalah amat menghampakan kerana bertentangan dengan pandangan dan titah Duli Tuanku.”

Para keempat kenyataan media Ahmad Zahid Hamidi pula adalah berbunyi:

“Barisan Nasional menanggapi kenyataan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) semalam bahawa Jemaah Menteri menasihatkan KDYMM Seri Paduka Baginda Tuanku Agong supaya menidakkan Sidang Parlimen semasa tempoh Darurat berkuatkuasa, adalah seolah mencabar pandangan dan titah Duli Tuanku dan menghina institusi Raja Berpelembagaan.”

Perhatikan bahawa kedua-dua kenyataan media ini menyebut satu perkara yang sama, iaitu bahawa kenyataan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) semalam bahawa Jemaah Menteri menasihatkan KDYMM Seri Paduka Baginda Tuanku Agong supaya menidakkan atau supaya tidak diadakan Sidang Parlimen semasa tempoh Darurat berkuatkuasa adalah sama ada “bertentangan dengan pandangan dan titah Duli Tuanku” atau “seolah mencabar pandangan dan titah Duli Tuanku dan menghina institusi Raja Berpelembagaan”.

Para kelima kenyataan media Anwar Ibrahim adalah berbunyi:

“Justeru, selaras dengan kuasa wewenang Duli Tuanku di bawah Seksyen 14 (1)(b) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 dibaca bersama Perkara 40 (2) Perlembagaan Persekutuan, kami dengan rendah diri dan seikhlasnya merayu kepada KDYMM Seri Paduka Baginda Tuanku Agong; sekiranya diperkenankan, untuk menitah Sidang Parlimen diadakan dengan kadar segera bagi membentangkan perkara-perkara berikut:

(a) Pengisytiharan Darurat serta Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 bagi memastikan prinsip hak asasi manusia, kebebasan masyarakat madani, ketulusan dan kedaulatan undang-undang dapat dipelihara;

(b) Keberkesanan langkah-langkah untuk membendung penularan wabak COVID-19 demi keselamatan dan kesejahteraan rakyat termasuk jadual imunisasi vaksin kepada rakyat;

(c) Keberkesanan pelaksanaan Belanjawan 2021 demi memastikan kelangsungan hidup rakyat, terutamanya golongan berpendapatan rendah dan sederhana (B40 dan M40);

(d) Keberkesanan ikhtiar pemulihan ekonomi negara semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP);”

Para keenam kenyataan media Ahmad Zahid Hamidi pula adalah berbunyi:

“Meskipun begitu, Barisan Nasional dengan rendah diri merayu kepada KDYMM Seri Padaka Baginda Tuanku Agong, sekiranya diperkenankan, untuk menitahkan Sidang Parlimen diadakan dengan kadar segera dengan menggunakan kuasa wewenang Duli Tuanku di bawah Seksyen 14 (I)(b) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 dibaca bersama Perkara 40 (2) Perlembagaan Persekutuan. Di mana, Sidang Parlimen dapat membentangkan perkara-perkara berikut:

(a) Pengisytiharan Darurat serta Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 bagi memastikan prinsip hak asasi manusia, kebebasan masyarakat madani, ketulusan dan kedaulatan undang-undang dapat dipelihara;

(b) Keberkesanan langkah-langkah untuk membendung penularan wabak COVlD-19 demi keselamatan dan kesejahteraan rakyat;

(c) Keberkesanan pelaksanaan Belanjawan 2021 demi memastikan kelangsungan hidup rakyat, terutamanya golongan berpendapatan rendah dan sederhana (B40 dan M40);

(d) Keberkesanan ikhtiar pemulihan ekonomi negara semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP);”

Perhatikan bahawa kedua-dua kenyataan media ini menyebut satu perkara yang sama, iaitu merayu kepada KDYMM Seri Paduka Baginda Tuanku Agong untuk menitahkan Sidang Parlimen diadakan dengan kadar segera bagi membentangkan empat perkara yang sama, iaitu:

(a) Pengisytiharan Darurat serta Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 bagi memastikan prinsip hak asasi manusia, kebebasan masyarakat madani, ketulusan dan kedaulatan undang-undang dapat dipelihara;

(b) Keberkesanan langkah-langkah untuk membendung penularan wabak COVlD-19 demi keselamatan dan kesejahteraan rakyat;

(c) Keberkesanan pelaksanaan Belanjawan 2021 demi memastikan kelangsungan hidup rakyat, terutamanya golongan berpendapatan rendah dan sederhana (B40 dan M40);

(d) Keberkesanan ikhtiar pemulihan ekonomi negara semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP);”

Para terakhir kenyataan media Anwar Ibrahim adalah berbunyi:

“Sementalahan itu, pihak kami juga turut menzahirkan penghargaan kepada pihak kerajaan dalam merealisasikan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan dan kepada para wira-wirawati petugas barisan hadapan dalam pengorbanan yang dicurahkan tanpa mengira masa dan penat dalam memerangi wabak COVID-19.”

Para terakhir kenyataan media Ahmad Zahid Hamidi pula adalah berbunyi:

“Sementalahan saya juga turut menzahirkan penghargaan kepada pihak kerajaan dalam merealisasikan Program lmunisasi COVID-19 Kebangsaan dan kepada para wira-wirawati petugas barisan hadapan dalam pengorbanan yang dicurahkan tanpa mengira masa dan penat dalam memerangi wabak COVID-19.”

Perhatikan bahawa apa yang berbeza di dalam kedua-dua kenyataan media ini hanyalah pada bahagian “Sementalahan itu, pihak kami” dan “Sementalahan saya” sahaja.

Sepertimana kawan ahli akademik di UUM tadi, saya juga tertanya-tanya:

(1) Apakah pembuat kenyataan media Pengerusi PH dan pembuat kenyataan media Pengerusi BN adalah individu yang sama atau apakah ia dibuat menggunakan template yang sama?

(2) Apakah mesej tersirat yang hendak disampaikan atau yang boleh dibaca dari persamaan tema dan ayat dalam kenyataan media Pengerusi PH dan kenyataan media Pengerusi BN ini?

Atau apakah semua persamaan ini adalah sekadar satu kebetulan semata-mata?

Kamarul Yusoff

Isu Semasa