Pertandingan Empat Penjuru Bakal Mewarnai PRU15

Pertandingan Empat Penjuru Bakal Mewarnai PRU15

Pilihanraya Umum bakal diadakan setelah negara ini mampu menangani pandemik Covid19 melalui usaha vaksinisasi.

Ramai yang ingin melihat pertandingan dua penjuru antara Perikatan Nasional dengan Pakatan Harapan.

Tetapi hal ini tidak akan berlaku.

Sepertimana diketahui Barisan Nasional bukan dalam gabungan Perikatan Nasional dan Muafakat Nasional bukan suatu organisasi yang berdaftar.

Apa yang berlaku Barisan Nasional hanya menyertai Perikatan Nasional untuk membentuk kerajaan campuran bukannya kerajaan perpaduan.

Jadi, tidak salah Barisan Nasional melawani Perikatan Nasional dalam Pilihan Raya Umum 15 (PRU15) nanti.

Tidak patut dipersalahkan kepada UMNO yang mengetuai Barisan Nasional untuk menentang PPBM dalam PRU15 nanti.

Umum mengetahui, PAS tidak akan bersama dengan Parti Amanah Negara (PAN) dalam sebarang bentuk kerjasama mahupun bersekutu dalam PRU 15 nanti.

Begitu juga UMNO tidak akan bersama atau bersekutu sebagai satu gabungan dalam PRU15 nanti.

Ini adalah soal hati.

Tiada siapa yang boleh memaksa untuk dari tidak bersetuju kepada bersetuju.

Pengalaman pahit yang dialami oleh PAS sewaktu krisis 2015 telah menyebabkan PAS keluar dari Pakatan Harapan disebabkan terdapat duri dalam daging yang akhirnya melahirkan PAN.

Begitu juga UMNO yang telah melalui pengalaman paling pahit sehingga gagal membentuk kerajaan pusat disebabkan oleh ahli UMNO yang akhirnya keluar menyertai PPBM yang bergabung dengan Pakatan Harapan.

Maka, adalah sukar untuk menyatukan PPBM dengan UMNO sepertimana sukarnya menyatukan PAS dan PAN.

Tetapi perlu diingatkan juga dalam Pakatan Harapan (PH) kini terbahagi kepada dua iaitu kumpulan pro Anwar dan kumpulan pro Tun Dr Mahathir.

Mahu atau tidak, akan wujudnya dua penjuru dalam PH apabila berdepan dengan PRU15 nanti.

Jika kumpulan pro Anwar masih tidak belajar daripada sejarah terbentuknya kerajaan Perikatan Nasional selepas Langkah Sheraton.

Ini bermakna pisang akan berbuah lebih tiga kali dalam pengkhianatan Tun Dr Mahathir ke atas kumpulan pro Anwar dalam Pakatan Harapan.

Selain itu, terdapat juga kumpulan yang tidak terikat dengan Barisan Nasional atau Perikatan Nasional atau Pakatan Harapan pro Anwar atau kumpulan Pro Tun Dr Mahathir.

Kumpulan ini seperti Putra, Berjasa dan sebagainya juga akan menyertai PRU15 nanti.

Ini bermakna kerusi Melayu majoriti yang terdiri daripada 120 kerusi bakal dipertandingkan dengan lebih empat penjuru terutama di negeri-negeri yang amat panas.

UMNO bakal berentap dengan PPBM di negeri Kelantan, Terengganu, Pahang, Perak, Johor, Selangor dan Kedah.

Jika PAS turut menyertai Perikatan Nasional bermakna UMNO turut berentap dengan PAS di Kedah, Terengganu dan Kelantan.

Seterusnya, kumpulan pro Tun Dr Mahathir bersama Putra, Berjasa dan parti-parti kecil lain akan turut berentap dengan Pakatan Harapan di kebanyakan kerusi Pantai Barat.

Ini bermakna, Melayu dengan Melayu akan berpecah dan berentap untuk merebut kerusi.

Di samping itu, bakal akan berlaku adalah tawar menawar kerusi kepada parti bukan Melayu untuk mendapatkan undi bukan Melayu di kerusi majoriti Melayu.

Situasi ini bakal berlaku jika kuasa politik Melayu dipecahkan dan dilemahkan apabila pertandingan sesama parti politik Melayu di satu kerusi majoriti Melayu melebihi empat penjuru.

Ini juga adalah keterpaksaan untuk menyerahkan kerusi majoriti Melayu agar undi bukan Melayu mengundi sesuatu parti.

Amat menyedihkan jika situasi ini berlaku.

Apa yang berlaku di Tanjung Piai yang melihat undi Cina kembali kepada MCA sebenarnya tidak berlaku.

Perubahan undi Cina kembali kepada MCA adalah disebabkan strategi penyokong DAP untuk melihat adanya wakil Cina dalam kerusi Parlimen kerajaan Perikatan Nasional.

Bagi pengundi Cina kepentingan wakil Cina lebih penting daripada kepentingan agenda peribadi dan parti.

Mereka melihat kedudukan sebagai kaum minoriti memerlukan wakil dalam kerajaan Perikatan Nasional yang didominasi oleh kaum Bumiputra.

Situasi hal ini juga bakal berlaku nanti dalam PRU15.

Akan berlaku tawar menawar antara MCA dan DAP dalam mewujudkan wakil dalam kerajaan yang akan terbentuk nanti.

DAP berkemungkinan tiada masalah untuk menyerahkan 10 hingga 20 kerusi Parlimen kepada MCA jika benar kerajaan campuran formula kini terbentuk nanti.

Jika formula kerajaan campuran tidak berlaku, maka akan terbentuk formula kerajaan diterajui Barisan Nasional nanti, sudah pasti ada wakil Cina dalam kerajaan itu.

Ini bermakna DAP dan MCA akan menjadi penimbang tara dalam pembentukan mana-mana formula kerajaan nanti.

Maka tidak rugi jika DAP berkongsi kerusi dengan MCA.

Inilah dinamakan strategi pintar.

Sebab, mereka sudah tahu adalah sukar untuk menyatukan UMNO dengan PPBM dan situasi ini turut sama berlaku sukar menyatukan PAN dan PAS.

Maka yang menjadi pilihan kini adalah antara dua gergasi parti politik yang benar-benar berentap dan mempunyai keupayaan untuk menang.

Bagi mereka sama ada kumpulan pro Tun Dr Mahathir atau mana-mana parti kecil seperti Putra, Berjasa dan sebagainya turut bertanding tidak akan memberi impak kepada pembentukan kerajaan nanti.

Amat menyedihkan jika kuasa politik Melayu hari ini menjadi satu bebanan kepada Perpaduan Ummah disebabkan tidak kembali kepada ajaran Islam.

Prof Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah, UniSZA
Dr Iskandar Hasan Tan Abdullah, UiTM

Politik