Pandemik Zaman Umar
“KITA LARI DARI TAQDIR ALLAH KEPADA TAQDIR ALLAH!”
Abdullah bin Abbas meriwayatkan bahawa sewaktu Khalifah Umar bin Al Khattab dalam perjalanan ke Syam untuk suatu tugasan, beliau tiba di sebuah kampung berdekatan Lembah Tabuk dikenali sebagai Kampung Saragh.
Di situ, rombongan Umar bertemu dengan kumpulan pemimpin-pemimpin tentera Islam yang bertugas di sana.
Mereka ialah Abu Ubaidah Al Jarrah, Khalid bin Al Walid, Syurahbil bin Hasanah, Amru bin Al As dan lain-lain lagi.
Dalam pertemuan itu Umar dimaklumkan bahawa negeri Syam sedang dilanda wabak penyakit berbahaya yang merebak secara berleluasa.
Dikatakan wabak itu dikenali sebagai Wabak Taun Amwas.
Dinamakan Amwas mengambil sempena nama kampung tempat bermulanya penyakit itu yang terletak berhampiran Baitul Maqdis.
Umar menjadi serba salah sama ada hendak meneruskan perjalanan ke Syam atau tidak.
Umar meminta Ibnu Abbas memanggil golongan Muhajirin awal yang sempat dengan zaman solat menghadap ke arah Baitul Maqdis.
Umar meminta pendapat mereka.
Masing-masing memberikan pandangan.
Ada yang mencadangkan Umar meneruskan niat untuk pergi ke Syam.
Ada juga yang mencadangkan supaya pulang sahaja ke Madinah memandangkan bahaya wabak berkenaan.
Tiada kesepakatan dari kumpulan ini.
Seterusnya Ibnu Abbas diminta menjemput kumpulan Ansar pula untuk mendengar pendapat mereka.
Kumpulan Ansar juga sama seperti Muhajirin awal yang tiada kesepakatan untuk mencadangkan kepada Umar sama ada pulang ke Madinah, atau meneruskan perjalanan ke Syam.
Lalu Umar memerintahkan Ibnu Abbas memanggil kumpulan ketiga iaitu pemimpin-pemimpin Quraisy yang berhijrah dalam peristiwa Fathu Makkah.
Berbeza dengan kumpulan pertama dan kedua, kumpulan ini sepakat mencadangkan supaya Umar tidak meneruskan perjalanan ke Syam dan pulang ke Madinah.
Umar bersetuju dengan pandangan kumpulan ketiga ini lantas dengan tegas mengumumkan, “Pagi besok aku akan balik ke belakang”.
Keputusan Umar untuk tidak meneruskan perjalanan ke Syam tidak dipersetujui oleh panglima Abu Ubaidah Al Jarrah kerana merasakan Umar tidak yakin dengan taqdir Allah.
Abu Ubaidah berkata:
أفِرَارًا مِن قَدَرِ اللَّهِ؟
“Adakah engkau hendak lari dari ketentuan Allah?”
Umar terkejut dengan bantahan Abu Ubaidah lantas berkata:
لو غَيْرُكَ قَالَهَا يا أبَا عُبَيْدَةَ؟
“Kalaulah orang lain yang berkata begini wahai Aba Ubaidah!”
Ertinya aku hairan bagaimana kamu seorang sahabat Nabi SAW masih gagal memahami perkara ini.
Lainlah kalau orang yang tidak seperti kedudukanmu.
Umar menambah:
نَعَمْ نَفِرُّ مِن قَدَرِ اللَّهِ إلى قَدَرِ اللَّهِ
“Ya, kita lari dari satu ketentuan Allah kepada satu ketentuan Allah (yang lain).”
Umar kemudiannya membuat perbandingan, “Jika kamu punya seekor unta menuruni lembah yang mempunyai dua tebing. Satu subur dan satu lagi kering kontang. Bukankah jika kamu mengembala untamu di tebing yang subur itu satu ketentuan Allah. Dan jika kamu mengembala di tebing yang kering itu juga ia dengan ketentuan Allah?”
Tiba-tiba muncul pula Abdul Rahman bin Auf.
Beliau berkata, “Aku ada sedikit pengetahuan tentang perkara yang kalian bincangkan. Kerana aku dengar Rasulullah SAW bersabda,
إذَا سَمِعْتُمْ به بأَرْضٍ فلا تَقْدَمُوا عليه، وإذَا وقَعَ بأَرْضٍ وأَنْتُمْ بهَا فلا تَخْرُجُوا فِرَارًا منه
“Jika kamu dengar sesuatu wabak melanda sesebuah negeri maka janganlah kamu pergi ke negeri itu. Dan sekiranya wabak itu melanda negeri yang kamu ada di situ maka janganlah kamu keluar melarikan diri dari situ.”
(Tercatat riwayat ini dalam Sahih Bukhari (5729) dari Abdullah bin Abbas)
Aris Hazlan Ismail
2 thoughts on “Pandemik Dalam Islam – Siri 1”