Baru-baru ini portal Sydney Morning Herald menyiarkan artikel bertajuk “Setelah dihancurkan oleh COVID, Malaysia kini menjadi negara di mana kadar vaksinasinya terpantas di dunia”.
Seperti yang dilaporkan oleh media tempatan, setelah melalui tempoh PKP di seluruh negara, Malaysia kelihatan terkesan dengan pandemik Covid19.
Di tengah-tengah kebuntuan ini, kita masih ada satu harapan cerah.
Malaysia kini telah menjadi negara di mana kadar vaksinasinya terpantas di dunia, menghasilkan lebih dari 400,000 dos sehari, dikatakan menandingi pencapaian Kanada dan berada di hadapan Australia.
Kerajaan telah dapat mempercepatkan inokulasi setelah dua bulan lalu melalui rundingan semula bekalan dan penghantaran vaksin yang dimilikinya.
70 peratus daripadanya adalah Pfizer.
Selain Pfizer, Malaysia juga memperoleh dos dari Sinovac China, AstraZeneca dan vaksin Cina CanSino, serta yang lain melalui kemudahan vaksin COVAX PBB.
Setelah melalui peringkat permulaan yang perlahan, seperempat populasi penduduk kini telah menerima sekurang-kurangnya satu dos dan sasaran Malaysia untuk mencapai 40 peratus orang dewasa diberi vaksin sepenuhnya pada akhir Ogos dan 60 peratus pada akhir bulan September boleh dicapai jika pembekal memenuhi komitmen.
Isu keraguan vaksin juga telah dapat diatasi apabila masyarakat umum mula memandang serius keperluan vaksin terutamanya apabila rekod jangkitan wabak dan jumlah kematian akibatnya melonjak.
Tidak dinafikan, perasaan tidak puas hati di kalangan rakyat wujud atas pelbagai alasan yang kebanyakannya berkaitan ekonomi.
Namun, jika diperhatikan keadaan negara lain di dunia ini, tiada satupun yang terlepas dari kemelut ekonomi dan masalah lain yang berkaitan dengannya.
Sudah tentu, kita akan dapat mencapai hasil yang lebih baik sekiranya semua pihak bekerjasama terutamanya dalam hal pematuhan SOP.
Akan tetapi, sangat sukar untuk memastikan orang ramai terus mematuhi sekatan apabila mereka telah berkurung dalam tempoh yang lama dan kebanyakan kegiatan rutin mereka terganggu. Mereka resah.
Kita hanya perlukan sedikit lagi kesabaran dan ketahanan untuk mendaki cabaran pandemik covid19 ini.