Kes pertama rakyat Malaysia disahkan dijangkiti Covid-19 membabitkan seorang lelaki berusia 41 tahun yang dirujuk ke Hospital Sungai Buloh, Selangor pada 2 Februari 2020.
Lelaki itu mempunyai sejarah perjalanan ke Singapura pada 16 hingga 22 Januari 2020 bagi menghadiri mesyuarat bersama delegasi antarabangsa termasuk dari China, dan pulang ke Malaysia pada 23 Januari sebelum demam dan mendapatkan rawatan enam hari kemudian.
Pada 27 Februari hingga 1 Mac 2020 satu perhimpunan jemaah tabligh berlangsung di Masjid Jamek Sri Petaling, Kuala Lumpur, dihadiri kira-kira 12,500 termasuk peserta dari luar negara, tetapi kemudian diubah kepada 14,500 peserta.
Bermula Mac, semua mata tertumpu kepada penularan kes yang bermula dalam kalangan jemaah itu, dengan Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah pada 29 Mac 2020 memaklumkan Kluster Tabligh telah mencapai generasi kelima dan menjelang 19 Mei beliau mengesahkan 48 peratus daripada kes Covid-19 di Malaysia ketika itu dikaitkan dengan kluster berkenaan.
Malaysia dipersalahkan kerana menjadi punca penyebaran Covid-19 di beberapa negara lain, apabila peserta perhimpunan tabligh itu pulang ke negara asal.
Di dalam negara, ada rakan yang sentiasa berjubah setelah pencen memberitahu dia bersin ketika beratur di sebuah bank. Seorang wanita terus berkata kepadanya “lu tabligh ka?”.
Sehingga demikian sikap dan pandangan masyarakat terhadap jemaah tabligh ketika itu. Namun, petugas barisan hadapan yang merawat ratusan jemaah tabligh di hospital dan pusat rawatan, berasa sunyi apabila anggota terakhir jemaah itu disahkan sembuh dan meninggalkan mereka.
Hilang terus seruan azan setiap kali masuk waktu solat, tiada lagi irama merdu alunan ayat-ayat suci al-Quraan diperdengarkan oleh jemaah tabligh yang menerima rawatan. Itulah kesunyian yang mereka rasakan, sehingga sesetengahnya mengalirkan air mata apabila seorang demi seorang anggota tabligh meninggalkan pusat perubatan.
Namun, perlu diingat bahawa sebenarnya sejak Januari 2020 lagi sudah ada pesakit yang positif virus berkenaan di Malaysia, tetapi melibatkan warga asing, khususnya dari China.
Dan, sehingga 3 Februari (24 hari sebelum perhimpunan jemaah tabligh diadakan), 10 kes Covid-19 disahkan di Malaysia, khususnya melibatkan rakyat China berasal dari wilayah Wuhan – pusat penularan Covid-19 ke seluruh dunia.
Berdasarkan rekod, jangkitan virus Covid-19 di Malaysia mula meningkat pada 18 Mac 2020 yang membabitkan 117 kes positif. Sepanjang bulan itu, kes tertinggi dicatatkan ialah pada 26 Mac iaitu 235 kes, dan terendah sebanyak 106 kes (24 Mac).
Untuk rekod kerajaan mengumumkan buat kali pertama Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selama 14 hari bermula 18 Mac hingga 31 Mac. Semua pergerakan tidak penting dilarang, sekatan jalan raya diadakan di seluruh negara, manakala sebahagian sektor ekonomi ditutup.
Sepanjang April 2020 pula kes harian tertinggi yang dicatat ialah pada 3 April membabitkan 217 kes, manakala yang terendah direkod pada 28 April melibatkan 31 jangkitan. PKP dilanjutkan lagi.
Manakala bagi sepanjang Mei, kes harian tertinggi dicatatkan pada 26 haribulan sebanyak 186 jangkitan, manakala yang terendah sebanyak 10 kes pada 28 Mei.
Bulan Jun 2020 menyaksikan kes harian baharu berlegar satu dan dua angka sahaja dengan jangkitan tertinggi direkodkan pada 4 Jun membabitkan 277 kes, manakala paling rendah sebanyak dua kes yang dicatat pada 2 Jun dan 30 Jun.
Memasuki Julai, ramai menarik nafas lega, harapan melihat virus Covid-19 nyah dari bumi Malaysia mula menunjukkan bayang apabila pada 1 Julai hanya satu kes baharu dilaporkan.
Sepanjang Julai, seperti juga pada Jun, jangkitan harian berlegar satu dan dua angka dengan tertinggi direkod pada 28 Julai sebanyak 39 kes.
Kes terendah sekali lagi direkodkan pada 4 Ogos apabila mencatat hanya satu jangkitan harian baharu, manakala kes tertinggi sebanyak 26 kes dicatat pada 15 Ogos.
Pada 11 September sebanyak 182 jangkitan baharu direkodkan, manakala kes terendah sebanyak enam kes dicatat pada 2, 5 dan 6 September. Untuk rekod Pilihan Raya Negeri Sabah diadakan pada 26 September dan bermula daripada tarikh itu jumlah jangkitan terus merekodkan tiga angka.
Sepanjang Oktober 2020, jangkitan harian mula mencecah tiga dan empat angka dengan jumlah tertinggi direkod pada 26 haribulan sebanyak 1,240 kes dan terendah sebanyak 260 kes pada 1 Oktober.
Tiga dan empat angka terus mendominasi jumlah jangkitan sepanjang November 2020. Jangkitan harian tertinggi pernah direkodkan pada bulan itu ialah sebanyak 2,188 kes pada 24 haribulan, manakala 18 November mencatat angka terendah iaitu 660 kes.
Sepanjang Disember, hanya pada tarikh 2 dan 9 haribulan sahaja yang mencatat tiga angka, selebihnya merekodkan empat angka. Jumlah jangkitan terendah pada bulan itu adalah sebanyak 851 kes dicatat pada 2 Disember, manakala yang tertinggi pula pada 31 Disember sebanyak 2,525 kes.
2021 – cahaya di hujung terowong yang panjang
Sepanjang Januari 2021, jumlah jangkitan harian empat angka berterusan dengan yang tertinggi direkodkan pada 30 haribulan sebanyak 5,728 kes dan terendah pada 3 Januari sebanyak 1,704 kes.
Pada Februari 2021 pula jumlah jangkitan harian tertinggi direkodkan pada 4 haribulan iaitu sebanyak 4,571 kes, manakala terendah sebanyak 1,924 kes pada 25 haribulan.
Untuk rekod kerajaan melancarkan suntikan vaksin kepada penduduk Malaysia berusia 18 tahun ke atas pada 24 Februari 2021, menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).
Bagi sepanjang Mac pula, kes harian terendah direkodkan ialah pada 29 haribulan iaitu sebanyak 941 jangkitan, sementara yang tertinggi ialah pada 5 Mac membabitkan 2,154 kes.
Hari ke-18 Ramadan iaitu pada 30 April, jangkitan Covid-19 melonjak kepada 3,788 kes manakala jangkitan harian terendah dicatat pada 5 April sebanyak 1,070 kes.
Dua minggu selepas umat Islam menyambul Aidilfitri, pada 29 Mei, jumlah jangkitan harian melonjak kepada 9,020 kes. Jumlah jangkitan terendah direkodkan sepanjang Mei 2021 itu ialah sebanyak 2,500 kes pada 3 haribulan.
Mulai 1 Jun penutupan penuh atau ‘total lockdown’ pertama dilaksanakan ketika jangkitan harian mencecah 7,105 kes. Untuk selama dua minggu ‘lockdown’ dikenakan sehingga 14 Jun.
Dalam tempoh itu jangkitan tertinggi direkodkan ialah pada 3 Jun iaitu sebanyak 8,209 kes, manakala terendah ialah 4,949 kes pada 14 Jun, hari terakhir ‘lockdown’ pertama.
‘Total lockdown’ kedua dilaksanakan pada 15 Jun ketika negara merekodkan 5,419 jangkitan baharu. Sepanjang tempoh sehingga 30 Jun, jangkitan harian tertinggi direkodkan ialah sebanyak 6,440 pada 18 Jun dan terendah sebanyak 4,611 kes pada 21 Jun. Cahaya kembali kelihatan walaupun samar-samar.
Namun, langit tidak selalunya cerah, petir berdentum. Menjelang Julai 2021, angka jangkitan harian mula memasuki episod lima angka. Pada 13 Julai lalu 11,079 jangkitan baharu dilaporkan, berbanding kes empat angka sehari sebelumnya sebanyak 8,574 kes.
Kes tertinggi direkodkan sepanjang bulan itu menjelma pada 31 Julai apabila 17,786 kes dicatat, manakala kes terendah ialah pada 4 Julai membabitkan 6,045 kes.
Sejak daripada tarikh itu jangkitan harian terus melonjak hari demi hari dengan yang tertinggi direkodkan pada 26 Ogos lalu sebanyak 24,559 kes.
20 Julai umat Islam menyambut Aidiladha atau Hari Raya Korban. Pada hari itu, 12,366 kes baharu dilaporkan.
Cahaya yang samar-samar ditelan virus. Jumlah jangkitan harian bermula Ogos 2021 menggerunkan dan boleh dikatakan ia adalah kemuncak gelombang penularan Covid-19 di Malaysia. Sepanjang bulan itu semua kes harian berada pada paras lima angka.
Bulan Ogos juga merekodkan jangkitan harian tertinggi sepanjang masa apabila mencatatkan 24,599 kes pada 26 haribulan. Jumlah jangkitan paling rendah direkodkan pada 2 Ogos iaitu sebanyak 15,764.
Sepanjang September lalu, belum ada tanda-tanda kes harian akan turun kepada empat angka. Purata jumlah jangkitan harian berlegar sekitar 15,000 kes, dengan jumlah tertinggi direkodkan pada 10 haribulan sebanyak 21,176 kes, manakala kes harian terendah ialah 10,959 kes pada 27 September.
3 Oktober 2021 setelah 221 hari PICK berlalu dengan lebih 20.4 juta individu dewasa lengkap divaksin dan lebih 22.0 juta lagi menerima sekurang-kurangnya satu dos, angka harian jangkitan positif turun menunjukan tanda-tanda ‘cahaya’. Jumlahnya turun semula kepada empat angka apabila merekodkan 9,066 kes baharu.
Dalam tempoh sehingga semalam lebih 2.08 juta pesakit Covid-19 di Malaysia telah sembuh, manakala 155,823 kes lagi masih aktif. Malaysia juga sekarang ini sedang menuju kepada pembukaan semula semua sektor sosial, pendidikan dan ekonomi.
Semoga esok dan hari-hari mendatang terus bersinar dengan penurunan lagi kes-kes harian setelah sehingga hari ini lebih 2.27 juta kes positif direkodkan sejak virus Covid-19 mula keluar dari Wuhan, China pada 2019 lalu, menular ke seluruh dunia termasuk Malaysia.
Razali bin Zakaria