Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hari ini mencadangkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka dibubarkan bagi memberi semula mandat kepada rakyat memilih kerajaan baharu.
Ia susulan tindakan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melaka, termasuk bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron dan tiga lagi ADUN Barisan Nasional (BN) serta Perikatan Nasional (PN) dan Bebas menarik sokongan terhadap kerajaan BN pimpinan Datuk Seri Sulaiman Md Ali, hari ini.
“Saya tidak mengapa kehilangan kerajaan negeri yang dikuasai parti saya tapi tunggulah.
“Saya fikir elok kalau diadakan PRN negeri yang baharu supaya DUN dibubar dan kita beri mandat semula kepada rakyat untuk memilih mana kerajaan yang terbaik untuk mentadbir negeri dan negara kita, Insya-Allah,” kata Ahli Parlimen Bagan Datuk itu ketika membahaskan Rancangan Malaysia Ke-12 di Dewan Rakyat, hari ini.
Terdahulu, tiga ADUN yang turut menarik sokongan kepada kerajaan negeri ialah Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Noor Effandi Ahmad (BERSATU-Telok Mas) dan Datuk Norhizam Hassan Baktee (BEBAS-Pengkalan Batu).
Surat pemakluman mengenai perkara itu serta peletakan jawatan Idris, Noor Effandi dan Norhizam Hassan sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO), yang bertarikh 30 September lalu diserahkan kepada Sulaiman di Pejabat Ketua Menteri Melaka di Seri Negeri, Ayer Keroh, pagi tadi.
Kerajaan Melaka yang diterajui BN dibentuk pada Mac tahun lalu selepas Pakatan Harapan (PH) tumbang berikutan empat ADUN ketika itu memberikan sokongan kepada gabungan PN.
Kerajaan Melaka ketika ini diwakili 17 ADUN, dengan 14 daripadanya UMNO, dua daripada BERSATU dan satu Bebas, manakala pembangkang pula 11 kerusi.