Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja ditubuhkan pada 1 Feb 1937 di Haig Lines, Port Dickson, Negeri Sembilan.
Keanggotaan batalion ini terdiri dari anggota-anggota yang telah dilatih untuk menganggotai Rejimen Askar Melayu dalam tahun 1933 hingga 1935.
Pegawai Memerintah pertama ialah Lt Col G. Mc I. S. Bruce dibantu oleh Maj G. T. Denaro sebagai Penolong Pegawai Memerintah, Maj G. Wort sebagai Ajutan, Lt (QM) H. Wraight sebagai Kuartermaster dan WOI A. E. Mc Garthy sebagai SMR.
Apabila Tentera Jepun menawan Singapura pada 15 Feb 1942, anggota-anggota batalion yang tidak terkorban atau ditawan oleh Tentera Jepun telah pulang ke kampung asal mereka.
Batalion ini telah ditubuh semula pada 12 Mei 1946 di Port Dickson setelah Tentera Jepun menyerah kalah.
Pegawai Memerintah Melayu pertama ialah Lt Kol Tengku Ahmad bin Tengku Besar Burhanuddin, Pegawai Memerintah Ke-13 dan SMR Melayu pertama ialah PW I Ahmad bin Rabu.
Leftenan Dato’ Adnan bin Saidi merupakan bekas Ketua Platun 7, Kompeni C, 1 RAMD.
Beliau juga mrrupakan wira dan ikon kepada batalion ini.
Semangat juangnya yang tinggi semasa pertempuran di Bukit Chandu, Singapura dikenang sehingga kini dan menjadi suatu sejarah yang amat dibanggakan oleh batalion ini.
Penganugerahan gelaran “Diraja” kepada Rejimen Askar Melayu oleh KDYMM Sultan Kedah, Tuanku Badlishah pada 1 Mac 58 dan pengumuman penganugerahan ini telah dibuat oleh Allahyarham Yang Amat Berhormat Tun Abdul Razak selaku Menteri Pertahanan Malaysia di Kem Kepala Batas, Alor Setar, Kedah.
Panji-Panji SPB YDP Agong telah dianugerahkan kepada Rejimen Askar Melayu Diraja dan disempurnakan oleh DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang ke-13, Tuanku Syed Hassan Jamalulail, pada hari Sabtu, 23 Mac 63 dengan penuh adat istiadat ketenteraan di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur.
Panji-Panji ini dikurniakan kepada batalion ini sebagai lambang kesetiaan kepada Raja dan Negara selain sebagai tanda penghormatan dan penghargaan negara terhadap kesetiaan dan kecemerlangan anggota batalion ini yang berjaya menempuh pelbagai cabaran dan pahit getir semasa menjalankan tugas terutamanya semasa pendudukan Jepun, darurat, konfrontasi serta misi-misi pengaman yang dijalankan.
Pertukaran Panji-Panji SPB YDP Agong kali pertama telah disempurnakan oleh KDYMM Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah Ibni Almarhum Sultan Badlishah, Kolonel Yang Dipertua RAMD di Padang Kawad Pusat Latihan Rekrut, Port Dickson, Negeri Sembilan pada 30 Nov 91.
Ketua Perbarisan adalah Lt Kol Hamzah bin Ibrahim, Pegawai Memerintah 1 RAMD yang ke-29.
Sehingga kini, Penghormatan Perang yang tercatat di Panji-Panji SPB YDP Agong adalah “Tanah Melayu 1941- 1942”, “Singapura 1942”, “Darurat 1948 – 1960”, “Congo 1960 – 1963”, “Konfrontasi 1963 – 1965”, “Namibia 1989 – 1990”, “Kemboja 1992 – 1993”, “Somalia 1993 – 1995”, “Bosnia Herzegovina 1993 – 1998” dan “DAULAT FEB 2013”.
Sebagai sebuah batalion yang tertua dalam Angkatan Tentera Malaysia, batalion ini telah menjadikan tema “DIGERUNI DAN DISEGANI” sebagai cogan kata pasukan.
Dengan berprinsipkan digeruni oleh lawan dan disegani oleh rakan dan taulan, perkataan ini melambangkan kecekalan dan semangat juang yang tinggi di kalangan anggotanya.
Disamping itu, ia juga mencerminkan kesediaan dan kesanggupan setiap anggota pasukan untuk berkorban demi kepentingan agama, bangsa dan kedaulatan negara.
Pasukan ini juga dikenali dengan nama gelaran “CYBER TIGER” yang membawa maksud Harimau Siber atau Harimau Bandar.
Sesuai dengan lokasi penempatan terkini 1 RAMD di KUALA LUMPUR.
Pada 28 Feb 07, General Sir Richard Dannat, Chief of General Staff United Kingdom telah melakukan lawatan rasmi ke Malaysia.
Beliau terpegun dengan kesegakan anggota Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja dalam melaksanakan Kawalan Kehormatan Utama dan beliau menawarkan satu tugasan rejimental di United Kingdom yang dikenali sebagai Public Duties.
Public Duties merupakan sebuah tugas rejimental dan istiadat yang dilaksanakan oleh Household Division.
Pasukan telah terlibat secara langsung dalam mengawal istana Queen Elizabeth II di samping melaksanakan tugas-tugas istiadat yang lain.
Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja telah dipilih mewakili Tentera Darat untuk melaksanakan penugasan ini yang bermula pada 16 Apr hingga 16 Jun 08.
Pemilihan anggota Public Duties telah dilaksanakan pada 26 Dis 07.
Seramai 8 Pegawai dan 122 anggota LLP telah terpilih termasuk dua anggota dari Kor Perkhidmatan Am (KPA) dan lima anggota dari Kor Perkhidmatan Diraja (KPD).
Malaysia merupakan negara keempat yang diberi kepercayaan dan penghormatan untuk melaksanakan Public Duties selain Kanada, Australia dan Jamaica.
Tanggal 1 Feb 2022, pasukan 1 RAMD telah berusia 85 tahun dan akan terus mengecapi kejayaan demi kejayaan seiring peredaran masa.
Selamat Hari Ulang Tahun 1 RAMD ke 85



