Kisah benar ini berlaku di Bangladesh.
Pada suatu hari, sekumpulan pelajar sedang menunggu keretapi bagi satu perjalanan.
Sedang mereka menunggu keretapi, mereka bergurau senda dan beraksi sebagaimana pelajar yang seumur dengan mereka.
Tiada apa yang dilihat sebagai kepelikan dalam penampilan mereka.
Kemudian, tibalah sebuah keretapi yang mana sebagaimana kita tahu, di sana, antara kenderaan terpenting bagi rakyat mereka ialah keretapi.
Dan disebabkan itu jugalah maka perkhidmatan ini sentiasa penuh dengan penumpang kerana harga tiket dan banyaknya tempat duduk yang mampu dibeli oleh ramai rakyat mereka.
Maka naiklah sekumpulan pelajar ini setelah berasak-asak, berhimpit-himpitan sesama penumpang lain.
Oleh kerana mereka kecil, muda dan aktif, mudahlah bagi mereka untuk naik mengatasi kebanyakan penumpang lain yang tua-tua.
Apabila sampai dalam gerabak yang penuh itu, salah seorang pelajar itu memberitahu rakannya yang dia sememangnya tidak mempunyai wang untuk membayar tiket.
Dan malang baginya kerana masing-masing rakannya itu hanya mempunyai wang yang sekadar cukup untuk membayar tambang sendiri.
Kata pelajar itu, tidak mengapa, dia akan uruskan hal itu.
Rakan-rakannya yang lain yakin dia mempunyai jalan untuk membayar tiket perjalanan mereka itu kerana pelajar ini adalah pelajar yang pintar.
Mesti banyak akalnya, fikir rakan-rakannya.
Pada kebiasaannya, oleh kerana ramai yang tidak membayar tiket, maka pemeriksa tiket tidak mudah mempercayai cerita orang yang cuba menipu.
Jadi mesti seseorang itu mempunyai cara terbaik untuk mengelakkan diri daripada diambil tindakan.
Pemeriksa tiket sedang mara ke arah mereka setelah memeriksa tiket-tiket orang lain.
Apabila dia menghampiri pelajar itu, diapun mencuit pemeriksa tiket mengisyaratkan dia mahu membisikkan sesuatu.
Pemeriksa tiket itupun menundukkan sedikit kepalanya ingin mendengar apa perkara yang mahu diberitahu oleh pelajar itu.
Pelajar itu membisikkan yang dia menyukai anak perempuan pemeriksa tiket itu sambil memuji-mujinya untuk dijadikan kekasihnya.
Apa lagi mengamuklah pemeriksa tiket itu marahkan pelajar itu kerana kebetulan dia mempunyai anak perempuan.
Mahu sahaja dia membelasah pelajar itu kerana perkataan yang baginya sungguh biadap itu.
Diapun meninggikan suaranya, didengari oleh semua orang dan memandang ke arah mereka berdua.
Pelajar itu dengan segera menjawab kemarahan pemeriksa tiket itu dengan berkata “Pakcik, kan saya sudah bagitahu yang saya tak ada duit untuk tiket, saya orang miskin. Kenapa pakcik marahkan saya sampai macam ni.”
Sekarang, semua mata penumpang memandang tepat ke arah pemeriksa tiket.
Dalam fikiran mereka, betapa teruknya seorang pemeriksa tiket sehingga mahu dipukul seorang budak, hanya kerana tiada wang untuk membayar tiket.
Pemeriksa tiket itu, tidak boleh membuktikan apa yang dikata oleh pelajar itu.
Dia sedar yang dia sekarang sudah terperangkap dengan permainan pelajar itu.
Dia segera meninggalkan pelajar itu tanpa meminta tiket.
Begitu cekap pelajar itu menggunakan undang-undang bagi melindungi dirinya yang mana, mangsanya tidak berupaya untuk menuduh dan membuktikan kesalahannya, kerana tanpa saksi dan bukti.
Selamat juga dia daripada membayar tiket.
Nakalnya dia sewaktu kecil.
Dan pelajar itu sekarang sudah menjadi seorang hakim yang baik di Bangladesh.
Begitulah jika kita mahu selamat daripada dihukum, kita mesti pandai memanipulasikan undang-undang yang ada.
Samada cara itu benar atau salah, itu hal yang kedua, asalkan ada lubang untuk dimanipulasikan, semuanya boleh.
Undang-undang dunia, hakimpun dunia, peguampun dunia.
Selamat di dunia, tetapi belum tentu di akhirat nanti.
Putarlah, belitlah selagi masih ada peluang.
Jadi, jangan main-main dengan peguam, mereka mahir dalam bab undang-undang.
Tetapi hakim mesti lebih arif dari peguam.
Dan kalau hakim kena main dengan peguam, alamat hancurlah undang-undang.
Mohd Nasir Abdullah