Melihat perkembangan politik yang ada hari ini hubungan UMNO dengan PH di lihat semakin meruncing.
UMNO sebagai sebuah parti Melayu dan memperjuangkan nasib orang Melayu secara tabi’enya memang sangat bertentangan dengan agenda dan naratif yang dibawa oleh kerajaan hari ini.
Kerajaan yang menekankan semua kaum dan tidak lagi memperjuangkan Melayu secara khusus lambat laun akan menjadikan UMNO tidak relevan.
Kita jangkakan ini amat merisaukan pimpinan UMNO dalam senyap kerana ini bukan lagi isu teknikal tapi isu asas sebab musabab kewujudan UMNO itu sendiri.
Setiap kali ucapan yang diberikan oleh PMX maka isu perjuangan semua kaum akan disebut dan melihat perjuangan untuk orang melayu sebagai rasis dan jumud.
Sehingga hari ini kita belum mendengar lagi ucapan pemimpin UMNO yang menekankan soal Melayu secara serius sejak pembentukan kerajaan.
UMNO dilihat masih lagi dalam kondisi penyesuaian diri dengan agenda baru kerajaan.
Sama ada mereka berjaya menyesuaikan diri atau tidak, itu masih terlalu awal untuk dinilai.
Namun kita amat yakin keadaan UMNO kini ibarat cacing-cacing kepanasan yang gelisah tetapi sukar untuk keluar dari kepompong yang ada kerana takut bertentangan dengan agenda kerajaan PH.
Selama mana UMNO boleh bertahan menahan perasaan adalah sesuatu yang menarik untuk dinilai.
Hanya dua perkara sahaja yang mengikat UMNO dengan kerajaan yang ada hari ini iaitu pengampunan Datuk Seri Najib dan kes yang melibatkan Datuk Seri Zahid Hamidi.
Kedua-dua kes ini ‘mengikat tangan’ UMNO sehingga mereka terpaksa menelan semua yang ada secara amat pahit.
Namun, sedikit demi sedikit UMNO sudah mula menunjukkan taringnya apabila berjaya mengangkat dan mendesak isu pengampunan Datuk Seri Najib secara serius.
Jika Datuk Seri Najib berjaya mendapat pengampunan dan Datuk Seri Zahid Hamidi berjaya lepas dari tuduhan rasuah maka UMNO akan bebas dari belengu yang ada.
Pada ketika itu, kita menjangkakan UMNO akan lebih menonjol dan berani menyatakan pendirian dan segala keinginan mereka.
Jika PMX gagal membendung kehendak UMNO, maka besar kemungkinan UMNO akan berpaling tadah dan keluar dari kerajaan.
Jika ini berlaku, maka berakhirlah pemerintahan PH buat kali kedua di tangan UMNO (lagi).
Apakah pemimpin UMNO berani melakukan sesuatu yang luar biasa?
Itu kita serahkan kepada kebijaksanaan dan hati nurani mereka.
Jika mereka mahu kekal relevan maka sudah pasti ia buka sesuatu yang sukar untuk dilakukan.
UMNO ada pilihan untuk bangun semula dan kembali kepada perjuangan asal untuk orang Melayu.
Jika tidak, saya amat yakin UMNO akan tenggelam dalam arus ‘Madani’ dan mati tanpa ada pusara.
Aminuddin Yahaya