Almarhum Fadzil Noor Dan Kesetiaan Bersama Kedah

Almarhum Fadzil Noor Dan Kesetiaan Bersama Kedah

Apabila diminta menulis tinta kenangan Almarhum Dato’ Ustaz Haji Fadzil Mohd Noor, saya teringatkan satu kisah yang sentiasa menjengah di fikiran.

Cerita itu membuktikan kesetiaan Almarhum untuk terus berbakti di negeri kelahirannya, Kedah Darul Aman. 

Dalam menghadapi persiapan PRU 1995, perbincangan di peringkat PAS Pusat mula tertumpu untuk memastikan Almarhum turut dapat beraksi di Dewan Rakyat. 

Kelantangan, kelancaran serta kepetahan beliau berhujah sememangnya menjadi igauan musuh politiknya dan itulah kekuatan yang didambakan PAS iaitu untuk memastikan Presidennya berada dalam sebahagian majlis Parlimen. 

Setelah DUN Kedah menyaksikan khidmat bakti beliau selama empat penggal berturut-turut, waktu itu dilihat adalah masa terbaik Almarhum berpencak pula di pentas Parlimen. 

Selepas melalui perbincangan yang kritikal dengan pelbagai lontaran pandangan dibangkitkan, ahli mesyuarat bersetuju memberikan kerusi selamat di Negeri Kelantan bagi membolehkan Almarhum menyertai keanggotaan Dewan Rakyat. 

Pandangan tersebut diterima dengan penuh hati termasuklah Bendahari PAS Pusat, Ustaz Halim Abd Rahman (Almarhum)  merangkap Timbalan Menteri Besar Kelantan ketika itu.

Namun, Almarhum Ustaz Fadzil menolak cadangan untuk bertanding di luar Negeri Kedah. 

Beliau bimbangkan perkara ini akan dijadikan modal isu kepada musuh dan akan memberikan kesan besar kepada moral perjuangan kepimpinan dan ahli PAS di Kedah.

Almarhum tekad menumpahkan baktinya di Negeri Kedah meskipun kepimpinan tertinggi PAS di seluruh negara bersedia menerima dan mendukung beliau untuk bertanding di kawasan lain.

PRU 1995 menyaksikan beliau bersama-sama Almarhum Ustaz Azizan Abd Razak mengukuhkan perjuangan siasatuddakwah PAS Kedah. 

Inilah gandingan yang merubah landskap politik di Kedah yang kelihatan dengan jelas selepas tiga dekad kemudiannya, zaman yang sedang kita tempuhi hari ini. 

Suatu ketika PAS Kedah tumbuh dan berkembang di sebalik institusi pengajian agama, namun masyarakat masih samar-samar dalam memberikan sokongan terhadap perjuangannya. 

Hari ini PAS di Kedah telah meresap dalam kehidupan anak muda dan menerima sokongan setiap lapisan masyarakat.

Sokongan terhadap PAS di Kedah bukan lagi sesuatu yang asing.

Saya berpandangan inilah keberkatan dalam perjuangan yang disambung daripada generasi kepada generasi dan Almarhum Ustaz Fadzil adalah antara tokoh yang mencorak legasi rantai perjuangan tersebut. 

Kecekalan Almarhum memperjuangkan Islam di bumi bertuah Kedah Darul Aman ini seakan telah dan sedang berbuah yang dinikmati sejahteranya oleh generasi kini.

Institusi agama dan para tuan guru pondok kekal menjadi identiti utama Negeri Kedah dan mereka jualah yang meneruskan legasi perjuangan Islam di Kedah. 

Saya amat berterima kasih kepada tuan-tuan guru pondok kerana sentiasa memberikan sokongan kepada pentadbiran YAB Dato’ Seri Haji Muhammad Sanusi selama kita mentadbir negeri ini. 

Alhamdulillah, berkat kesetiaan Almarhum Ustaz Fadzil bertahan di Kedah suatu ketika dahulu, PAS semakin relevan di negeri ini. 

PRU yang lalu kita perosah habis kerusi Parlimen di Kedah kecuali Sungai Petani. 

Insya-Allah PRN yang bakal menjelang nanti akan mempamerkan kekuatan yang sama insya-Allah.

Pelbagai kejayaan berjaya dirintis Kerajaan PAS-PN di Kedah walaupun dalam tempoh yang singkat tambahan lagi berdepan cabaran pandemik. 

Pelaburan melebihi RM90 bilion dalam tempoh tiga tahun, KDNK Negeri 2021 berada dalam senarai ‘top five’ dan premis perjudian dihapuskan dengan tegas berkuatkuasa 1 Januari 2023. 

Semua ini kejayaan yang telah dirintis oleh perjuangan Almarhum.

Inilah jua sebahagian daripada usaha menyambung legasi perjuangan Almarhum Ustaz Fadzil dan insya-Allah akan diteruskan oleh generasi seterusnya.

Semoga Mujahid Ulung Almarhum Dato’ Ustaz Haji Fadzil Mohd Noor tenang di sana insya-Allah.

DATO’ USTAZ AHMAD YAHAYA
Pesuruhjaya
PAS Negeri Kedah
Ahli Parlimen Pokok Sena

Sejarah