Saya ada membaca petikan berita tentang kerisauan Dato’ Seri Ahmad Said (DSAS) yang mengatakan Terengganu akan jadi Kelantan 2.0 jika terus ditadbir oleh PAS.
Apa yang dirisaukan?
Apakah DSAS risau UMNO akan terus jadi pembangkang di Terengganu sebagaimana UMNO jadi pembangkang di Kelantan lebih 32 tahun?
Kerisauan ini ada asasnya, apabila berlaku pergolakan dan perebutan kerusi antara PH-BN Terengganu.
Sebelum daripada ini PKR melalui Nik Nazmi, telah menyatakan hasrat untuk mendapatkan kerusi sasaran utama PKR iaitu DUN Bandar.
Malangnya, DSAS menunjukkan sikap ‘abang besar’nya apabila menempelak PKR agar mengukur baju di badan sendiri.
Persoalan “berapa cawangan PKR ada di Kuala Terengganu?”
Sukar untuk dijawab PKR.
Azan Ismail yang cuba meredakan keadaan, cuba memujuk DSAS dengan mengangkat Ahmad Said sebagai ‘posterboy’ atau calon MB Terengganu.
Sekali lagi malang tidak berbau, Raja Bahrin yang merupakan Pengerusi PH Terengganu pula muncul mempertikaikan keputusan mengangkat DSAS sebagai posterboy tidak pernah dibincangkan.
Angkara sikap abang besar DSAS, menyebabkan PH iaitu PAN dan PKR pula yang bergolak.
Situasi ini melengkapkan lagi siri-siri pergolakan dalaman yang diterajui oleh DSAS.
Masih segar dalam ingatan kita bagaimana pergolakan antara DSAS dengan Dato Seri Ahmad Razif sehingga DSAS mengusulkan undi tidak percaya kepada Ahmad Razif yang merupakan MB ketika itu.
Rekod berbalah sesama parti sudah ada, kini berbalah dengan parti komponen pun sudah ada dan jadi penyebab parti komponen kawan berbalah sesama sendiri pun sudah ada.
Bagi berdepan dengan sikap abang besar DSAS ini sewajarnya PKR perlu mengambil pendekatan yang tegas seperti PAN yang tidak mengiktiraf DSAS sebagai posterboy dan juga Tony Pua dari DAP yang tidak apologetik menyatakan BN-UMNO sebagai parti korup.
Melihat kepada pergolakan politik ini, masa depan Terengganu berada dalam keadaan cukup berbahaya jika diberikan kepada pakatan PH-BN mentadbir.
Berbeza dengan PAS-PN yang telah pun selesai membuat pembahagian kerusi di semua negeri.
PAS-PN lebih stabil dan kukuh untuk terus mentadbir Terengganu.
Arifin Deraman